06 February 2009

Surat Terbuka Untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim

Saya terpanggil untuk menulis surat terbuka ini kepada Datuk Seri berdasarkan isu-isu terkini yang PKR hadapi sejak akhir-akhir ini. Sebelum itu masih belum terlambat saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri kerana berjaya memenangi kerusi Parlimen Permatang pada Ogos 2008. Bukan mudah untuk membuat "comeback" dalam politik lebih-lebih lagi setelah Datuk Seri pernah dipenjarakan buat seketika waktu dahulu. Saya juga berharap Datuk Seri berjaya mengharungi perbicaraan kes liwat yang bakal didengar tak lama lagi. Datuk Seri juga tidak perlu risau dan takut dengan azab api neraka yang dihukumkan kepada mereka yang melakukan hubungan kelamin di luar tabii jika Datuk Seri tidak bersalah.

Berdasarkan senario kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang secara rasminya pada hari ini, saya amat berharap Datuk Seri dapat menerima hakikat yang PKR adalah satu parti yang paling lemah berbanding dengan PAS & DAP, bukan sahaja di Perak malah kesemua negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat secara khususnya. Kini disebabkan PKR, kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah pula dalam situasi berjaga-jaga dengan usaha mengadakan sidang tergempar yang dihadiri oleh kesemua ADUN dan Ahli Parlimen Kedah semalam. Datuk Seri perlu mengakui yang PKR sekarang ini adalah satu liabiliti kepada PAS dan DAP.

Ramai yang semakin sedar bahawa PRK adalah parti "one man show". Lebih-lebih lagi jika tanpa Datuk Seri, PKR akan menjadi sebuah parti yang hidup segan mati tak mahu. Rata-rata penyokong PKR adalah penyokong kepada sentimen peribadi Datuk Seri sendiri sebagai "symbolic leader". Saya lihat kecenderungan Datuk Seri untuk menjadi Perdana Menteri menjadi objektif utama walhal usaha yang sepatutnya Datuk Seri usahakan iaitu menumpukan kepada kemantapkan kekuatan PKR. PKR sekarang terlampau bergantung kepada kekuatan PAS dan DAP.

Bayangkan jika sokongan dari PAS dan DAP tiada, PKR mungkin tinggal nama. Saya tidak pasti sama ada Datuk Seri sedar atau tidak bahawa, sokongan PAS dan DAP selama ini adalah semata-mata memanipulasi keupayaan Datuk Seri sebagai seorang pemimpin yang bijak bermain politik dan kata-kata. Mungkin ini adalah satu perjanjian "you scratch my back and i`ll scratch yours" diantara Datuk Seri dengan PAS dan PKR tetapi sampai bila? Apakah kesinambungan perjanjian ini dapat diteruskan jika suatu hari nanti Datuk Seri mengundur diri dari bidang Politik?

Faktor kejatuhan kerajaan Negeri Perak sememangnya adalah disebabkan parti PKR sendiri dan keupayaan Datuk Seri untuk mengawal ADUN-ADUN PKR. Ini menguatkan lagi kenyataan awal saya yang mengatakan PKR sudah menjadi satu liabiliti kepada Pakatan Rakyat. Kesilapan terbesar Datuk Seri adalah sikap yang terlampau yakin dengan pengambilalihan kuasa Kerajaan Persekutuan yang pada awalnya dijadualkan pada 16 Sept 2008. Kemudiannya ditunda kepada suatu tarikh sebelum Hari Raya Aidiladha 2008. Kesemuanya gagal dikotakan. Kesemua "dateline" Datuk Seri ini, bukan sahaja menipu rakyat dan penyokong PKR tetapi tidak membantu sama sekali cabaran ekonomi yang Malaysia hadapi pada tahun ini? Ketidak tentuan yang Datuk Seri timbulkan ini bukan sahaja tidak tidak membantu malah menidakkan usaha-usaha semua pihak untuk memantapkan persediaan menghadapi situasi kemerosotan ekonomi global.

Saya rasa Datuk Seri jauh lebih arif dengan terma "balance of power" dalam institusi Kerajaan. Sepatutnya Datuk Seri sebagai pemimpin pembangkang Pakatan Rakyat di Parlimen dapat mengepalai usaha ini, tetapi niat untuk menjadi PM adalah jauh menjadi agenda utama Datuk Seri. Ini tidak membantu sama sekali usaha menguatkan Malaysia secara amnya. Mungkin ADUN Changkat Jering dan ADUN Behrang adalah diantara pemimpin PKR yang sudah muak dengan objektif dan halatuju PKR dan mungkin dengan Datuk Seri sendiri. Tambahan pula usaha Datuk Seri yang terlebih dahulu menghalalkan usaha pembelian MP BN terutama selepas PRU12 Mac 2008. Bersabarlah Datuk Seri, usaha pengambilalihan kuasa Kerajaan Persekutuan sepatutnya dibuat pada PRU13 , dapatkan dahulu mandat dari rakyat, bukannya dengan cara-cara ( antaranya satu, dua, tiga dan empat ) yang Datuk Seri cuba lakukan di Sarawak dan Sabah.

Sebelum saya akhiri surat terbuka saya ini, ingin saya tekankan bahawa kemampuan Pakatan Rakyat sekarang ini banyak bergantung kepada usaha dan sokongan yang tidak putus-putus datang dari PAS dan DAP. Pakatan Rakyat menerima Datuk Seri dan PKR dengan hati yang terbuka, tetapi tidak mustahil kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan menjadi titik tolak kesedaran PAS dan DAP bahawa PKR dan Datuk Seri adalah satu liability yang teramat besar.

Sekian

Seorang Rakyat Marhaen


Read more!

Kenyataan Media dari Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah

Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.

KENYATAAN MEDIA PEJABAT DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

"Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM
Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.


Read more!

30 January 2009

Dato Seri Tajol Rosli Ghazali mengundur diri

Sebentar tadi Dato Seri Tajol Rosli Ghazali telah mengumumkan untuk mengundurkan diri sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak dan Pengerusi Barisan Nasional Perak berkuatkuasa serta merta. Dato ' Seri Najib Tun Razak pula akan mengambil-alih tugas-tugas beliau sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak dan Pengerusi Barisan Nasional Perak manakala Datuk Ahmad Zahid Hamidi pula akan bertindak sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak.

Pada sekitar penghujung bulan Mac 2009 atau lebih tepat lagi selepas Perhimpunan Agung UMNO 2009, seorang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak dan Pengerusi Barisan Nasional Perak yang baru akan dilantik kerana perlantikan Dato ' Seri Najib Tun Razak ini hanya bersifat sementara. Begitu juga dengan jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang dipegang oleh Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Dato Seri Tajol Rosli Ghazali telah berpendapat bahawa ada pemimpin yang lebih layak dan lebih baik dari beliau untuk memimpin UMNO & BN di Perak. Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat sebentar tadi telah menerima dan menghormati keputusan yang dibuat oleh beliau.


Read more!

21 January 2009

Kisah Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu 2009 dari pandangan someone yang "nobody"

Cerita pasal calon, ramai yang berpendapat isu calon adalah punca utama kekalahan BN di Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu 2009. Tetapi itulah hakikat yang menjadi buah mulut kebanyakan penduduk di Kuala Terengganu yang dapat didengari dengan telinga sendiri, baik dari golongan penyokong BN mahupun PAS. Malah jumlah orang BN yang menimbulkan isu ini lebih banyak berbanding dengan orang-orang PAS.

Personal touch dari Calon PAS juga jelas menampakkan hasil kepada penduduk di Kuala Terengganu. Sikap yang humble & down to earth wakil rakyat Wakaf Mempelam (selama 5 penggal) dapat dilihat dikebanyakan tempat orang-orang kebanyakan termasuklah di gerai-gerai kopi. Bukan setakat bersalaman dengan orang yang ada disitu, malah beliau sendiri duduk dan minum bersama mereka.

Mengikut Sejarah Pilihanraya Kuala Terengganu atau pun di Terengganu secara keseluruhanya, faktor calon memang memainkan peranan yang amat penting, tidak kiralah Parti apa yang seseorang calon itu mewakili. Calon PAS, BN (UMNO), Semangat 46 malah calon Bebas juga pernah menang di peti undi yang sama di negeri ini.

Suasana Pilihanraya di kebanyakan tempat di Kuala Terengganu seolah-olah dikuasai oleh orang-orang PAS seawal hari penamaan calon lagi. Bendera dan poster mereka jauh lebih cepat dinaikkan. Lambang PAS dapat dilihat di kebanyakan kenderaan, baju-baju orang yang lalu lalang, rumah-rumah penduduk dan pelbagai lagi. Di hari-hari yang berikutnya (selepas hari penamaan calon) baru lah disusuli dengan lambang BN, itu pun masih belum cukup untuk menyaingi "penaklukan" poster PAS.

Satu perkara yang manarik perhatian ialah kualiti poster-poster dan bendera-bendera yang dikibarkan oleh kedua belah pihak. PAS - cukup banyak poster-poster dan bendera-bendera yang sama ada recycle, lama, usang yang mungkin pernah digunakan untuk kempen. Inisiatif mereka memang jelas kelihatan apabila sanggup mengecat dan melukis lambang PAS menggunakan barang-barang terbuang, seperti papan lapis, tong drum dan lain lain lagi. BN - Keadaan yang sebaliknya terjadi. Poster-poster dan bendera-bendera mereka adalah serba baru.

Wow faktor yang dicipta oleh penyokong-penyokong PAS sekali lagi berkesan lebih-lebih lagi pada hari-hari dan waktu-waktu terakhir proses berkempen dibenarkan iaitu tepat jam 12 malam pada 16 Jan 09. Keadaan di kiri kanan jalan raya terutama di kawasan bandar Kuala Terengganu sarat dipenuhi dengan penyokong-penyokong PAS. Ditambah pula sokongan dari mereka yang berkenderaan yang lalu lalang di jalan tersebut. Seolah-olah satu sambutan pesta keraian yang begitu meriah. Mana perginyer penyokong BN? Approach PAS mendekati pengundi di tempat tempat yang strategik juga patut dipuji, sebagai contoh di Mydin yang berdekatan dengan Giant.

Jika dibuat perbandingan jumlah hadirin yang datang untuk ceramah PAS & BN, bagaikan boleh mengukur kekuatan sebenar calon dan parti yang mereka wakili. Walaupun hadirin ceramah PAS bukan hanya terdiri dari penyokong mereka sendiri tetapi keadaan ini sedikit sebanyak menunjukkan kekuatan daya tarikan ceramah-ceramah atau aktiviti-aktiviti anjuran PAS. Namun ada juga ceramah BN yang boleh disifatkan berjaya seperti pakej ceramah PAS KLUK KLEK yang berjaya menghimpunkan ribuan pengunjung dihampir kesemua lokasi yang dilawati.

Kisah orang muda pula boleh dikata banyak berpihak pada PAS. Ramai sungguh golongan muda yang ke hulu ke hilir berkempen. Jelas terpancar keseronokan dan keikhlasan dijiwa anak-anak muda ini apabila mereka bermotor, berkereta, berjalan kaki dengan berlambangkan PAS.

Banyak yang BN boleh pelajari dari kisah Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu 2009. Jika segala kisah ini tidak diambil teladan, tidak mustahil BN akan tewas lagi dan lagi dan lagi di masa akan datang. Untuk berubah sebelum PRU13 masih belum terlambat bagi BN.


Read more!

Siapa Yahudi? Siapa Orang Islam? - tulisan Dr. Farrukh Saleem

Artikel ini dipetik dari tulisan seorang penulis bebas, yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan, Dr. Farrukh Saleem

Begini tulisan beliau:
Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?

Siapa mereka ini?

Nabi Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian.

Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis. Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz menang Hadiah Nobel kerana kajian mengenai transmisi neuromuskular.

Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis). Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia).

Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.

Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.

Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).

Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).

Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).

Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).

Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata dunia.

Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.

Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.

Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?

Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.

Mempengaruhi

Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel.

Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah Yahudi.

Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?

Jawapannya: Pendidikan, pelajaran, ilmu.

Mengapa umat Islam terlalu lemah?

Dianggarkan 1,476,233,470 Muslim di atas muka bumi Allah ini. Satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di Amerika. Setiap lima insan manusia ialah Muslim. Setiap seorang Hindu ada dua orang Islam, setiap seorang Buddha ada dua orang Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus orang Islam. Mengapa orang Islam terlalu lemah?

Ini jawapannya: Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti; atau sebuah universiti untuk setiap tiga juta orang Islam.

AS mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, Shanghai Jiao Tong Universiti membuat kajian 'Kedudukan Akademik Universiti-universiti Dunia' - dan menakjubkan - tiada satu pun universiti-negara Islam yang berada di puncak 500.

Data yang dikumpul dari UNDP, tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara itu mempunyai 100 peratus celik huruf. Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus semuanya celik huruf.

Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang sekolah rendah, sementara hanya 50 peratus di negara majoriti Islam. Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2 peratus di negara majoriti Islam.

Negara-negara majoriti Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta).

Negara Islam membelanjakan 0.2 peratus daripada KDNK untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebaliknya, di negara maju membelanjakan 5 peratus daripada KDNKnya.

Kesimpulan: Dunia Islam kurang keupayaan untuk menghasilkan ilmu pengetahuan.

Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul buku yang dibaca oleh setiap sejuta orang adalah dua angka tunjuk bagi menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat.

Di Pakistan, hanya ada 23 akhbar harian per 1,000 rakyat Pakistan sementara nisbah di Singapura ialah 360. Di UK, jumlah judul buku per juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir ialah 20.

Kesimpulan: Dunia Islam gagal menyalurkan ilmu pengetahuan.

Yang menariknya, jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 buah negara ahli OIC ialah di bawah AS$2 trilion. Amerika sahaja, menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai AS$12 trilion, China AS$8 trilion, Jepun AS$3.8 trilion dan Jerman AS$2.4 trilion.

Pengeluar minyak yang kaya, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar secara rangkuman menghasilkan barangan dan perkhidmatan (rata-rata minyak) bernilai AS$500 bilion; Sepanyol sahaja menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai lebih AS$1 trilion, Poland AS$489 bilion dan Thailand AS$545 bilion.

Jadi, mengapa orang Islam tidak berkuasa dan orang Yahudi paling berkuasa?

Jawapannya ialah: Kurangnya ilmu. Kurangnya pendidikan dan kurangnya pelajaran.

p/s: sama-sama kita renungkan...

 


Read more!

15 January 2009

PAS Tunduk Pada DAP?

Sudah terang lagi bersuluh.... Itulah kenyataannya yang berlaku sekarang ini. Semua orang tahu, nampak dan dengar sendiri pendirian DAP yang menjadi sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat untuk tidak menerima hudud dan tidak akan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam.

PAS seakan hilang punca, tak tahu mana hendak lari apatah lagi telah jelas nampak gaya Pas tunduk kepada DAP, membelakangkan cerdik pandai Islam dan memalingkan mukanya kepada bukan Islam yang sememangnya nyata anti Islam dan orang yang diketahui ilmunya mengenai Islam untuk megharapkan pendapat bagi menjayakan Hudud.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pernah mengumumkan pada 7 Mac 2000, ketika dia menjadi Menteri Besar Terengganu bahawa Hudud tidak terlalu penting untuk disegerakan dan pelaksanaan Hudud ibarat 0.0001 peratus daripada aspek hukum-hukum Islam.

Tapi ia muncul semula apabila Kuala Terengganu berdepan dengan pilihan raya kecil. Jelas sekali hudud PAS sekarang ini adalah hudud pilihan raya yang digunakan untuk PAS memancing undi setelah tahu calonnya Mohd Wahid Endut semakin tersepit.
Mengikut rentetan retorik PAS mengenai hudud yang menjadi antara agenda politik, Kerajaan Pas Kelantan membayar RM250,000 kepada perunding bagi menyiapkan Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 yang dinamakan Hudud tetapi tidak dilaksanakan hingga sekarang.

Antaranya ialah fasal 56 terpakai untuk melantik orang Islam sahaja, manakala fasal 68 syarat lantik hakim ikut mahkamah sivil dan ini bermakna bukan Islam boleh jadi hakim mahkamah Hudud dan pada 25 Disember 1999 dimana PAS menang pilihan raya umum Negeri Terengganu dan persoalan berkaitan hukum hudud diajukan maka jawab Menteri Besarnya, Hadi Awang kata, Hudud ibarat 0.0001 daripada aspek hukum Islam.

Persoalannya, mengapa hukum hudud ini ditimbulkan setiap kali PAS bertanding dalam pilihan raya.


Read more!

09 January 2009

Aksi 'willi' dan 'wikang' tahun baru

dipetik dari harakah daily

"...pondan itu muncul dengan seorang lelaki yang memakai topi putih dengan t-shirt putih. Suasana menjadi gamat dengan sorakkan dan gelak ketawa dari pengunjung."

Beberapa jam sebelum tahun 2008 melabuhkan tabirnya diadakan Sambutan Tahun Baru Masehi, 2009. Di Shah Alam tidaklah semeriah seperti di Dataran Merdeka yang dihadiri oleh orang nombor satu Malaysia, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan pelbagai program nyanyian dan tarian serta bunyi letupan bunga api.

Walau bagaimanapun tiada program hiburan sekali pun tidak mematahkan semangat penduduk untuk menyambut Tahun Baru Masehi di Dataran Bandaraya Shah Alam. Lebih kurang 300 orang penduduk juga telah membanjiri jalan depan MBSA itu sejak jam sembilan malam lagi.

Salah seorang pengunjung berkata, pada tahun ini tiada sangat program, tiada apa yang boleh disaksikan melainkan katanya "kau tengok aku, aku pulak tengok kau dan kadang kala boleh mencuci mata".

Penulis yang membuat tinjauan di sekitar Dataran itu dan betul apa yang diperkatakan. Kalau yang belum kahwin, sememangnya tidak digalakkan datang.

Menjelang pukul 9.30 malam, budak berbasikal telah mula berkumpul di tepi tasik PKNS. Mungkin untuk mengumpulkan kekuatan untuk membuat pertunjukkan tidak rasmi kepada hadirin.

Rata-rata mereka adalah kanak-kanak Melayu dengan pelbagai 'style' pakaian seperti ala samseng motosikal di Amerika Syarikat.

Mereka juga telah mengubahsuai sehingga tidak nampak seperti basikal. Ada yang menjadi seperti motosikal honda EX 5, mungkin kanak-kanak inilah yang bakal menjadi pewaris mat rempit dimasa hadapan. Masalah itu pasti berlaku jika tiada penguatkuasaan dari pihak berkuasa.

Komen:

Persoalannya, siapakah pihak berkuasa tempatan sekarang?

Sepatutnya ibubapalah yang perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak agar dapat memupuk sifat-sifat murni dalam diri mereka. Anak-anak perlu diawasi setiap masa agar tidak mudah terjebak dalam perkara-perkara yang tidak sihat seperti ini. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukkan moral yang baik. Jangan mudah menunding jari menghentam dan menyalahkan orang lain terutama pihak kerajaan dalam menangani masalah seperti ini. Kita seharusnya bersama-sama membanteras perkara ini agar tidak berleluasa dan menjadi lebih teruk lagi di masa akan datang. Bukankah kawasn tersebut berada dalam pentadbiran yang kononnya melaungkan ajaran Islam (PAS), tetapi malangnya mereka bercuti sempena tahun baru juga.



Kehadiran mereka ini membuatkan kumpulan mat rempit hanya melihat gelagat budak berbasikal. Seramai 80 orang kanak-kanak yang kebanyakan berumur 9 hingga 14 tahun ini mula bergerak ke Dataran menjelang jam 10 malam dengan membuat aksi-aksi yang menarik perhatian hadirin.

Pada jam 10.30 malam, suasana menjadi bising sekejap kerana sorakan kanak-kanak basikal kepada tiga orang pondan yang berpakaian seperti tidak cukup kain. Suasana ini diselang seli dengan gelak ketawa dari pengunjung.

Komen:

Perkara sebegini perlulah diberi perhatian dan penglibatan oleh semua pihak. Kebanyakan punca-punca keruntuhan akhlak adalah berpunca daripada kurangnya didikan, asuhan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Kenapa tidak berdakwah pada mereka yang berpakaian sedemikian, jadi tidak perlu salahkan Kerjaan Pusat pula.

Dalam pada itu, sekali lagi, pondan itu muncul dengan seorang lelaki yang memakai topi putih dengan t-shirt putih. Suasana menjadi gamat dengan sorakkan dan gelak ketawa dari pengunjung.

Mungkin kerana malu, mereka berdua terus menghilangkan diri dalam himpunan manusia. Penulis sempat melihat riak wajah lelaki itu, ternyata dia malu dengan sorakkan itu. Tetapi pondan itu macam tiada perasaan langsung.

Pada pukul 11.00 malam, kanak-kanak basikal itu mula membuat pertunjukan dengan aksi 'Willi' dan 'Wikang' di Depan Dataran Shah Alam. Ternyata pengunjung terhibur dengan hiburan percuma mereka itu.

Penulis berasa sedih apabila mendapati mereka mula menghisap rokok pada usia yang begitu muda. Adakah pihak Polis tidak melihat gelagat mereka itu. Walaupun polis muda itu pun melihat gelagat mereka.

Komen:

Ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab yang utama dalam menangani masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi.

Selain itu, Penulis yang juga membuat tinjauan disekitar mengenai masalah rokok dikalangan muda-mudi, mendapati tidak kira lelaki mahu pun perempuan adalah sama menghisap.

Mungkin ada orang akan marah jika penulis mengatakan rokok itu haram. Tetapi masih ramai lagi ramai orang berpendapat, dengan menghisap rokok banyak idea yang bernas boleh dihasilkan. Walaupun harga sekotak rokok boleh buat beli nasi selama dua hari.

Pernah dulu kita kedengaran bahawa penghisapan rokok di tempat awam akan didenda oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Adakah ianya satu gimik atau pun hanya main-main pihak berkuasa.

Disini penulis mahu menegaskan, selama tiga jam membuat tinjauan di Piesta Sambutan itu mendapati bahawa masalah rokok tidak akan diselesaikan jika tiada kuatkuasa dari pihak-pihak berkuasa dan ibu bapa tidak akan berjaya. - azm_

Komen

Apa yang penting, tepuk dada tanya selera... jangan hanya menilai melalui mata tetapi fikirlah juga melalui minda. Nilailah sendiri masa hadapan bangsa kerana kita tidak akan berjaya dengan pelbagai aksi sebegini melainkan adanya pengawasan dari ibu dan bapa serta pihak berkuasa tempatan (Kerajaan Baru) ambil inisiatif...


Read more!