02 September 2008

Perak beri 400 hektar tanah untuk sekolah Cina


Langkah Kerajaan Perak menganugerahkan tanah seluas 400 hektar kepada sembilan sekolah persendirian Cina perlu diperluaskan kepada sekolah agama Islam dan pondok demi memaju dan memartabatkan agama Islam di negeri ini.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharuddin berkata, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin tidak harus mengetepikan kepentingan Melayu dan Islam dalam sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri.

Katanya, langkah kerajaan negeri itu tidak salah tetapi pada masa yang sama perlu berlaku adil kepada sekolah agama dan pondok.

“Oleh itu, kami mendesak Menteri Besar turut memberikan lot tanah kepada sekolah agama Islam dan pondok demi memaju dan memartabatkan agama Islam di negeri ini dan tidak hanya kepada sekolah Cina,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini bahawa Mohammad Nizar mengumumkan pemberian 400 hektar tanah kepada sembilan sekolah menengah persendirian Cina di Perak.

Menurut laporan itu, pemberian itu bagi membolehkan sekolah tersebut dapat mengusahakan tanah berkenaan dan menggunakan keuntungan yang diperoleh untuk membiayai kos pentadbiran sekolah.

Mohammad Nizar dipetik sebagai berkata, peruntukan RM30,000 setahun kepada setiap sekolah pada masa ini tidak memadai.

Oleh itu sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri memutuskan untuk memberi tanah kepada sekolah itu bagi membolehkan mereka menubuhkan sebuah syarikat untuk mengusahakan tanah tersebut.

Zainol Fadzi berkata, Pemuda UMNO menghormati keputusan kerajaan negeri memberikan tanah kepada sekolah Cina di Perak.

Tetapi, kalau boleh kerajaan negeri juga kena berlaku adil kepada sekolah agama Islam dan pondok persendirian yang turut berhadapan dengan beban kewangan.

“Kita mahu Menteri Besar dapat membuat keputusan membela orang Melayu dan bumiputera supaya nasib dan kepentingan pribumi ini tidak dikemudiankan,” katanya.

No comments: