12 February 2009

'Campur tangan Tuhan' di Perak

Pada minggu ketiga Jun 2008, penulis dijemput menghadiri majlis jamuan makan mesra anjuran sebuah kelab Melayu di Perak. Jamuan tersebut diadakan di sebuah kelab golf, kira-kira setengah jam perjalanan dari Ipoh. Padang golf di atas tapak bekas lombong bijih timah itu menawarkan suasana yang cukup memukau.

Tetamu khas yang dijemput menyampaikan ucaptama pada malam itu ialah Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, jurutera yang ketika itu baru tiga bulan setengah menduduki kerusi Menteri Besar Perak.

Itulah kali pertama penulis mendengar Nizar berucap di khalayak ramai. Beliau kelihatan bersungguh-sungguh untuk cuba mendapatkan keyakinan ahli-ahli kelab. Ia bukan sebarang kelab.

Ahli-ahlinya terdiri daripada golongan atasan dan menengah Melayu Perak. Walaupun ahlinya tidak ramai, kelab itu cukup berpengaruh dan sudah menabur bakti sejak awal 1970-an.

Nizar cuba menarik perhatian audiens dengan memulakan ucapan dalam bahasa Mandarin sebelum beralih ke Tamil. Penulis nampak ada semacam kejanggalan dengan sikapnya itu.

Semua hadirin adalah orang Melayu. Beliau seperti tidak arif menggunakan pengetahuan dan kefasihannya mengikut situasi dan konteks.

Seterusnya beliau merungut, kerana menurutnya kebanyakan orang Melayu Perak tidak meraikan kemenangannya dan tidak mengalu-alukan penubuhan kerajaan campuran DAP-PKR-Pas. Beliau menyatakan kekecewaan dengan situasi itu.

Rakan di sebelah penulis bagaimanapun berbisik: "Menteri Besar ini asyik gunakan modal dan retorik yang sama sejak beliau naik. Bagaimana saya boleh meraikannya jika yang menang bukan Melayu dan beliau pula dibayangi oleh orang lain?" Penulis hanya mampu berdiam diri kerana tidak boleh memberi komen terlalu awal.

Menteri Besar itu seterusnya mengucapkan beberapa potong ayat al-Quran dan memberikan tafsirannya. Penulis ketika itu mula berasa seperti berada di kuliah subuh dan terfikir adakah Nizar sedang mempromosi imej 3 dalam 1: "politikus, intelektual dan agamawan"?

Beliau turut menghujahkan dengan panjang lebar bahawa kerajaan campuran di Perak adalah hasil Divine Intervention (campur tangan Tuhan). Ia hasil kegagalan kerajaan terdahulu.

Istilah itu disentuh dan ditekankan beberapa kali. Agaknya beliau mahu mewajarkan pelantikannya dan pada masa yang sama mahu memberikan nilai dan sentuhan keagamaan.

Namun agak menghairankan kenapa beliau tidak mengaitkan semua itu dengan takdir. Istilah itu lebih mudah difahami memandangkan semua audiens yang hadir adalah Melayu dan beragama Islam.

Islam menuntut penganutnya beriman dengan takdir, seperti firman-Nya dalam surah al-Qamar, ayat 49. "Sesungguhnya Kami telah menjadikan setiap sesuatu dengan ukuran."

Penulis akhirnya membuat andaian, Nizar mungkin memilih istilah itu kerana ia lebih mudah difahami oleh rakan-rakan kongsinya dalam kerajaan campuran. Kepercayaan dan ideologi parti-parti di dalam pakatan itu bukankah sangat berbeza?

Sewaktu sesi soal jawab, seorang ahli perniagaan yang juga bekas pegawai kanan kerajaan membangkitkan isu tanah. Katanya, beliau mendengar ada desas-desus bahawa hak milik kekal akan diberikan kepada penduduk di kampung-kampung baru Cina.

Menurut bekas Pegawai Daerah itu, isu tersebut amat sensitif. Ia akan merubah landskap pemilikan hartanah di Perak secara drastik. Usahawan itu melengkapkan soalan mengenai isu tersebut dengan fakta-fakta yang meyakinkan.

"Semua masih di peringkat kajian. Kita akan mendapatkan pandangan perundangan daripada pihak-pihak tertentu," jawab Nizar kepada soalan itu.

Ketika itu, audiens telah tahu bahawa pihak perundangan Perak telah menasihatkan kerajaan negeri mengenai isu tanah tersebut.

Jadi, siapakah "pihak-pihak tertentu" yang dimaksudkan oleh Nizar? Semua yang hadir kebingungan.

Malam itu, ketika memandu pulang selama tiga jam ke Kuala Lumpur, ada puisi menjelma di benak penulis. Semuanya berkisar tentang kedatangan seorang pemimpin yang bijak tetapi angkuh, dan akhirnya dia tidak dipedulikan.

Apakah ia adalah firasat bahawa pemimpin yang baru saya temui tidak akan bertahan lama?

Kesan magis retorik hanya mampu bertahan buat seketika. Politik memerlukan lebih daripada itu. Penulis namakan sajak itu Merah Derita Senja Ketika Tiba Wira. Sajak itu tersiar dalam Dewan Sastera, Ogos 2008.

Merah Derita Senja Ketika Tiba Wira

(Buat mnj)

Merah derita senja disapa kelam begitulah.

Rimbun mempadang pun lestarikan

Sandiwara pawana yang panjang.

Sebentar akan datang malam

membawakan wira berbakat besar.

Berlakonlah sang mandala putera

pentas ini terbuka selamanya

sayang seri panggung sudah lama beradu.

Menyanyilah bertandaklah selagi mampu

lampu limpah mengerlipkan lantari hijaumu.

Tanpa serunai biola kecapi tifa dan tambur rucah

langkah dan lenggang siapa pun mati terkunci.

Merah derita senja terbenam di perut malam ketika tiba wira di pentas terbuka milik kita.

Clearwater Sanctuary BATU Gajah, Perak

Ahli politik memang sukar membebaskan diri sepenuhnya daripada kepungan paradoks 'pemimpin politik' dan 'pengamal politik' seperti juga kesulitan sasterawan membezakan antara 'membaca' dan 'menulis'.

Namun penyelesaian yang seratus peratus non-paradoks juga sukar ditemui. Lalu iman, rasional dan akal budi yang sering menjadi benteng penyelamat.

Genap tujuh bulan setengah selepas makan malam itu 'campur tangan Tuhan' yang disebut-sebut oleh Nizar berlaku lagi di Perak. Cuma bezanya ia tidak menyebelahi kerajaan campuran.

Namun Nizar ingkar dengan takdir itu. Beliau juga enggan menerima apa yang menimpa dirinya dan kerajaan campuran sebagai "qada dan qadar".

Kini, berdasarkan perkembangan semasa di Perak, penulis ini menyoal bekas Menteri Besar itu adakah insiden yang menimpa kerajaan campuran di Perak pada 4 Februari lalu merupakan 'campur tangan Tuhan'? Perkataan itu sebenarnya tidak dikhususkan untuk menyebelahi kerajaan campuran pembangkang sahaja.

Ia juga boleh mengangkat martabat Barisan Nasional. Bukankah Allah telah mengukur setiap kejadian-Nya?

Bijak mengumpul pengikut di jalanan tidak semestinya bijak mentadbir. Yang jelas, budaya demonstrasi jalanan sudah menular ke pentadbiran negeri.

Nizar juga rupanya sudah lupa sopan santun dan seni berbahasa. Beliau mengatakan Sultan Azlan Shah "memohon supaya saya meletakkan jawatan".

Adakah beliau tidak faham yang Sultan sebenarnya telah menitahkan beliau meletak jawatan atau dalam kata lain, "letak jawatan sekarang".

Sementara itu, sentimen ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap institusi kesultanan Melayu juga jelas. Beliau mengarahkan Nizar meneruskan tugas sebagai "Menteri Besar".

Beliau menegaskan "mahkamah rakyat" adalah gelanggang sebenar untuk menguji sokongan dan mencari kepastian. Penulis setuju. Namun kita perlu menunggu.

Mahkamah rakyat akan bersidang empat tahun dari sekarang. Penulis setuju dengan pandangan Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap Anwar.

Malim Ghozali PK ialah penulis karya kreatif dan esei akademik serta isu-isu semasa

Oleh MALIM GHOZALI PK, Dipetik dari Utusan Malaysia


Read more!

11 February 2009

Hidung Tak Mancung, Pipi Tersorong-sorong

Menteri Besar (MB) Perak ke-10 dalam tempoh 10 bulan, dengan flat kereta bernombor 10, dan kini kemaruk dengan jawatan MB walaupun titah Sultan Perak mahukan beliau dan exco-exco kerajaan negerinya meletakkan jawatan.

Tindakan dangkal Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin memohon derhaka terhadap titah Sultan Perak menunjukkan ia tidak lebih kepada memalukan diri sendiri. Adalah diharapkan tindakan diluar norma sebagai orang Melayu itu tidak menimbulkan murka sultan hingga memaksa dia dibuang negeri, ditarik anugerah, semuanya disebabkan menurut kata hati dan telunjuk orang lain.

Mungkin Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu menghadamkan ‘fatwa’ Mursyidul Amnya yang mengatakan tindakan mencabar kuasa Sultan bukan satu bentuk penderhakaan.

Ini berbeza dengan mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang mengatakan sesiapa sahaja yang tidak taat kepada pemerintah ataupun raja yang memerintah sesebuah negeri, orang itu dianggap tidak derhaka.

“Raja yang adil dan bijaksana dalam melaksanakan tugas demi kepentingan umat Islam asalkan tidak bertentangan dengan syariat, wajib dihormati,” ujar beliau.

Mungkin beliau lupa, jawatan yang dipegangnya dahulu atas perkenan Sultan walaupun wakil Pas hanya enam orang, berbanding DAP sebanyak 18 dan PKR tujuh orang kerana Undang-undang Tubuh Negeri Perak mensyaratkan Menteri Besar hendaklah dilantik di kalangan orang Melayu dan Islam.

Keengganan keluar dari kediaman rasmi dengan harapan kerajaan BN akan mengusir dan akan mengatakan BN zalim strategi yang tidak menjadi apabila MB Perak yang baru sahaja ditabalkan oleh Sultan Perak mengizinkannya tinggal di situ ‘seberapa lama yang dia suka’.

Ini menunjukkan Nizar seorang yang gila kuasa!

Rakyat yang waras mindanya sudah muak dengan kerenah pembangkang di Perak, pelbagai keputusan yang dibuat oleh mesyuarat exco banyak berpihak dan memberi untung di satu pihak yang menjadi majoriti di dalam ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Mana mungkin pelabur ingin membuat temujanji dengannya selepas 6 Februari lalu, secara sahnya beliau bukan lagi MB yang sah, sudah pasti para pelabur tidak ada keyakinan terhadap beliau dan bekas barisan exco negeri mampu mentadbir negeri dengan sebaiknya.

Begitu juga, bagaimana pula dengan sumber kewangan bagi beliau mentadbir ‘kerajaan langitnya’ dan hanya membuat keputusan ‘syok sendiri’ sahaja.

Sebagai saudara sesama Islam, bukan sahaja penulis sahaja yang memikirkan perkara yang sama tetapi juga orang Islam yang lain yang waras akalnya akan bersetuju dengan penulis, insaflah wahai Nizar, jangan jadi boneka buat kali kedua.

Bukan sahaja orang lain, bahkan darah dagingnya sendiri, abang sulung, Mohd Radzi turut menasihati beliau agar akur kepada titah Sultan dan dapat berfikir secara rasional demi kebaikan diri dan keluarga secara keseluruhannya.

Akibatnya, diri sendiri akan menanggung malu dan secara tidak langsung membabitkan ahli keluarga yang lain. Sayangilah keluarga anda.


Read more!

10 February 2009

Bapa Segala Lanun

Jika UMNO diumpamakan lanun kerana merampas Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak maka Anwar Ibrahim, Husam Musa dan pemimpin-pemimpin PAS, PKR & DAP boleh dianggap bapa lanun kerana usaha dan perancangan mereka untuk merampas Kerajaan Persekutuan pada 16 September, seterusnya ditunda ke beberapa tarikh yang lain. Bukankah ketidak tentuan yang mereka timbulkan akibat pelbagai deadline itu, sesuatu tindakan yang sememangnya menipu rakyat? Jika anda semua ingat kesungguhan mereka untuk "melanun" amat jelas dan nyata sehingga sanggup memburu dan menagih simpati Ahli-ahli Parlimen BN yang membuat lawatan ke Taiwan.

Pada 25 January 09, mereka ini amatlah gah dan angkuh kerana berjaya memujuk ADUN BN Bota untuk lompat parti masuk PKR. Segala pujian yang menggunung diterima dari "bapa-bapa lanun" ini Anwar Ibrahim, Husam Musa dan pemimpin-pemimpin PAS, PKR & DAP. Mereka menyifatkan ini tindakan mulia, murni dan berkhemah kerana berjaya meninggalkan UMNO. Bila sudah kena batang hindung sendiri maka baru lah sedar tinggi rendahnya langit ini.

Berikut adalah antara statement "lanun" yang dibuat Dato Husam Musa di Harakah

Tindakan Umno rampas Perak umpama lanun - Husam

KOTA BHARU, 9 Feb (Hrkh) - Tindakan Umno merampas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak seumpama kumpulan lanun dengan mengulangi peristiwa yang pernah berlaku pada 1961 di Terengganu dan 1968 di Kelantan.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, tindakan Umno 'merompak' hak mutlak seseorang dengan cara paksaan sudah menjadi tradisi yang diulangi lagi bagi menafikan kerajaan yang dipilih rakyat.


Read more!

09 February 2009

Anwar Ibrahim Punca Kemelut Pakatan Rakyat - Karpal Singh



Marah sangat Pengerusi DAP, Karpal Singh kepada Anwar Ibrahim nampaknya. Itu lah statement yang keluar dari mulut peguam tua ini pada press conference beliau, semalam. Menurutnya Anwar Ibrahim adalah punca segala kemelut politik yang berlaku sekarang dan sudah tidak layak untuk mengepalai Pakatan Rakyat secara amnya. Oleh itu beliau menuntut supaya Anwar Ibrahim mengundur diri dari posisinya sebagai Ketua Pakatan Rakyat.

Beliau menyalahkan Anwar Ibrahim kerana ketidaktentuan yang berlaku didalam Pakatan Rakyat adalah berpunca dari kepercayaan yang mereka mampu menumbangkan Kerajaan Persekutuan dengan penghijrahan besar-besaran Ahli Parlimen BN ke Pakatan Rakyat. Tetapi kini segalanya terbukti, itu semua tidak lebih sekadar retorik, retorik dan retorik dari seorang manusia bernama Anwar Ibrahim. Mungkin ini lah yang dimaksudkan pepatah Melayu "Apabila senjata makan tuan".

Veteran DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga tidak terlepas dari kemarahan beliau. Menurut Karpal Singh, mereka sepatutnya lebih konsisten dengan kenyataan dan pemahaman mereka tentang isu "lompat parti" ini. Beliau juga kesal kerana tidak mendapat sokongan yang sepatutnya dari Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng malah kedua-dua mereka lebih cenderung membuat kenyataan yang menyokong Anwar Ibrahim.

Isu Hudud juga disentuh oleh beliau. Menurutnya, DAP perlu menimbangkan kembali cadangan untuk keluar dari Pakatan Rakyat kerana percanggahan pendapat mengenai Hudud walaupun tiada sokongan terhadap beliau.


Read more!

07 February 2009

Rakyat Perak Sayangkan Yang Mulia Sultan Azlan, Orang Luor Jangan Kaco



Cerita yang berlaku semalam membuatkan teman call member-member teman kat area Kuale. Selalunyer pekan Kuale memang satu tempat yang takde ler sibuk benor, sibuk ngan orang yang bershopping peroyok, kuali, toto, bakul ade ler.

Mula-mula ingat kan semunyer orang Kuale, tapi terdetik juge hati teman takan ler semuanyer sanggup nak buat rhopa tuh. Rhopa-rhopanyer yang jadik kepala mende ni adalah orang luor. Berapa banyak bas-bas dari luor yang bawak deme-deme nih datang Kuale. Banyaknyer datang dari Selangor dengan KL yang dari Kelantan pun ade. Ingatkan rombongan mende. Datang Kuale buat kaco. Kurang ajor dengan Sultan jangan ler cakap, tahan keta, baling batu dan macam-macam lagi.

Sultan Azlan bukan lah calang-calang Sultan, lebih-lebih lagi bab-bab jurisdiction and legislation. Kite juge jangan lupa Ustat Harussani yang amat kite hormati masih disisi Tuanku Sultan Azlan. Mesti ada sebab ngape Sultan perkenankan Zambry naik ganti Nizar. Puak-puak PAS ni pun satu ni pun satu hei, time lepaih PRU12 arituh, bukan main lagi junjung Sultan, sebabnya tak bagi DAP jadik MB Perak. Walaupun kedudukan kerusi masa tuh DAP 18, PKR 7 dan PAS 6. Nasib baik ada Sultan Azlan. Kalau takde, kite dapat dah MB dari DAP. Skang ni biler suruh turun, sebab majoriti takde, bukan main lagi ligat kurang ajornyer, rasa macam nak ligan aje kepala sekor-sekor. Termasuk ler orang yang mule-mule nak saman Tuanku Sultan iaitu Karpal Singh.

Sememangnya Rakyat Perak masih lagi sayangkan Sultannya.


Read more!

06 February 2009

Surat Terbuka Untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim

Saya terpanggil untuk menulis surat terbuka ini kepada Datuk Seri berdasarkan isu-isu terkini yang PKR hadapi sejak akhir-akhir ini. Sebelum itu masih belum terlambat saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri kerana berjaya memenangi kerusi Parlimen Permatang pada Ogos 2008. Bukan mudah untuk membuat "comeback" dalam politik lebih-lebih lagi setelah Datuk Seri pernah dipenjarakan buat seketika waktu dahulu. Saya juga berharap Datuk Seri berjaya mengharungi perbicaraan kes liwat yang bakal didengar tak lama lagi. Datuk Seri juga tidak perlu risau dan takut dengan azab api neraka yang dihukumkan kepada mereka yang melakukan hubungan kelamin di luar tabii jika Datuk Seri tidak bersalah.

Berdasarkan senario kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang secara rasminya pada hari ini, saya amat berharap Datuk Seri dapat menerima hakikat yang PKR adalah satu parti yang paling lemah berbanding dengan PAS & DAP, bukan sahaja di Perak malah kesemua negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat secara khususnya. Kini disebabkan PKR, kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah pula dalam situasi berjaga-jaga dengan usaha mengadakan sidang tergempar yang dihadiri oleh kesemua ADUN dan Ahli Parlimen Kedah semalam. Datuk Seri perlu mengakui yang PKR sekarang ini adalah satu liabiliti kepada PAS dan DAP.

Ramai yang semakin sedar bahawa PRK adalah parti "one man show". Lebih-lebih lagi jika tanpa Datuk Seri, PKR akan menjadi sebuah parti yang hidup segan mati tak mahu. Rata-rata penyokong PKR adalah penyokong kepada sentimen peribadi Datuk Seri sendiri sebagai "symbolic leader". Saya lihat kecenderungan Datuk Seri untuk menjadi Perdana Menteri menjadi objektif utama walhal usaha yang sepatutnya Datuk Seri usahakan iaitu menumpukan kepada kemantapkan kekuatan PKR. PKR sekarang terlampau bergantung kepada kekuatan PAS dan DAP.

Bayangkan jika sokongan dari PAS dan DAP tiada, PKR mungkin tinggal nama. Saya tidak pasti sama ada Datuk Seri sedar atau tidak bahawa, sokongan PAS dan DAP selama ini adalah semata-mata memanipulasi keupayaan Datuk Seri sebagai seorang pemimpin yang bijak bermain politik dan kata-kata. Mungkin ini adalah satu perjanjian "you scratch my back and i`ll scratch yours" diantara Datuk Seri dengan PAS dan PKR tetapi sampai bila? Apakah kesinambungan perjanjian ini dapat diteruskan jika suatu hari nanti Datuk Seri mengundur diri dari bidang Politik?

Faktor kejatuhan kerajaan Negeri Perak sememangnya adalah disebabkan parti PKR sendiri dan keupayaan Datuk Seri untuk mengawal ADUN-ADUN PKR. Ini menguatkan lagi kenyataan awal saya yang mengatakan PKR sudah menjadi satu liabiliti kepada Pakatan Rakyat. Kesilapan terbesar Datuk Seri adalah sikap yang terlampau yakin dengan pengambilalihan kuasa Kerajaan Persekutuan yang pada awalnya dijadualkan pada 16 Sept 2008. Kemudiannya ditunda kepada suatu tarikh sebelum Hari Raya Aidiladha 2008. Kesemuanya gagal dikotakan. Kesemua "dateline" Datuk Seri ini, bukan sahaja menipu rakyat dan penyokong PKR tetapi tidak membantu sama sekali cabaran ekonomi yang Malaysia hadapi pada tahun ini? Ketidak tentuan yang Datuk Seri timbulkan ini bukan sahaja tidak tidak membantu malah menidakkan usaha-usaha semua pihak untuk memantapkan persediaan menghadapi situasi kemerosotan ekonomi global.

Saya rasa Datuk Seri jauh lebih arif dengan terma "balance of power" dalam institusi Kerajaan. Sepatutnya Datuk Seri sebagai pemimpin pembangkang Pakatan Rakyat di Parlimen dapat mengepalai usaha ini, tetapi niat untuk menjadi PM adalah jauh menjadi agenda utama Datuk Seri. Ini tidak membantu sama sekali usaha menguatkan Malaysia secara amnya. Mungkin ADUN Changkat Jering dan ADUN Behrang adalah diantara pemimpin PKR yang sudah muak dengan objektif dan halatuju PKR dan mungkin dengan Datuk Seri sendiri. Tambahan pula usaha Datuk Seri yang terlebih dahulu menghalalkan usaha pembelian MP BN terutama selepas PRU12 Mac 2008. Bersabarlah Datuk Seri, usaha pengambilalihan kuasa Kerajaan Persekutuan sepatutnya dibuat pada PRU13 , dapatkan dahulu mandat dari rakyat, bukannya dengan cara-cara ( antaranya satu, dua, tiga dan empat ) yang Datuk Seri cuba lakukan di Sarawak dan Sabah.

Sebelum saya akhiri surat terbuka saya ini, ingin saya tekankan bahawa kemampuan Pakatan Rakyat sekarang ini banyak bergantung kepada usaha dan sokongan yang tidak putus-putus datang dari PAS dan DAP. Pakatan Rakyat menerima Datuk Seri dan PKR dengan hati yang terbuka, tetapi tidak mustahil kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan menjadi titik tolak kesedaran PAS dan DAP bahawa PKR dan Datuk Seri adalah satu liability yang teramat besar.

Sekian

Seorang Rakyat Marhaen


Read more!

Kenyataan Media dari Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah

Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.

KENYATAAN MEDIA PEJABAT DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

"Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM
Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.


Read more!