19 May 2009

Kisah dari DUN Perak

Polemik politik yang berlaku di negeri Perak sejak Februari lalu kini semakin berlarutan memasuki fasa yang penuh mencabar apabila sikap wakil rakyat dari pakatan pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang berlagak seperti ‘hero’ dan masih bersikap tidak dapat menerima kenyataan.

Mereka bertindak sejak dari hilangnya tampuk pemerintahan hinggalah sekarang seolah-olah mahu bertongkatkan langit, sebagaimana yang telah diperlihatkan oleh wakil-wakil rakyat pembangkang dengan kelakuan semacam hilang akal sehingga berdiri di atas meja, menghamburkan kata-kata kesat kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Bebas yang menyokong BN, di samping tindakan bekas Speaker Dewan yang ‘melekat’ di kerusi yang bukan lagi menjadi miliknya.

Kekecohan timbul apabila Sivakumar enggan memulakan persidangan sebelum Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak serta sembilan ahli Dewan lain meninggalkan Dewan atas penggantungan yang dibuat olehnya ketika bersidang di bawah pokok pada Mac lalu walaupun kemudiannya mahkamah telah memutuskan ia sebagai tidak sah.

Tindakan seperti orang hilang akal itu bukan sahaja berlaku di dalam dewan yang mulia malahan sejak awal lagi pemimpin pakatan pembangkang yang datang dari luar Perak kelihatan di kawasan berhampiran di mana beberapa pemimpin pembangkang masing-masing menunjukkan ‘keras kepala’ dan tunjuk ‘hero’ di hadapan penyokongnya membuat provokasi kepada pasukan keselamatan dengan harapan ditahan, dan ianya menjadi…

Dapat disimpulkan tindakan wakil rakyat yang tidak beretika dan beradab itu langsung tidak menghormati institusi kesultanan negeri mereka sendiri, apabila terus membuat huru-hara tanpa mempedulikan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah sehingga terlewat lima jam untuk titah rasmi pembukaan sidang DUN.

Sedangkan persidangan DUN pada 7 Mei itu mendapat perkenan daripada Sultan Perak, berbeza dengan ‘sidang bawah pokok’ itu, dan sudah pasti mereka bertindak sedemikian agar persidangan tersebut gagal dan menjadikan rakyat sebagai ‘kambing hitam’ atas alasan kononnya rakyat negeri Perak mahukan pembubaran DUN.

Bekas Menteri Besar boneka Perak yang dijadikan ‘simbol demokrasi’ mereka dari parti Pas, parti yang kononnya mendukung ajaran suci Islam tetapi bertindak sebaliknya, turut kaku mengawal gelagat rakan-rakan sekutunya terutama daripada Dap yang jelas melampaui batas.

Sekiranya beliau benar-benar seorang yang ikhlas dalam perjuangan dan cintakan kepada keharmonian, pasti rakan-rakannya lebih awal memberi kerjasama duduk dengan tenang dan lebih awal tanpa campur tangan Raja Dr. Nazrin Shah.


Read more!

14 May 2009

Peningkatan Kadar Jenayah & Warga Asing

Hampir setiap hari, ada sahaja berita-berita jenayah yang berlaku di segenap pelusuk tanah air tercinta dipaparkan oleh media. Kes rompak, rogol, bunuh bukanlah sesuatu yang asing buat kita rakyat Malaysia pada ketika ini. Seingat saya ketika awal 80an kadar jenayah yang berlaku pada ketika itu amatlah kurang. Malah anak-anak kecil pada zaman itu bebas bermain di mana sahaja. Setakat pergi ke kedai untuk membeli barangan runcit tidak menjadi masalah. Tetapi kini, saya yang kini sudah berkeluarga, akan memastikan anak-anak kecil saya bermain dalam lingkungan pemerhatian mata saya sahaja. Adakah anda juga kongsi kerisauan saya?

Kenaikan kadar jenayah di Malaysia dewasa ini memang ada kaitan dengan kebanjiran warga asing. Sebagai contoh, mengikut statistik dari Kementerian Dalam Negeri, seramai 2,906 kes bunuh dilaporkan bermula 2004 hingga 2008 dan tahun lalu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 652 kes kesemuanya. Semakin ramai warga asing datang maka semakin tinggi kadar jenayah yang berlaku.

Ada yang berpendapat, kita tidak boleh menyalahkan 100% masalah kadar kenaikan jenayah ini berpunca dari mereka sahaja kerana ada juga golongan warga tempatan yang menjadi penyumbang kepada statistik jenayah tetapi warga asing sebenarnya juga bertanggungjawab sedikit sebanyak menyumbang kepada perlakuan penjenayah-penjenayah warga tempatan. Pertembungan budaya dan cara hidup mereka yang kadangkala amat berlainan dengan cara kita di sini sebenarnya memberi kesan yang agak negatif rakyat tempatan. Mungkin impak pertembungan budaya itu kecil jika jumlah warga asing tidak seramai yang ada sekarang ini.

Kerajaan perlukan pendekatan yang lebih keras dan tegas bila melibatkan isu keselamatan awam seperti ini. Sehubungan dengan itu, adalah dicadangkan pihak kerajaan untuk mengkaji pendekatan yang berkesan yang dilaksanakan oleh negara-negara maju lain untuk menangani masalah yang serupa. Seumpamanya di negara Matahari Terbit, Jepun telah mengambil pendekatan yang begitu praktikal dan berkesan dalam menangani masalah yang dibawa oleh pendatang asing. Sedar tak sedar rakyat kini semakin risau dan takut dengan kadar jenayah akibat dari kebanjiran warga-warga asing ini.


Read more!

07 May 2009

Sidang DUN Perak

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan berlangsung hari ini mengikut tarikh yang telah diputuskan sejak sebulan lalu dan inilah kali pertama DUN Perak bersidang selepas peralihan tampuk pentadbiran negeri dan kemelut politik termasuklah persidangan ‘bawah pokok’ oleh pakatan campuran.

Namun demikian, apa yang dikesalkan berkaitan dengan persidangan yang akan berlangsung tersebut, nampaknya ada pihak yang tidak senang terutamanya sekutu dalam pakatan campuran.

Tentu ada sebabnya, dan yang pasti pakatan campuran memang merancang untuk menggagalkan Sidang DUN Perak di bawah pentadbiran BN.

Untuk tujuan ini, mereka sanggup berbuat apa sahaja, bukan setakat mengutus surat kepada Baginda Sultan, naik turun mahkamah dan terbaru pula, mereka juga merancang mengadakan tunjuk perasaan.

Perlu difahami bahawa apa yang berlaku di DUN Perak sengaja dirumitkan dengan manipulasi pakatan campuran untuk menggagalkan perancangan yang telah dibuat sedangkan telah nyata bahawa Baginda Sultan dan kerajaan BN sendiri enggan melayan sebarang tuntutan tidak berfaedah kerana yang penting adalah tumpuan kepada pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Sebelum ini juga, Datuk Hafarizam Harun selaku Ketua Undang-undang/Penasihat Undang-undang UMNO telah memaklumkan bahawa Menteri Besar Datuk Dr. Zambry bersama Exconya layak untuk hadir dalam Sidang DUN malah apa jua alasan atau pendapat bertentangan dengan hasrat dan tujuan perintah tersebut adalah suatu bentuk penghinaan terhadap mahkamah.

Walau bagaimanapun, pakatan campuran sememangnya tidak berpuas hati lantas mereka cuba pula memperalatkan rakyat dengan menghasut untuk mengadakan satu himpunan yang diberi nama ‘One Black Malaysia’.

Kononnya sebagai tanda sokongan terhadap kerajaan pakatan campuran yang dipimpin oleh Nizar sekaligus menyatakan bantahan terhadap BN.

Jelas di sini bahawa pakatan campuran tidak berlaku adil, tidak matang dan bersikap seperti anak kecil dengan cuba menunjuk-nunjuk di khalayak ramai sedangkan secara perundangan sendiri telah jelas bahawa jawatan Nizar terlucut dengan sendirinya.

Dalam hal ini, kedudukan kerusi DUN adalah serupa semasa Pakatan PAS-DAP-PKR memerintah dengan jumlah 31 kerusi tetapi pada kali ini jumlah majoriti berkenaan dimiliki BN ekoran tambahan tiga kerusi dari wakil bebas.

Berikutan polemik politik Negeri Perak yang masih berlarutan hingga hari ini sejak Februari lalu, tidak dinafikan bahawa semua lapisan rakyat berhak untuk menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing tetapi janganlah sampai yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu.

Lantas, mengapa perhimpunan jalanan (demonstrasi) dijadikan pilihan sedangkan, tidak kira apa sahaja bentuknya sekalipun, ia akan tetap membawa kepada kesan negatif.

Walaupun demonstrasi secara relatifnya dari segi demokrasi adalah tidak salah tetapi perlu dilihat impaknya ke atas masyarakat yang mencakupi pelbagai aspek bukan sahaja dari segi sosial tetapi ia secara tidak langsung membantutkan ekonomi.

Jika dilihat, demonstrasi kecil yang berlangsung tersebut adalah suara segelintir individu untuk bercakap terus kepada pemimpin iaitu mengambil peluang atas kehadiran mereka yang ada, namun apakah kesudahannya?

Jika difikirkan, adakah mereka ini bergerak bersendirian atau ada pihak yang sengaja menimbulkan isu dan mewujudkan kelompok sedemikian lantas menangguk di air keruh demi untuk kepentingan peribadi?

Sewajarnya, mengapa tidak difikirkan kelangsungan kesan terhadap individu dan masyarakat sekeliling.

Ambil sahaja negara-negara jiran lain sebagai contoh kepada kesan demonstrasi jalanan yang selalu dilakukan. Alasan mereka ialah demokrasi dan kebebasan bersuara yang tidak disertai dengan pemikiran rasional dan jati diri rakyatnya yang hanya menyumbangkan kepada keruntuhan sesebuah negara.

Rakyat sesebuah negara yang masih lagi belum begitu matang dari segi pemikiran dan emosinya hanya akan menggunakan sentimen apabila membicarakan mengenai demokrasi, kebebasan bersuara dan menuntut hak asasi yang merupakan antara cara Barat untuk menundukkan negara Islam.

Tetapi, ia tetap memberikan kesan negatif terhadap pelaburan, pelancongan dan pandangan negatif oleh dunia luar kepada negara tersebut.

Demonstrasi jalanan ini hanya menyumbang kepada gejala negatif dan keruntuhan sahaja kerana ia secara tidak langsung boleh bertukar menjadi ganas seperti mana di negara-negara yang sedia maklum apabila penduduk bertindak menghalang laluan di jalan-jalan utama dan merosakkan kenderaan yang enggan menyertai protes yang diadakan.

Dalam menghadapi situasi ini, sememangnya ada pihak yang telah membuat perancangan dengan mengajak rakyat mengadakan demonstrasi sebagai bantahan kepada tindakan BN untuk mentadbir dengan aman di Perak.

Lantas fikirlah sendiri kenapa demonstrasi dilakukan sedangkan rakyat punya pilihan lebih baik!


Read more!

23 April 2009

UMNO Sedia Kerjasama, Pas Letak Syarat

Pelawaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menyatakan bahawa UMNO sedia bekerjasama dengan Pas dan parti-parti pembangkang lain dalam usaha mewujudkan kestabilan politik di negeri Perak disalah tafsir lantas diletakkan syarat untuk mempersetujuinya.

Dalam hal ini, Dr. Zambry menyatakan bahawa keinginan untuk bekerjasama itu perlu datang daripada kedua-dua belah pihak dan bukannya UMNO sahaja dan tujuan juga bagi mengekalkan kestabilan politik di negeri tersebut.

Bagaimanapun, dilaporkan bahawa pelawaan tersebut ditolak oleh Pas yang berkeras mahu Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Difahamkan bahawa Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri yang juga mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mahukan, pembubaran DUN dibuat sebagai jalan penyelesaian terbaik ke arah mencapai kestabilan politik di negeri ini.

Dalam hal yang sama, Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang juga dilaporkan berkata, parti itu sedia bekerjasama sekiranya UMNO menyokong pembubaran DUN.

Beliau berkata, mengikut amalan demokrasi raja berperlembagaan, Sultan perlu mengembalikan hak kepada rakyat untuk membuat penentuan menerusi pembubaran DUN dan pilihan raya negeri.

Lantaran itu, ia dilihat bertentangan dengan saranan dalam titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang mahukan para pemimpin yang mewakili kumpulan parti politik berbeza mencari titik pertemuan dan kaedah kerjasama antara mereka demi kepentingan negara dan rakyat.

Apatah lagi syarat yang diletakkan adalah sesuatu yang tidak wajar untuk dituntut dalam keadaan politik semasa yang mengelirukan rakyat. Tambahan pula ia dilihat sebagai langkah yanh tidakdak bijak ialah pembubaran DUN akan menuntut pilihan raya diadakan.

Lantas, pastinya yang menjadi mangsa adalah rakyat negeri terbabit kerana pilihan raya tentunya akan mengambil masa, memakan biaya dan menganggu pentadbiran negari selain tugas harian masyarakat turut terganggu.

Atau mungkin, sememangnya menjadi agenda kepada Pas dan pakatan campuran agar pelawaan tersebut ditolak lantas dijadikan sebab pula untuk disensasikan di kalangan rakyat tempatan.

Dalam menilai pelawaan dan syarat yang diutarakan, sememangnya ini bertentangan dengan titah Sultan, dan ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana sebelum ini juga telah beberapa kali titah Baginda disanggah malah kenyataan untuk menyaman Baginda juga turut menjadi percakapan politik di kalangan ahli-ahli pakatan campuran.

Sesungguhnya, jika dilihat dalam hal peralihan kuasa pentadbiran Negeri, pakatan campuran yang selama ini lantang melaungkan demokrasi enggan mengikut saluran undang-undang walaupun telah jelas kuasa majoriti yang dibentuk mereka berdasarkan perkongsian kuasa telah musnah.

Bekas Menteri Besarnya, Nizar pula sanggup terus jadi kambing hitam dalam permainan politik mereka dan rela menggadaikan maruah sendiri untuk memperjuangkan agenda tanpa masa depan pakatan campuran.

Lihat sahaja sebelum ini, bagaimana tindakan parti campuran yang masih terus bersandiwara, enggan mengaku kalah lantas penyokongnya dijadikan sebagai alat manipulasi hingga sanggup mengadakan demostrasi jalanan dan menyanggah titah Sultan.

Apakah kerana terlalu marah, penyokong sandiwara pakatan rakyat ini hilang pertimbangan sehingga sanggup berbaring di jalan raya dan bertempur dengan pihak berkuasa yang bertanggungjawab menjaga keamanan?

Lebih menyerlah lagi apabila mereka bersikap seolah-olah telah memenangi Kerajaan Pusat sedang realitinya, majoriti yang diperoleh mereka tidaklah sebanyak mana malah jika tidak bergabung antara tiga buah parti iaitu PAS, DAP dan PKR maka jangan mimpilah nak mentadbir negeri.

Bukan setakat itu sahaja, malah Pengerusi DAP, Karpal Singh sendiri mengeluarkan kenyataan untuk menyaman Sultan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh Baginda.

Sesungguhnya dari segi perundangan, apa yang dilakukan oleh Baginda Sultan Perak tidak salah apatah lagi Sultan Azlan adalah seorang yang arif berkaitan perundangan Negara dan tentunya Baginda ingin melihat kesejahteraan rakyat pulih tanpa sebarang perpecahan.


Read more!

21 April 2009

Ahli Parlimen PKR tidak setuju Selangor kekalkan Elizabeth

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menegaskan beliau tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri Selangor mengekalkan kedudukan Elizabeth Wong sebagai Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan.

Selain meminta Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pimpinan kerajaan negeri yang lain mengkaji semula keputusan tersebut, Zulkifli juga mengambil pendirian untuk memufaraqah atau memisahkan dirinya daripada keputusan tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan, pendirian itu diambil kerana menghormati keputusan Elizabeth sebelum ini yang mahu melepaskan jawatan Exco dan ADUN Bukit Lanjan.

“Elizabeth telah memilih untuk meletak jawatan dan telah pun meletakkan jawatan. Itu adalah hak peribadi beliau.

“Saya yakin Elizabeth mengetahui dan memahami benar masalah yang dihadapi, sebab itu beliau memilih untuk meletakan jawatan sebagai Ahli Exco dan ADUN,” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan di laman blog beliau hari ini.

Dalam kenyataan media tersebut, Zulkifli yang juga seorang peguam turut mempersoalkan alasan kerajaan negeri dalam memutuskan isu tersebut apabila menuding jari menyalahkan pihak polis yang didakwa melengahkan siasatan.

Kata beliau, semua pihak sedar dan tahu bahawa siasatan polis terpaksa dilengahkan kerana tiada kerjasama orang disyaki yang memilih untuk tidak membantu siasatan sehingga ke hari ini.

“Apa lagi bukti kukuh yang dikehendaki oleh Menteri Besar dan Exco Selangor apabila Elizabeth sendiri yang membuat keputusan meletakkan kedua-dua jawatan beliau,” tegasnya.

Tambah Zulkifli, dalam hal ini soal simpati secara peribadi dan memaksa Elizabeth terus menjawat jawatan awam sebenarnya adalah dua isu yang berbeza.

“Saya sangat bersimpati pada Elizabeth dengan masalah yang beliau hadapi, malahan saya antara orang yang pertama membuat kenyataan terbuka mempertahankan beliau dan mendesak tindakan keras dan tegas diambil terhadap petualang durjana yang telah mengambil dan menceroboh serta mencabul kehidupan peribadinya.

“(Namun) soal bersimpati secara peribadi terhadap beliau dan memaksa beliau terus menjawat jawatan awam adalah dua isu yang berbeza,” jelasnya.

Dalam pada itu Zulkifli berkata, Menteri Besar dan kerajaan negeri telah memberi gambaran seolah-olah mereka tidak menghormati keputusan Elizabeth apabila terus memaksanya untuk mengekalkan kedua-dua jawatan berkenaan.

Katanya, beliau cukup yakin yang Elizabeth telah menimbang keadaan sekeliling dan pelbagai faktor lain sebelum membuat keputusan tersebut.

“Keputusan Menteri Besar dan kerajaan negeri ini juga akan menambahkan tekanan terhadap Elizabeth. Sudah pasti akan ada pihak mengambil kesempatan mengenakan tekanan terhadapnya.

“Keputusan ini juga pasti memberi tekanan yang hebat kepada sebahagian penyokong, pendokong dan komponen pakatan pembangkang,” jelasnya.


Read more!