22 June 2009

Melayu bersatu?

Dalam konteks ajaran Islam itu sendiri menganjur umatnya supaya bersatu padu dan jangan sekali-kali berpecah-belah. Bahkan Allah SWT telah berulangkali mengingatkan di dalam kitab sucinya, perpecahan pasti akan membawa kepada kehancuran.

Bagaimana mungkin kesucian dan kedaulatan agama Islam dapat dijaga dan terus terpelihara jika umat yang mendokongnya sentiasa berada di dalam perpecahan?

Kesan dari perpecahan itu juga secara langsung akan menjadikan kita umat yang lemah dan mudah digugat serta diperhinakan oleh orang lain. Oleh sebab itu, adalah amat penting sekali bagi masa hadapan dan kelangsungan umat Islam ianya terletak pada perpaduan. Jelas ini merupakan ikatan dan nadi kekuatan.

Tetapi, bagaimana pula boleh timbul pula segolongan orang yang berfikir dan menganggapkan bahawa soal perpaduan ini tidak begitu penting?

Ada setengahnya pula yang sengaja menimbulkan isu-isu tertentu, walaupun mereka tahu ia akan membawa kepada perpecahan umat. Yang diutamakan oleh mereka ini ialah populariti dan sanjungan oleh satu-satu golongan.

Tindakan mereka itu amat jelas terkeluar dan lari daripada prinsip-prinsip pokok dan ajaran Islam yang menyuruh kita bersatupadu dan melarang berpecah-belah.

Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa kecemerlangan yang telah dicapai oleh umat Islam di zaman Rasullullah SAW dahulu adalah disebabkan mereka bersatu dan tidak berpecah-belah.

Perpaduan umat Islam ketika itu jelas kelihatan melalui sambutan dan pengorbanan yang telah diberikan oleh golongan Ansar di Madinah kepada orang-orang Muhajirin yang berhijrah ke kota itu.

Perpaduan yang berteraskan pengorbanan, takwa dan iman inilah yang melahirkan suatu umat yang kuat dan teguh, yang dapat membangun dan memperluaskan agama dan negara Islam ketika itu, serta dapat memberi sumbangan yang besar kepada tamadun manusia.

Usaha bagi memupuk perpaduan di kalangan masyarakat Islam adalah tanggungjawab semua umat Islam. Bukan sahaja ahli politik, malahan golongan alim ulamak dan cendikiawan Islam perlu bekerjasama serta memberikan pandangan yang positif bagi mengatasi masalah yang dihadapi kini.

Justeru, sukar benarkah untuk menerima perpaduan?

No comments: