05 March 2008

Pak Lah buka cerita mengenai Anwar

KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang selama ini berdiam diri berhubung kritikan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kerajaan pimpinannya, semalam secara terbuka menyerang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang disifatkan gemar berdolak-dalik dan menabur pelbagai janji tetapi tidak pernah dikotakannya.

Perdana Menteri berkata, Anwar sering mengkritik pentadbiran beliau dan Barisan Nasional (BN) sekarang, sedangkan ketika berada di dalam kerajaan dulu, tiada sebarang pembaharuan dilakukannya.

Dalam nada kecewa, Abdullah berkata, beliau terpaksa membuka cerita mengenai Anwar kerana tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dianggapnya sebagai keterlaluan.

Perdana Menteri berkata, selama ini beliau berdiam diri apabila Anwar mengkritik kerajaan pimpinannya, tetapi kini sedia membalasnya supaya rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah dan janji yang ditabur pemimpin pembangkang itu semata-mata untuk menarik sokongan pengundi pada pilihan raya umum Sabtu ini.

"Dia kata kita macam-macam, saya pun geram juga. Sesekali kena habaq (beritahu) juga sebab kita tidak mahu rakyat diperdaya dengan janji yang tidak boleh dilaksanakan.

"Dia (Anwar) hanya pandai berjanji, tetapi tidak buat (laksanakan), malah apa yang kita buat dia ronyeh (rosakkan)," katanya ketika melancarkan projek Pintar Interactive Teaching and Learning System (i-Pintar) di Sekolah Kebangsaan Hashim Awang di sini.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Khalid Ramli.

Abdullah berkata, beliau akan menjawab segala tohmahan pembangkang, terutama Anwar sekiranya merasakan sesuai untuk berbuat demikian.

Perdana Menteri mendedahkan ketika Anwar memegang jawatan Menteri Pelajaran (1986-1991) dulu, beliau terbukti gagal melaksanakan tanggungjawabnya termasuk gagal menyelesaikan skim dua gaji guru setelah memperkenalkannya.

"Masa dia jadi Menteri Pendidikan apa dia buat. Kalau tak percaya tanya pada Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Hussein)," katanya.

Abdullah berkata, pada masa itu peluang kenaikan pangkat amat terhad menyebabkan guru bersara di tahap yang agak rendah dan jika ada guru yang dinaikkan pangkat, mereka tidak lagi mengajar sebaliknya terpaksa bertugas di jabatan atau pejabat pelajaran.

Perdana Menteri berkata, kini beliau gembira kerana pelbagai perancangan dilakukan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan guru, seperti memperkenalkan jawatan guru pakar atau guru super dan peluang kenaikan pangkat sehingga ke jawatan JUSA D tanpa perlu meninggalkan tugas mengajar.

Pada sidang media selepas itu, Abdullah yang diminta mengulas kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR Dr Chandra Muzaffar bahawa negara boleh hancur jika Anwar ditakdirkan menjadi pemimpin, berkata:

"(Perkara itu) boleh jadi, berasaskan kepada apa yang beliau (Anwar) biasa lakukan.

Apa yang Dr Chandra Muzaffar bagi tahu itu memang betul."

Kelmarin, Chandra yang pernah menjadi penyokong kuat Anwar, juga berkata Penasihat PKR itu umpama 'sesumpah' kerana sentiasa boleh berubah imej daripada seorang 'pejuang' ketika di universiti kepada nasionalis ketika bersama Umno.

Dipetik dari Berita Harian Online

No comments: