06 June 2008

Krisis Minyak: Demonstrasi Bukan Cara Penyelesaian

KUALA LUMPUR – Kenaikan harga minyak petrol dan diesel yang masing-masing meningkat 78 sen dan RM1 seliter ekoran kenaikan harga minyak dunia baru-baru ini mendapat reaksi pelbagai pihak dan ada di antaranya yang mengambil kesempatan atas keputusan Kerajaan dengan memburukkan lagi suasana dan cuba mempolitikkan perkara tersebut.

Berhubung kenaikan bahan bakar utama tersebut, terdapat pihak tertentu termasuklah pembangkang yang menganjurkan demonstrasi jalanan sebagai protes terhadap kenaikan harga bahan tersebut di Ibu Kota.

Mengulas berkaitan hal tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menasihatkan masyarakat agar tidak terpengaruh dengan tindakan negatif yang dilakukan oleh mereka.


Bagi beliau, tindakan mengadakan demonstrasi tidak akan membantu menyelesaikan masalah malah ia hanya akan mengganggu kesejahteraan rakyat.

“Demonstrasi ini tidak akan menyelesaikan masalah dan kerajaan sudah berjanji untuk utamakan kedudukan golongan yang tidak mampu," katanya.

Beliau berkata, seharusnya semua pihak bersatu hati dan bersama-sama dengan Kerajaan untuk memastikan krisis kenaikan harga minyak dapat ditangani sebaik mungkin.

“Isu ini tidak perlu dijadikan isu politik kerana ia berkaitan negara dan pembangkang juga seharusnya menyumbangkan kepada usaha-usaha untuk menangani masalah kenaikan harga minyak dan gas di peringkat antarabangsa," katanya lagi.

Ekoran kenaikan harga minyak di pasaran, dikatakan bahawa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), merancang untuk mengadakan demonstrasi jalanan yang lebih besar di sekitar KLCC pada 12 Julai ini sebagai tindakbalas kepada keputusan Kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa tindakan pihak pembangkang seperti menangguk di air keruh dan sengaja mempolitikkan isu kenaikan harga minyak itu sekalipun mereka sendiri gagal melaksanakan janji-janji mereka selepas pilihan raya.
"Apa yang pembangkang boleh buat selain janji macam-macam, dia akan cuba mempolitikkan perkara ini.”

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak agar tidak terlibat dengan kegiatan berdemonstrasi dan pihak polis akan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengadakan perhimpunan tanpa permit kerana ia melanggar undang-undang.

Dipetik dari http://umno-online.com

No comments: