Dipetik dari Utusan Online
UMNO dan orang Melayu berhadapan dengan risiko hilang kuasa seperti dialami pada 1988 jika kegawatan yang melanda parti itu ketika ini tidak ditangani secara jujur dan terbuka.
Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Mohamed Rahmat berkata, dengan setengah dozen negeri yang dulunya di bawah UMNO jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu, kepimpinan parti perlu menerima realiti bahawa UMNO sebenarnya hampir hilang kuasa.
Beliau yang pernah berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri menegaskan, pucuk pimpinan perlu berdepan dengan kritikan dan teguran membina manakala ahli UMNO pula perlu jujur untuk mencari penyelesaian memulih dan menyelamatkan UMNO.
“Bukan mudah sebenarnya untuk mendapatkan kembali kepercayaan yang hilang. Pada 1988, saya cetak lima juta borang keahlian UMNO (baru) tapi yang kembali (dipulangkan) balik tidak sampai separuh.
“Banyak borang digunakan sebagai pembungkus pisang goreng... orang Melayu (ketika) itu menyampah betul dengan UMNO tapi demi hendakkan UMNO berkuasa semula, kita usaha... akhirnya orang Melayu insaf.
‘‘Mereka sifatkan kematian UMNO pada 1988 serta jika UMNO tidak lagi berkuasa, maka orang Melayu hilang kuasa. Jadi, biarkanlah perbincangan secara terbuka ini, himpunlah segala macam idea asalkan ia dapat menyelamatkan UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kritikan dan teguran terbuka ahli-ahli UMNO termasuk kepimpinannya yang lepas yang mendesak supaya dilakukan pembaharuan untuk mengukuhkan kembali parti.
Pada 1988, ekoran perebutan jawatan Presiden pada pemilihan 1987 yang menyaksikan perpecahan parti, sekumpulan ahli UMNO telah membawa kes ke mahkamah sehingga membawa kepada pengharaman UMNO.
Mohamed, 70, berkata, tekad untuk menawan semula fikiran dan perasaan rakyat perlu tersemat dalam diri setiap pemimpin dan ahli UMNO setelah rekod pencapaian buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.
“Pada 1988, bukan sahaja orang Melayu malah kakitangan kerajaan masa itu juga risau apakah bentuk dan dasar kerajaan akan berubah, tapi akhirnya perlahan-lahan sokongan kembali semula kepada UMNO.
“Hari ini juga, saya nampak rakyat banyak berbicara tentang apa nak jadi kepada UMNO... semacam sudah ada rasa kekesalan dalam diri supaya UMNO kembali berkuasa,” katanya.
Mengulas mengenai kuota kelayakan bertanding pada pemilihan parti Disember nanti, Mohamed berkata, pelaksanaan kuota itu perlu dihapuskan untuk membolehkan suara demokrasi direalisasikan.
Beliau turut mengimbas pengalamannya ketika bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Pusat pada 1974 menentang Syed Jaafar Albar.
Katanya, meskipun beliau dicalonkan oleh 100 bahagian manakala Syed Jaafar cuma satu bahagian, namun kemenangan berpihak kepada lawannya.
‘‘Kadang kala kuota tidak melambangkan hal sebenar.
‘‘Jadi, jika permintaan ramai sekarang mahukan kuota kelayakan itu dilupuskan, maka pucuk pimpinan kena patuh dan akur bahawa itulah yang dikehendaki ahli akar umbi,” katanya.
No comments:
Post a Comment