08 June 2007

Merrill Lynch puji gaya kepimpinan serta keputusan tegas PM

dipetik daripada: http://www.utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Jun – Bank saudagar antarabangsa, Merrill Lynch berkata, meskipun pembaharuan yang dicatatkan Malaysia ketika ini menarik banyak perhatian, rejim politik baru negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada umumnya kurang dihargai.

“Tetapi kami merasakan pujian yang sepatutnya tidak diberikan dengan wajar kepada kepimpinan baru negara di bawah Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, yang mengambil alih tampuk pentadbiran pada lewat tahun 2003,” kata bank saudagar itu dalam satu analisis terbarunya mengenai Malaysia.

“Kami percaya perubahan dalam kepimpinan ini menjadi satu daripada antara yang kurang sekali dihargai, jikapun bukan paling penting, perkembangan di Malaysia selepas 22 tahun pemerintahan di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad,” kata bank saudagar itu dalam satu analisis yang dijalankan oleh Pakar Ekonomi Hong Kong, Arthur Woo.

Merill Lynch berkata, meskipun Perdana Menteri selalu dikritik kerana agak perlahan, teragak-agak dan sering menyerahkan keputusan kepada persetujuan bersama, “kami percaya gaya baru kepimpinannya mungkin apa yang sebenarnya diperlukan negara untuk memberi nafas baru kepada prospek pertumbuhan jangka panjang negara, terutama ketika berdepan dengan kepesatan globalisasi.”

Ia berkata, dengan suasana kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI), persaingan sengit di pasaran perdagangan global, kesan krisis kewangan Asia yang berlarutan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lemah, tidak mengejutkan pertumbuhan pendapatan mencatatkan prestasi yang lembap sebelum peralihan politik.

“Ini bermakna satu strategi ekonomi baru diperlukan. Justeru, amat penting bagi pihak berkuasa Malaysia memulakan strategi baru bagi membantu memulihkan ekonomi. Berita baiknya ialah Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi nampaknya mengemudi Malaysia di landasan yang betul.

“Ia bukanlah untuk mengatakan bahawa Malaysia tiba-tiba menginjak menjadi sebuah ekonomi maju sepenuhnya; sememangnya sasaran untuk mencapai status ini masih kekal pada tahun 2020.”

Merrill Lynch berkata, sejak mengambil alih kepimpinan Abdullah mengambil banyak keputusan yang sukar tetapi kritikal.

“Banyak keputusan ini, yang menyelesaikan isu-isu yang ditinggalkan daripada era Dr. Mahathir, kurang dihargai,” kata bank saudagar tersebut.

Ini termasuk penyusunan semula GLC, liberalisasi pertukaran asing, hubungan luar yang bertambah baik, mengurangkan subsidi bahan api dan membatalkan projek-projek kurang penting.

Merrill Lynch berkata, keputusan Abdullah untuk menangani prestasi buruk GLC dari sudut kewangan dan operasi ini sepatutnya telah lama dilaksanakan.

“Ia bukan hanya mewujudkan sektor korporat yang lebih kompetitif tetapi juga menyokong keseluruhan kewangan sektor awam di masa depan kerana ketika ini GLC membentuk lebih 50 peratus daripada 25 saham utama di Indeks Komposit Kuala Lumpur.”

Banyak daripada GLC ini lahir semasa era 1980-an sebagai sebahagian daripada rancangan penggantian import kerajaan, yang ditubuhkan untuk membangunkan industri berat (contoh, automobil, keluli, kimia dan simen) dan mewujudkan komuniti perniagaan bumiputera yang kaya.

Mengenai liberalisasi pertukaran asing, bank saudagar itu berkata pemansuhan kawalan modal dan tambatan ringgit kepada dolar AS yang dilaksanakan pada tahun 1998, telah berjaya membantu menepis persepsi pelabur antarabangsa bahawa Malaysia tidak terbuka kepada perniagaan.

“Langkah ini memainkan peranan penting dalam menarik semula modal dan pelaburan asing.”

Keputusan untuk mengurangkan subsidi bahan api dan membatalkan projek mega seperti jambatan baru menghubungkan Malaysia ke Singapura dan landasan berkembar elektrik merentas Semenanjung memperlihatkan hakikat bahawa Abdullah memahami kepentingan disiplin fiskal dan mengawal tahap keseluruhan hutang awam.

“Penjimatan daripada keputusan ini seterusnya boleh disalurkan kepada projek lain bagi menambah baik prasarana fizikal negara,” kata Merrill Lynch.

Bank saudagar itu juga berkata, gaya kepimpinan Abdullah yang agak mesra nampaknya telah mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Hubungan dengan Amerika dan Singapura telah menunjukkan peningkatan ketara yang boleh membawa kepada peningkatan hubungan ekonomi,” kata bank itu sambil menekankan Malaysia dan Amerika ketika ini sedang merundingkan perjanjian perdagangan bebas manakala hubungan dengan Singapura juga semakin baik.

– Bernama

No comments: