13 April 2009

Mainan Politik

Barisan Kabinet baru telah dibentuk namun malangnya, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan memanipulasikan barisan kepimpinan yang telah dibuat lantaran sengaja mahu menimbulkan isu agar perpecahan berlaku.

Sememangnya inilah impian parti-parti pembangkang termasuklah pihak-pihak yang mahu melihat kehancuran UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan cuba menimbulkan provokasi antara pihak yang ada di dalam kabinet.

Cakap-cakap yang telah ditaburkan oleh pihak pembangkang sememangnya cuba menyalakan api khususnya antara dua jawatan tertinggi negara iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kononnya, kata mereka portfolio kementerian yang diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri kurang penting sebagai orang kanan dalam barisan kepimpinannya.

Sememangnya ini bukanlah satu perkara baru yang cuba diwujudkan oleh pihak pembangkang dalam usaha meretakkan hubungan dua pemimpin tertinggi.

Malahan, sebelum ini juga, para pemimpin tertinggi dalam UMNO dan BN pernah menjadi mangsa mereka dalam cuba memepengaruhi masyarakat agar percaya dengan tohmahan dan fitnah yang sengaja ditimbulkan.

Ini bukan perkara baru. Bukan hanya Perdana Menteri yang keenam ini sahaja yang menjadi mangsa tetapi sebelum ini juga, semua pemimpin-pemimpin dalam BN pernah difitnah dan ditohmah dengan pelbagai spekulasi yang mengaibkan dengan tujuan untuk merosakkan hubungan erat yang berlaku antara pucuk pimpinan parti dengan rakyat keseluruhannya.

Tidak dinafikan bahawa kelancaran dan kelicinan peralihan kuasa antara Datuk Seri Abdullah dan Datuk Seri Najib telah menimbulkan kekecewaan di kalangan para pembangkang apatah lagi sebelum ini, telah wujud angan-angan kononnya ada ketua dari pakatan pembangkang yang akan menduduki takhta Perdana Menteri Malaysia.

Kekecewaan parti-parti pembangkang semakin parah dari semasa ke semasa dengan kegagalan mereka meyakinkan rakyat terhadap fitnah-fitnah yang telah dilemparkan kepada Perdana Menteri.
Tambahan pula, Datuk Seri Najib telah membariskan kepimpinan baru yang benar-benar mampu melaksanakan tanggungjawab untuk meneruskan kecermalangan negara di persada dunia.

Terbukti bahawa para pembangkang tidak pernah jemu dan bosan untuk merosakkan kesejahteraan dan keamanan dalam negara walaupun masyarakat Malaysia telah menyetujui barisan yang dibentuk dan percaya bahawa Malaysia akan gemilang dengan laungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib untuk membawa seluruh masyarakat merasakan satu Malaysia, rakyat diutamakan dan pencapaian didahulukan.

No comments: