03 August 2009

Anwar pengkhianat

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat besar terhadap perjuangan orang Melayu.

Timbalan Perdana Menteri turut menyifatkan Anwar sebagai pemimpin lidah bercabang kerana sanggup memutarbelitkan fakta mengenai usaha UMNO untuk memartabatkan orang Melayu.

“Dulu dia pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO seperti saya sekarang, tetapi dia sekarang menggunakan cara yang memperdayakan untuk memusnahkan perjuangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini semalam.

Muhyiddin berkata, Anwar selaku Ketua Pembangkang kini menyebarkan dakyah untuk mencipta persepsi negatif terhadap usaha UMNO dalam mempertahankan hak keistimewaan Melayu dan institusi raja.

“Dia kata kepada semua orang bahawa UMNO zalim, tetapi beritahu saya sekarang dalam cara apa yang kita zalim? Kenapa dia tidak beritahu ini semasa dia jadi pemimpin kita?” soalnya.

Beliau mendedahkan taktik pembangkang mengulangi pembohongan hingga rakyat mempercayai penipuan itu.

“Hingga sampai ke tahap ini, orang menganggap apa yang dilakukan oleh UMNO adalah salah dan apa sahaja yang dilakukan kita tidak baik untuk rakyat.

“Maka semua kebaikan yang pernah kita lakukan membangunkan negara sejak 50 tahun lalu tidak lagi dihargai,” katanya.

Muhyiddin mengakui UMNO bukanlah parti yang tidak pernah melakukan kesilapan namun ia telah melakukan yang terbaik untuk menghapuskan rasuah, keangkuhan dan pengurusan yang tidak cekap.

“Tiada masalah untuk mengkritik kerana kita bukan maksum tetapi saya tidak boleh terima kalau pembangkang menghina dan tidak menghormati orang Melayu,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli dan pemimpin UMNO mengubah persepsi negatif pembangkang terhadap parti dengan terus mendekati rakyat terutama di peringkat akar umbi.

Menurutnya, pendekatan itu jika dilakukan secara berterusan akan menyedarkan rakyat terhadap perjuangan ikhlas UMNO dalam membela nasib mereka terutama bangsa Melayu.

“Kita hanya mempunyai dua tahun untuk mengubah persepsi dan imej buruk itu,” katanya.

Menurutnya, UMNO juga bukan parti yang semata-mata mahukan undi rakyat pada setiap pilihan raya, tetapi untuk membela dan membangunkan mereka.

“Tetapi disebabkan dakyah serta pelbagai tuduhan pembangkang terhadap UMNO menyebabkan timbul persepsi buruk rakyat terhadap parti sejak kebelakangan ini,” katanya.

Ekoran itu, beliau berkata, tindakan segera perlu dilaksanakan mulai sekarang bagi mengembalikan semula keyakinan tersebut agar UMNO dapat terus berjuang untuk membela mereka.

Sumber Utusan Malaysia


Read more!

31 July 2009

Mengapa PAS Disingkir

Ucapan Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pada 9 Disember 1977 sempena Perjumpaan Ketua-ketua UMNO Bahagian di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

TERLEBIH dahulu saya dengan sukacitanya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan setinggi-tingginya penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang telah bersusah payah datang dari jauh dan dekat dan secara tergesa-gesa menghadiri perjumpaan ini. Perjumpaan ini amat penting bagi menentukan nasib orang Melayu khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

Perjumpaan kita hari ini diselubungi oleh suasana sedih dan pilu. Sedih kerana kehilangan seorang menteri yang telah banyak berjasa kepada UMNO dan negara. Kemalangan kapal terbang MAS di Tanjung Kupang, Johor yang telah mengorbankan 100 nyawa, sungguh mengejut dan mengharukan kita semua. Oleh itu sempena dengan perjumpaan kita yang bersejarah ini, marilah kita beramai-ramai mendoakan semoga Allah s.w.t mencucuri rahmatnya ke atas roh Allahyarham Dato’ Seri Ali bin Haji Ahmad serta lain-lain roh orang yang telah terkorban dalam kemalangan itu.

Sebelum saya menyebut perkara penting dalam perjumpaan ini, marilah kita menoleh sejenak ke belakang mengkaji semula dengan secara ringkas perkembangan yang telah berlaku sehinggalah keperjumpaan yang diadakan pada petang ini.

Saya tidaklah berhajat hendak menerangkan kemajuan dan kejayaan UMNO yang telah lalu atau kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh Perikatan sejak ia ditubuhkan. Kesemuanya ini ada dalam pengetahuan tiap-tiap ahli UMNO. Demikianlah juga dengan hasrat dan tujuan menubuhkan Barisan Nasional yang telah menyatupadukan sehingga ke hari ini sebelas buah parti politik yang yang sebilangannya telah menentang UMNO pada masa sebelumnya.

Sesungguhnya UMNO telah membuat membuat banyak pengorbanan politik bagi memenuhi hasrat dan matlamat Barisan Nasional. Walaupun perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan liku-liku tetapi Barisan Nasional telah dapat menumpukan sepenuh tenaga memupuk dan menyuburkan semangat kerjasama dan persefahaman dalam melaksanakan rancangan pembangunan, membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada rakyat berbilang kaum. Barisan Nasional berazam akan terus dengan penuh keberanian dan dengan usaha yang lebih bersungguh-sungguh mewujud dan mengeratkan perpaduan. Dengan sokongan rakyat saya percaya Barisan Nasional akan mencapai kejayaan.

Barisan Nasional merupakan satu federasi yang longgar kerana tiap-tiap parti yang bergabung ingin mengekalkan identiti partinya masing-masing. Tetapi parti-parti komponen adalah terikat dengan semangat ingin bekerjasama, saling mengerti sesama sendiri dan yang paling penting sekali ialah mematuhi disiplin parti. Semangat kerjasama dan persefahaman adalah penting bagi menyelesaikan masalah negara. Ia lebih berharga dengan membuktikan dalam amalan daripada semata-mata mengadakan perakuan-perakuan sahaja tetapi tidak dipraktikkan.

Inilah caranya Barisan Nasional bergerak selama ini dari semenjak ia ditubuhkan. Hasil kejayaan penubuhan Barisan Nasional telah dapat dilihat dengan nyata apabila parti ini mencapai kemenangan yang paling gemilang dalam pilihan raya tahun 1974. UMNO yang paling mempelopori gabungan ini serta memastikan ia dapat terus wujud kukuh dan teguh supaya pembangunan negara dapat diselenggarakan dengan lebih licin, sempurna dan jayanya.

Parti-parti politik yang bercorak gabungan seperti Barisan Nasional ini sudah pasti sekali-sekala menghadapi masalah. Pertentangan pendapat dan perbezaan cara mendekati dan menyelesaikan sesuatu masalah merupakan satu perkara biasa yang memang diramalkan dari mula-mula lagi. Peristiwa perpecahan parti komponen Barisan Nasional di Sabah merupakan kejadian pertama yang telah berlaku. Walaupun perkara ini belum dapat diselesaikan dengan sepenuhnya tetapi Insya Allah penyelesaian terakhir akan dapat dibuat dengan secara beransur-ansur. Pergolakan yang sedang kita hadapi di Kelantan sekarang merupakan peristiwa kedua. Perkara ini besar, yang berkehendakkan pengkajian dan pertimbangan yang serius kerana ia melibatkan soal pokok.

Sebagaimana kita maklum, Dato’ Haji Mohamad Nasir telah dipilih menjadi Menteri Besar hasil daripada persefahaman dan semangat tolak ansur di antara Allahyarham Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Ketua Barisan Nasional di masa itu dengan pucuk pimpinan PAS yang mempunyai suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Semangat tolak ansur seperti ini patut sentiasa wujud, digalak dan dikekalkan. Ia merupakan faktor utama bagi mengekal dan menjamin perpaduan dalam Barisan Nasional.

UMNO tidak berhajat dan tidak mahu mencampuri langkah-langkah pimpinan PAS melucutkan jawatan Dato’ Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan semata-mata kerana menghormati kehendak-kehendak pucuk pimpinan PAS mendakwa perkara itu merupakan soal rumah tangga PAS. UMNO menganggap perkara itu sebagai masalah Barisan Nasional. Langkah itu juga telah diambil oleh pucuk pimpinan dengan tidak ada sedikit pun perundingan dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional terlebih dahulu.

UMNO tidak dapat menyokong langkah yang diambil oleh pucuk pimpinan PAS dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 15 Oktober itu bukan kerana UMNO tidak dibawa berunding, tetapi kerana UMNO tidak tahu sebab atau diberitahu sebab-sebab mengapa Menteri Besar Dato’ Haji Mohamad Nasir dilucutkan daripada jawatannya. Oleh itu sikap berkecuali yang telah diambil oleh UMNO itu adalah satu tindakan yang munasabah. Tambahan pula UMNO masih lagi berharap hendak mengekalkan perpaduan dengan PAS.

Malangnya peristiwa melucutkan jawatan Menteri Besar itu dengan tidak disangka-sangka telah mencetuskan kejadian yang buruk. Peristiwa yang telah mengakibatkan kecederaan sebilangan orang yang tidak berdosa, kemusnahan harta benda dan boleh mengancam nyawa dan keselamatan rakyat telah juga mengancam keselamatan negeri Kelantan. Jika keadaan ini tidak dikawal segera ia akan melibatkan keselamatan negara seluruhnya. Sebagai Perdana Menteri saya bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, saya terpaksa mengambil langkah yang tegas. Keadaan darurat telah diisytiharkan bagi negeri Kelantan. Satu undang-undang dirangka yang meletakkan kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Langkah-langkah ini diambil pada masa menteri-menteri dari Parti PAS masih lagi bersama-sama kita dalam jemaah Menteri. Rang Undang-Undang ini kemudiannya telah diluluskan oleh Parlimen.

Kerajaan Darurat terpaksa ditubuhkan di Kelantan dengan tidak mengira siapakah yang menjadi parti pemerintahnya. Sama ada ia dari parti lawan ataupun parti kawan tidaklah penting kerana yang pentingnya ialah keselamatan dan kebajikan rakyat Kelantan sendiri. Saya memanglah sentiasa meletakkan kepentingan keselamatan di atas segala-galanya.

Memang benar demokrasi telah mati di Kelantan. Tetapi rakyat Kelantan telah dapat terus hidup dengan penuh keyakinan di atas keselamatan dan masa depan mereka. Demokrasi di Kelantan tetap akan dipulihkan sebaik-baik sahaja keadaan mengizinkan. Bukti nyata kita semua telah dapat nikmati sekarang dimana pemerintahan NOC atau Mageran tahun 1969 telah dimansuhkan dan kita telah kembali kepada pemerintahan demokrasi. Tempoh dan lama masa berjalannya kerajaan darurat di Kelantan itu hanya dikehendaki sekadar yang wajib sahaja. Lebih pendek adalah lebih baik. Kerajaan Pusat berikrar akan memulihkan kembali pemerintahan demokrasi seberapa segera yang boleh. Sebagaimana kita semua sedia maklum bahawa parti PAS yang mempunyai anggota di Dewan Undangan yang lebih ramai akan tetap memegang teraju pemerintahan negeri itu semula dan bukanlah UMNO.

Malang sekali tujuan baik Kerajaan Pusat dan rang Undang-undang yang telah mendapat persetujuan daripada Parlimen itu telah sengaja disalah faham dan disalahtafsirkan oleh pucuk pimpinan PAS. Semua wakil rakyat PAS, telah menyokong rang undang-undang penubuhan kerajaan Darurat di Kelantan itu. Biarlah saya bersalah dalam tindakan saya mengadakan undang-undang itu. Tetapi saya tidak sanggup memikul dosa yang lebih besar dengan membiarkan berlakunya pertumpahan darah, pengorbanan nyawa, kecederaan dan kemusnahan harta benda. Sebagai Perdana Menteri saya tidak boleh memandang ringan perkara ini. Saya berkewajipan penuh melindungi nyawa rakyat.

Tindakan saya ini telah disambut baik dan disokong oleh sebahagian besar penduduk dan rakyat Kelantan sendiri. Saya tidak faham kenapa pucuk pimpinan PAS tidak mahu menyokongnya. Saya tahu tidak semua ahli PAS bersetuju dengan tindak tanduk pucuk pimpinannya. Sebenarnya UMNO juga memerlukan kerjasama PAS dan tidak sekali-kali meragukan penyertaan PAS tetapi yang kita sangsikan ialah sikap dan pendirian pucuk pimpinannya.

Perbuatan pucuk pimpinan PAS menentang arahan parti anggota Barisan Nasional sama ada di dalam atau pun diluar dewan ini dimasa akan datang. Jika semangat kerjasama dan saling mengerti ini luntur dan disiplin parti diketepikan, akibatnya Barisan Nasional akan hancur. Kita semua tahu bahawa disiplin merupakan rahsia perpaduan dan kekuatan Barisan Nasional selama ini.

Disiplin adalah paling mustahak dalam penghidupan manusia dan hendaklah diutamakan. Mengenakan disiplin di atas diri sendiri pun merupakan perkara penting, apatah lagi masyarakat atau pertubuhan seperti parti-parti politik. Satu daripada sebab-sebab kejayaan UMNO selama selama ini ialah kerana ahli-ahlinya mematuhi disiplin parti serta menghormati dan menjunjung tinggi peraturan yang ditetapkan. Parti-parti yang ahlinya tidak patuh kepada disiplin akan membawa kehancuran kepada parti itu sendiri.

Soal mengenai siapa yang bersalah sehingga mengakibatkan tercetusnya kejadian buruk di Kelantan itu tidaklah berfaedah dibangkitkan. Tetapi perkara yang paling penting dan yang patut diutamakan ialah melindungi nyawa rakyat terlebih dahulu. Sebagai Perdana Menteri, saya mengetahui dengan sedalam-dalamnya masalah keselamatan dalam negeri. Saya mesti bertindak sewajarnya mengikut keadaan.

Saya telah pun menerangkan bahawa saya tidak menyebelahi mana-mana pihak yang terlibat dalam peristiwa Kelantan itu. Saya jalankan segala tindakan yang perlu bagi mengawal dan mententeramkan keadaan di atas sifat saya sebagai Perdana Menteri. Yang bertanggungjawab di atas kepentingan, keselamatan dan kebajikan rakyat, bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh tanah air kita. Inilah amanah yang telah bertanggungjawab oleh rakyat kepada saya. Saya tidak faham mengapa pucuk pimpinan PAS tidak tidak memahami hakikat ini. Soal keselamatan adalah satu perkara yang tidak boleh dijadikan tawar menawar.

Di bawah kuasa-kuasa darurat, Pengarah Kerajaan negeri Kelantan adalah bertanggungjawab kepada saya sebagai Perdana Menteri. Saya pula bertanggungjawab kepada Jamaah Menteri di mana menteri-menteri dari PAS menganggotainya. Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dimana menteri-menteri dari PAS menganggotainya. Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dari masa ke semasa mengenai perkembangan dan kemajuan di negeri Kelantan masa itu menteri-menteri dari PAS boleh membangkitkan sebarang kemusykilan mengenainya. Sebaliknya mereka telah mengambil tindakan meletakkan jawatan beramai-ramai dari menyertai kerajaan.

Dalam masa kita sedang mencari-cari jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi mengatasi keadaan buruk yang tercetus di Kelantan itu, tiba-tiba pucuk pimpinan PAS menimbulkan lagi berbagai masalah lain dengan mengemukakan undi tidak percaya kepada beberapa orang Menteri Besar yang terdiri draipada ahli-ahli UMNO. Di antara yang yang paling baru ialah di negeri Kedah. Menteri-menteri Besar boleh ditukar ganti tetapi apa yang meragukan ialah tentang sejauh mana keikhlasan pucuk pimpinan PAS melakukan perbuatan-perbuatan ini dengan tidak mahu berunding terlebih dahulu dengan kita.

Dimanakah letaknya semangat kerjasama pucuk pimpinan PAS dalam Barisan Nasional? Apakah salahnya jika perkara ini dirundingkan dengan kita terlebih dahulu? Jika kita sanggup merundingkan terlebih dahulu mengenai hal-hal negeri Kelantan dengan pucuk pimpinan PAS, mengapakah pucuk pimpinan PAS mahu membelakangkan kita mengenai hal di negeri-negeri yang lain? Sungguh sukar sekali bagi kita hendak memahami tindak-tanduk pucuk pimpinan PAS ini. Setelah menimbulkan gejala-gejala ini, pucuk pimpinan PAS melahirkan hasrat hendak terus kekal dalam Barisan Nasional. Kita sungguh tidak faham dengan sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS ini.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah yang akan datang pada 17 Disember ini sudah pasti akan menimbulkan perbalahan yang hebat. Tidakkah pucuk pimpinan PAS sedar atas perkara ini? Apakah tujuan pucuk pimpinan PAS membuat demikian? Bukankah ini semuanya merupakan gejala-gejala yang sengaja ditimbulkan dengan niat hendak memecah-belahkan Barisan Nasional? Di negeri Johor pula, pucuk pimpinan PAS di sana telah memberi amaran yang merupakan kata dua bahawa calon-calon PAS akan bertanding dalam semua kawasan pilihan raya menentang Barisan Nasional.

Dalam pilihan raya tahun 1974, UMNO sebenarnya menghadapi kesulitan kerana terpaksa bertolak ansur dengan memberikan beberapa kerusi baru dan kerusi-kerusi tambahan kepada PAS. UMNO terpaksa berbuat demikian semata-mata dengan tujuan hendak mewujud dan mengekalkan semangat kerjasama UMNO dengan PAS demi kepentingan dan faedah rakyat.

Pucuk pimpinan PAS telah juga memberi amaran bahawa kononnya lima buah negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima nasib seperti di Pulau Pinang. Agaknya mereka merujuk kepada peristiwa pilihan raya tahun 1969 dahulu jika sekiranya PAS meninggalkan atau dikeluarkan daripada Barisan Nasional. Ugutan dan ancaman seperti ini merupakan satu provokasi yang merbahaya. UMNO mempunyai maruahnya sendiri.

Kita sering kali juga mendengar desakan supaya pucuk pimpinan PAS mengkaji semula kedudukan PAS dalam Barisan Nasional, Perkara ini telah dibangkitkan dalam tiap-tiap Perhimpunan Agung PAS selama tiga tahun berturut-turut setelah PAS menyertai gabungan besar ini. Penubuhan ranting-ranting PAS dalam kawasan-kawasan UMNO juga menimbulkan kecurigaan dan boleh membangkitkan salah faham di kalangan rakyat. Banyak lagi perbuatan dan tindakan pucuk pimpinan PAS yang meragukan.

Kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh memelihara perpaduan Barisan Nasional. Tetapi bagaimanakah perpaduan dapat dikekalkan jika ada pihak-pihak yang tidak mahu mengikuti peraturan dan tidak mahu mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh ramai. Perpaduan yang hanya ada pada nama sahaja tidak membawa erti apa-apa tidak berfaedah.

Walaupun Barisan Nasional terpaksa berpecah, tetapi ini tidak bererti pembangunan akan terjejas dan terhenti. Pembangunan tetap akan berjalan terus. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mesti dijayakan dengan sepenuh-penuhnya. Inilah janji saya kepada rakyat sekalian.

Berikutan dengan berlakunya kejadian-kejadian ini, saya telah mengadakan sidang tergempar Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Disember 1977, Fasal 14, Perlembagaan Barisan Nasional membolehkan dengan suara majoriti memecat parti-parti ahli yang bergabung yang didapati melanggar disiplin. Tetapi Barisan Nasional sekali-kali tidak berniat hendak menggunakan Fasal tersebut bagi memecat PAS. Barisan Nasional masih lagi, jika boleh, berkehendakkan PAS tinggal kekal dalam Barisan Nasional. Sungguhpun demikian, disiplin parti mesti dipelihara dan dipatuhi kalau kita mahu melihat Barisan Nasional hidup berpanjangan. Oleh itu satu usul yang merupakan suatu tolak ansur sebagai jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi meyelesaikan masalah ini telah dikemukakan dalam Dewan Tertinggi Barisan Nasional itu.

Tolak ansur ini merupakan usul yang berkehendakkan supaya parti-parti anggota yang ahli-ahlinya didapati menentang arahan parti whip mengenai sesuatu masalah yang dibentangkan di dalam dewan rakyat, dewan negara atau dewan negeri hendaklah mengambil tindakan disiplin terhadapnya dengan memecat mereka itu daripada parti masing-masing.

Apabila semangat kerjasama yang tulus ikhlas itu luput dan disiplin parti telah diketepikan, Barisan Nasional sudah tentu akan pecah dan musnah. Jika ini berlaku tentulah tidak berguna lagi. Eloklah kekusutan yang berlaku ini diselesaikan sekarang juga kerana jika dibiarkan berlanjutan akan merugikan parti dan rakyat.

Daripada sebelas parti anggota dalam Barisan Nasional, sembilan telah menyokong, PPP berkecuali dan PAS menentang usul itu. Keputusan suara terbanyak ini telah dimaklumkan dengan secara rasmi kepada pucuk pimpinan PAS.

Memandangkan betapa pentingnya masalah yang kita hadapi, saya telah mengadakan mesyuarat khas majlis Tertinggi UMNO malam tadi. Majlis tertinggi UMNO telah membincangkan dengan teliti segala akibatnya terutama sekali tentang sikap pucuk pimpinan PAS yang ada sekarang, yang terang-terang menggugat perpaduan Barisan Nasional khususnya dan perpaduan orang Melayu amnya. Kami berpendapat bahawa haruslah diwujudkan kesungguhan dan keikhlasan bagi memperkukuhkan Barisan Nasional.

Memandangkan kepada perbuatan, sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS selama ini, UMNO berpendapat kerjasama yang erat tidak mungkin dapat terus wujud di antara UMNO dengan PAS dalam Barisan Nasional.

Memandangkan kepada perbuatan, sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS selama ini, UMNO berpendapat kerjasama yang erat tidak mungkin dapat terus wujud di antara UMNO dengan PAS dalam Barisan Nasional.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan pertelingkahan ini berpanjangan, yang akhirnya akan membawa perpecahan kepada Barisan Nasional, Majlis Tertinggi UMNO telah dengan perasaan amat dukacita mengambil pendirian, jika pucuk pimpinan PAS tidak mematuhi dan mengambil tindakan sebagaimana yang dikehendaki di dalam Mesyuarat Dewan Tertingginya pada 5 Disember yang lalu, UMNO akan meminta diadakan mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional supaya dipersetujui resolusi memecat PAS daripada Barisan Nasional.

Pagi ini saya telah menyampaikan pendirian UMNO itu kepada ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional. Ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional dalam perjumpaannya pagi ini telah bersetuju supaya mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional diadakan pada 13 Disember yang akan datang ini.

Inilah tujuan kami mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian UMNO petang ini bagi menjelaskan pendirian yang telah diambil oleh Majlis Tertinggi UMNO itu.

UMNO sudah membuat keputusan dan menentukan pendiriannya. Keputusan dan pendirian itu adalah dibuat dengan hati yang suci, demi kepentingan Barisan Nasional dan negara. Saya yakin dengan kesucian hati kita itu, Allah akan memberkati perjuangan kita.

Saya merayu kepada semua ahli UMNO supaya bertenang dan terus menjalankan tanggungjawab kita dengan lebih berhati-hati lagi, lebih bersungguh-sungguh lagi dan lebih berdedikasi lagi. Masa hadapan Barisan Nasional penuh dengan cabaran. Kita akan menghadapinya dengan meminta petunjuk dan keredhaan Allah.

Dengan ini maka kita menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah.


Read more!

30 July 2009

PEGUAM DAP NASIHAT JANGAN SERAH DNA

MERUJUK INKUES PUNCA KEMATIAN TEOH BENG HOCK.

SEMUA ANGGOTA PENYIASAT SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH SPRM DAN ANGGOTA PENYIASAT POLIS TELAH MENYERAHKAN SAMPEL DNA MASING-MASING.

IA BAGI MEMBANTU SIASATAN INKUES PUNCA KEMATIAN TEOH BENG HOCK.

BAGAIMANAPUN, TAN BOON WAH, KONTRAKTOR KES PROJEK BENDERA DAN LEE WYE WING PENASIHAT TEKNIKAL YANG DISIASAT SPRM PADA HARI YANG SAMA BERSAMA MENDIANG ENGGAN MEMBERI SAMPEL DNA MEREKA.

TAN SEBELUM INI MENYATAKAN KEPADA MEDIA ADA MENEMUI MENDIANG SELEPAS DISIASAT SPRM DI PEJABAT SPRM SELANGOR PADA JAM ENAM PAGI 16 JULAI LALU.

DIFAHAMKAN, TAN BOON WAH DAN LEE WYE WING TELAH DINASIHATKAN PEGUAM PARTI DAP SUPAYA TIDAK MENYERAHKAN SAMPEL DNA MEREKA.


Read more!

28 July 2009

27 July 2009

Pakatan Rakyat Yang Tiada Kesepakatan

Suasana politik di negeri-negeri yang dikuasai pakatan campuran hari ini disulami dengan kekecohan dan pelbagai isu tempatan yang gagal ditangani oleh pemimpinnya lantaran tindakan caca marba mereka dalam pentadbiran.

Bukan hanya satu isu yang gagal ditangani sebaliknya pelbagai isu yang memerlukan pendekatan dan perancangan rapi tidak diambil berat oleh para pemimpin dalam pakatan campuran.

Bukan hanya satu negeri yang terlibat sebaliknya, dari Utara Semenanjung, di Pantai Timur hinggalah membawa ke Ibu Kota, kekalutan dan permasalahan berkaitan hal-hal melibatkan kepincangan dan kegagalan kerajaan tadbiran sekutu pakatan campuran diperkatakan.

Jika sebelum ini, pakatan campuran asyik menunding jari mencari salah dan memanipulasi apa yang dilakukan oleh kerajaan tadbiran BN dan juga UMNO tetapi, lantaran isu-isu tempatan yang gagal ditangani bagaimana mungkin ia akan dilakukan?

Kerajaan pimpinan Menteri Besar Khalid Ibrahim di Selangor seakan tidak ada apa-apa pelaksanaan yang dibuat mampu untuk dibanggakan oleh mana-mana pihak dalam kerajaan Negeri tersebut apatah lagi untuk menjadi bukti kepada rakyat sendiri.

Sebaliknya yang berlaku lain daripada apa yang diharapkan apabila satu demi satu perkara mengaibkan terungkai termasuk kritikan dari Azmin Ali sendiri sanggup menyuarakan cadangan untuk merombak Exco Negeri.

Ini belum lagi dikaitkan dengan hal-hal remeh yang gagal dilakukan termasuklah penyelesaian isu bekalan air, penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi dan anggota sendiri, pengabaian tugas hakiki dan kegagalan menyalurkan peruntukan kerajaan untuk rakyat tempatan termasuklah kontroversi siasatan dari SPRM.

Manakala di Pulau Pinang pula, terbukti bahawa Ketua Menterinya Lim Guan Eng gagal memahami permasalahan rakyat apabila seakan lepas tangan berkaitan isu membabitkan penduduk dan Kampung Buah Pala. Dan akhirnya terpaksa akur dengan tekanan sehingga menarik balik lesen pembangunan yang sebelum ini diluluskan di kawan Kampung Buah Pala.

Perkara tersebut hanyalah salah satu isu yang sedang hangat diperkatakan selain daripada ketidaksefahaman yang wujud antara tiga ikatan rapuh DAP-PKR-PAS hinggakan masing-masing saling mencurigai dan pentingkan jawatan sendiri lebih daripada permuafakatan bersama.

Begitu juga dengan sikap Lim Guan Eng yang turut terserlah inginkan pangkat dan kuasa di samping kemewahan berbanding dengan menyelesaikan apa yang telah dipertanggungjawabkan.

Isu berkaitan banglo mewa yang menjadi kediaman Guan Eng juga gagal dijawab apatah lagi gaya pimpinan biasanya yang gemar dengan publisiti.

Bukan hanya dua negeri tersebut yang bermasalah malahan Kedah juga telah lama terumbang-ambing lantaran kepimpinan Menteri Besar Azizan Razak yang dikatakan terlalu konservatif dan gagal memahami aspirasi rakyat.

Apatah lagi apabila DAP dan PAS di Kedah yang baru sahaja rujuk kembali masih enggan bertaut biarpun ia telah mendapat campur tangan dari pakatan campuran Pusat dan pemimpin tertingginya.

Lantas apa lagi yang mahu dibanggakan oleh kerajaan tadbiran pakatan campuran apabila secara jelas gagal memanfaatkan peluang yang ada bagi menarik dan mengubat hati rakyat sedangkan pilihan raya umum telah lebih setahun berlalu….


Read more!

24 June 2009

PAS akur desakan DAP & PKR tolak kerajaan perpaduan

Idea kerajaan perpaduan serlah nilai sebenar ulama Pas

Hadi tempelak kemelut dicetusnya kepada orang lain demi kepentingan survival politik diri sendiri

SELEPAS mencetuskan idea pembentukan kerajaan perpaduan di negara ini, kelmarin Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, dalam kenyataan yang ditandatanganinya bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang menolak ideanya sendiri selain mendakwa ia adalah fitnah, tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat gabungan pembangkang.

Sebenarnya, lontaran idea mengenai kerajaan perpaduan ini bermula dengan laporan akhbar Siasah (bil 0138) terbitan 1-7 Mac, 2009, dengan tajuk besar di muka depannya: 'Negara Tanpa Pembangkang'. Laporan berita itu antara lain menyatakan:

"Selepas dua keluaran berturut-turut Siasah menyiarkan cadangan agar satu pendekatan politik diambil ekoran kegawatan politik dan ekonomi yang melanda, dalam satu wawancara khas, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, mencadangkan agar kerajaan perpaduan dibentuk di negara ini.

"Kerajaan ini adalah kerajaan tanpa pembangkang dan dibentuk dengan pembabitan semua parti politik yang ada dan bersatu demi kepentingan negara. Beliau mencadangkan kerajaan perpaduan pimpinan Habibie di Indonesia, selepas kerajaan Suharto dijatuhkan, dijadikan contoh.

"Melalui kerajaan perpaduan ini, Habibie berjaya memberi impak besar kepada sistem demokrasi, penentangan terhadap rasuah, ketelusan media dan lain-lain di Indonesia, sehingga negara jiran itu berjaya keluar daripada kemelutnya dan berada di depan sekarang. Kini, Presiden Pas melontar idea ini untuk diamalkan di Malaysia dan menunggu reaksi daripada Umno terhadap cadangan ini."

Itu adalah petikan laporan akhbar Siasah. Kemudian, pelbagai reaksi diterima, ada yang positif namun pandangan itu hilang daripada perdebatan umum sehinggalah Hadi sekali lagi melontar perkara yang sama pada Muktamar Agung Pas, baru-baru ini.

Bukan itu saja, ulama ini bahkan melangkah lebih jauh apabila berkata 'cadangan menubuh kerajaan perpaduan ini akan dapat dicapai jika mendapat maklum balas daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno'.

Bertonggakkan perjuangan untuk memperkasakan bangsa Melayu yang agak goyah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Hadi dalam ucapannya kelihatan begitu yakin gagasan pembentukan kerajaan perpaduan cadangannya itu akan diterima baik oleh rakan pakatan pembangkang lain iaitu PKR dan DAP.

"Gagasan kerajaan perpaduan ini adalah penyelesaian kemelut negara dan Pas tidak mahu menjadi pembangkang yang membuta tuli... selagi ada ruang kita akan bincang cara demokrasi.

"Terpulang kepada maklum balas parti-parti politik tetapi ia mesti diteliti dengan perbincangan yang mendalam kerana saya percaya ia dapat menyelesaikan masalah negara," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas ke-55 itu.

Hasil daripada pandangannya sebagai ulama berpendirian sederhana dan tidak membelakangkan kepentingan bangsa, majoriti pemimpin Pas yang dikatakan di bawah kemnya menjadi pilihan utama untuk menduduki barisan kepemimpinan utama Pas pada peringkat pusat, menewaskan kumpulan Erdogan yang pro- Anwar.

Apa yang berlaku selepas itu kini berada dalam lipatan sejarah. Idea murni untuk menyatukan semula bangsa Melayu pimpinan barisan baru Pas ini mendapat tentangan hebat pimpinan tertingginya, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, sehingga mencetus polemik dalaman parti yang serius.

Ironinya, bukan Hadi yang menjadi sasaran, sebaliknya timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, yang dikepung wartawan di Parlimen terpaksa memberi jawapan pantas, selepas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, menyatakan kesediaan untuk duduk berbincang sekiranya Pas serius mengenai perpaduan bangsa Melayu.

Hadi ketika itu berada di luar negara dan Nasharuddin menjadi 'kambing hitam' apabila mahu tidak mahu terpaksa menjawab soalan bertalu-talu media massa yang mencetus kemarahan Mursyidul Am Pas, sehingga meminta Ahli Parlimen Bachok itu meletak jawatan dalam Pas dan 'masuk Umno'.

Presiden Pas kembali dari luar negara dan kelihatan cuba menenangkan emosi semua pihak berikutan krisis yang tercetus antara Nik Aziz dan Nasharuddin.

Pada masa sama, Hadi yang menyedari dirinya turut tersepit dan mula berdepan krisis kepemimpinan yang serius, mengambil jalan pintas yang pantas untuk memastikan dia tidak turut menjadi 'korban' politik.

Tetapi jalan pintas yang diambil amat mengecewakan bangsa Melayu, kerana Presiden Pas itu ternyata tidak mempunyai keberanian untuk mempertahankan ideanya membentuk gagasan kerajaan perpaduan atau sekurang-kurangnya duduk berbincang dengan Umno mengenai kemelut yang sedang melanda bangsa sendiri.

Dia tunduk dan akur dengan desakan pemimpin Pakatan Rakyat lain untuk mengeluarkan bersama-sama kenyataan yang ternyata membuatkan Presiden Pas ini bagai 'meludah ke langit tapi jatuh ke muka sendiri'.

Hadi mungkin tidak dapat membayangkan betapa kecewanya bangsa Melayu yang sanggup mengenepi ideologi politik masing-masing, demi melihat bangsa Melayu dapat bersatu dan meleraikan pelbagai isu lebih penting daripada pertelagahan politik yang tidak kunjung padam sejak Pilihan Raya Umum Ke-12.

Rakyat, tanpa mengira bangsa sudah muak dengan permainan politik yang dicetuskan parti politik, apa lagi ketika negara turut berdepan krisis ekonomi yang sedang melanda dunia hari ini.

Ketika kepemimpinan kerajaan BN di bawah teraju Perdana Menteri baru, sudah banyak beralah dan mula menilai serta menyusun semula landasan perjuangan untuk rakyat, cetusan 'kerajaan perpaduan' atau lebih tepat 'perbincangan perpaduan' pada awalnya dilihat sebagai suatu nafas segar untuk memulihkan kewibawaan Malaysia sebagai sebuah negara aman, damai dan makmur di gelanggang antarabangsa. Namun, kenyataan terkini pemimpin ulama itu pasti amat mengecewakan mereka yang benar-benar mahu melihat kejayaan kerajaan perpaduan itu.

Pastinya rakyat akan terus dengan anggapan bahawa dunia politik ini penuh drama, gimik dan lakonan semata-mata. Apa lagi selepas melihat seorang ulama seperti Hadi membelakangkan idea dan pendirian sendiri, malah menempelak kemelut yang dicetusnya kepada orang lain, demi kepentingan survival politik dirinya sendiri.


Read more!

22 June 2009

Melayu bersatu?

Dalam konteks ajaran Islam itu sendiri menganjur umatnya supaya bersatu padu dan jangan sekali-kali berpecah-belah. Bahkan Allah SWT telah berulangkali mengingatkan di dalam kitab sucinya, perpecahan pasti akan membawa kepada kehancuran.

Bagaimana mungkin kesucian dan kedaulatan agama Islam dapat dijaga dan terus terpelihara jika umat yang mendokongnya sentiasa berada di dalam perpecahan?

Kesan dari perpecahan itu juga secara langsung akan menjadikan kita umat yang lemah dan mudah digugat serta diperhinakan oleh orang lain. Oleh sebab itu, adalah amat penting sekali bagi masa hadapan dan kelangsungan umat Islam ianya terletak pada perpaduan. Jelas ini merupakan ikatan dan nadi kekuatan.

Tetapi, bagaimana pula boleh timbul pula segolongan orang yang berfikir dan menganggapkan bahawa soal perpaduan ini tidak begitu penting?

Ada setengahnya pula yang sengaja menimbulkan isu-isu tertentu, walaupun mereka tahu ia akan membawa kepada perpecahan umat. Yang diutamakan oleh mereka ini ialah populariti dan sanjungan oleh satu-satu golongan.

Tindakan mereka itu amat jelas terkeluar dan lari daripada prinsip-prinsip pokok dan ajaran Islam yang menyuruh kita bersatupadu dan melarang berpecah-belah.

Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa kecemerlangan yang telah dicapai oleh umat Islam di zaman Rasullullah SAW dahulu adalah disebabkan mereka bersatu dan tidak berpecah-belah.

Perpaduan umat Islam ketika itu jelas kelihatan melalui sambutan dan pengorbanan yang telah diberikan oleh golongan Ansar di Madinah kepada orang-orang Muhajirin yang berhijrah ke kota itu.

Perpaduan yang berteraskan pengorbanan, takwa dan iman inilah yang melahirkan suatu umat yang kuat dan teguh, yang dapat membangun dan memperluaskan agama dan negara Islam ketika itu, serta dapat memberi sumbangan yang besar kepada tamadun manusia.

Usaha bagi memupuk perpaduan di kalangan masyarakat Islam adalah tanggungjawab semua umat Islam. Bukan sahaja ahli politik, malahan golongan alim ulamak dan cendikiawan Islam perlu bekerjasama serta memberikan pandangan yang positif bagi mengatasi masalah yang dihadapi kini.

Justeru, sukar benarkah untuk menerima perpaduan?


Read more!