21 August 2008

2 Exco Perak ditahan - Disyaki terbabit sogokan wang, seks projek RM180 juta

Kenyataan Media dari BPR Mengenai Kes Ini


KENA SIASAT: Osman (kiri) dan Usaili antara enam yang ditahan BPR
atas dakwaan kes rasuah dan sogokan seks manakala Jamaluddin (kanan) diminta memberi keterangan di pejabat BPR Perak di Ipoh, semalam.


Dua ahli Exco Perak dan seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah antara enam orang yang ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membantu siasatan kes rasuah seks dan sogokan lebih RM123,400.

Exco Pelancongan, Pembangunan Insan dan NGO yang juga Adun Changkat Jering, Kapten (B) Osman Mohd Jailu dan bekas Adun Bota, Kapten (B) Usaili Alias, ditahan bersama seorang lelaki di sebuah hotel di Ipoh pada jam 6 petang kelmarin, manakala dua lagi ditahan di sekitar bandar raya itu antara 9 hingga 10.30 malam kelmarin.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan yang juga Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, pula ditahan di Pejabat BPR Perak, jam 10.30 pagi semalam. Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegah Rasuah 1997 bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan satu projek perumahan di Seri Iskandar bernilai RM180 juta.

Osman, Usaili dan tiga lagi suspek kini direman tiga hari bermula semalam, manakala Jamaluddin dijangka direman hari ini.

Usaili yang memenangi kerusi DUN Bota pada pilihan raya umum 1999 tetapi tewas pada pilihan raya umum 2004 dan Mac lalu, adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, manakala Jamaluddin dan Osman, masing-masing Bendahari dan ahli jawatankuasa PKR Perak.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata enam suspek itu ditahan selepas BPR menerima maklumat orang awam.

"Mereka dipercayai meminta suapan dalam bentuk wang ringgit dan ada juga meminta rasuah seks untuk mempercepatkan kelulusan projek perumahan itu," katanya pada sidang media selepas menutup Bengkel Modul Pelapis Penceramah dan Persembahan Mesej BPR 2008 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

BPR turut merampas lebih RM100,000, dipercayai sebahagian daripada suapan yang dipersetujui dan tidak menolak kemungkinan mereka menerimanya secara berperingkat.

Ibu Pejabat BPR dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya pula menjelaskan, Osman dan dua lagi suspek ditahan sejurus selepas menerima wang suapan itu.

Suspek lain yang ditahan ialah Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, seorang juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menafikan dakwaan wujudnya konspirasi politik berikutan penahanan dua Exco Kerajaan Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung dakwaan rasuah.

"Kita tidak mempolitikkan setiap tangkapan yang dibuat... sesiapa saja yang disyaki terbabit dalam perbuatan rasuah, BPR akan mengambil tindakan.

"Kita melakukan siasatan dan menahan pemimpin Umno begitu juga mendakwa pegawai tertinggi kerajaan dan kes penahanan dua Exco PKR yang terbaru ini juga tiada bezanya dengan kes rasuah lain," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ahmad Said mengulas kenyataan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua bahawa penahanan dua Exco Kerajaan Perak itu bermotifkan politik.

No comments: