22 October 2008

Presiden Parti Sosialis Malaysia cadang salur zakat kepada bukan Islam



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr. Mohd. Nasir Hashim (gambar) hari ini mencadangkan kerajaan negeri supaya menyalurkan sebahagian peruntukan zakat kepada bukan Islam di Selangor.

Mohd. Nasir yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengemukakan cadangan tersebut ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata, cadangan tersebut sebagai salah satu pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan negeri pakatan pembangkang untuk menangani masalah kemiskinan di kalangan bukan Islam.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak sempat dibantah oleh beberapa ADUN Barisan Nasional (BN) yang cuba bangkit ketika persidangan itu berlangsung kerana Timbalan Speaker, Haniza Mohamed Talha bertindak memberikan laluan kepada soalan berikutnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang akhbarnya berkata, cadangan itu tidak mungkin dilaksanakan pada masa ini memandangkan dana kutipan zakat diperoleh daripada penyumbang yang beragama Islam.

Katanya, pemberian dana zakat kepada mereka yang beragama Islam yang layak merupakan amanah serta kewajipan daripada penyumbang yang perlu dipatuhi oleh pengurus dana zakat seperti mana diwajibkan mengikut hukum Islam.

Malah jelas beliau, kerajaan negeri tidak boleh berbuat apa-apa kerana akaun dana zakat adalah berasingan daripada akaun dana kerajaan negeri yang diuruskan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Perkara ini tidak boleh dilakukan buat masa ini kerana ia melibatkan kepercayaan pemberi zakat yang keutamaannya untuk orang Islam.

“Bagaimanapun, jika terdapat orang bukan Islam yang miskin, kerajaan negeri mengambil usaha untuk membantu mereka termasuklah menggunakan peruntukan dana kerajaan negeri,” katanya.

4 comments:

Jeff Syiru said...

Golongan Yang Tidak Berhak Menerima Zakat:
a- Zakat tidak boleh diberikan kepada orang yang jelas mempunyai hubungan nasab (darah) dengan keluarga Nabi s.a.w sebagai satu penghormatan kepada mereka dan disebabkan kerana mereka mempunyai sumber kemasukan lain dari harta awam dalam syariat Islam iaitu dari satu perlima harta rampasan perang.

b- Zakat tidak boleh diberikan kepada semua orang yang wajib ditanggung nafkahnya oleh pembayar zakat yang kaya lagi mampu untuk memberi nafkah kepada mereka dari sudut syarak atau undang-undang.

c- Zakat tidak boleh diberikan kepada orang bukan Islam kecuali untuk peruntukan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya.

anisahmaisarah said...

Inilah masalahnya orang yang tahu agama, tak tahu mana hala tujunya wang zakat ni dan apa faedahnya.
Kalau bab agama pun boleh dipermainkan apatah lagi bangsa dan negara.... Orang macam ni sanggup menggadaikan apa sahaja demi kepentingan diri mereka sendiri

TAIPINGMALI said...

Lepas ini mungkin Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor akan mengenakan zakat fitrah untuk Deepavali dan Tahun Baru Cina.

Saya mencadangkan 10 ringgit sekepala. Tok sami dan Tok Pek Kong boleh dilantik sebagai amilll.

matadore said...

Kekurangan ilmu, itulah.