KUALA LUMPUR: Pas semalam memberi amaran parti itu akan melakukan apa saja tindakan termasuk menggunakan kekerasan bagi menghalang apa yang didakwanya pengundi upahan atau pengundi hantu, pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu ini.
Setiausaha Akhbar Presiden Pas yang juga penyelaras Sekretariat Media Pilihan Raya di Ibu Pejabat Pas Pusat, Roslan Shahir Mohd Shahir, mendakwa parti itu menerima maklumat mengenai perjalanan bas yang dikatakan akan membawa pengundi hantu dari seluruh negara termasuk dari beberapa universiti tempatan.
"Pas mengingatkan bahawa atas semangat mempertahankan demokrasi, Pas akan melakukan apa saja tindakan bagi menghalang pengundi hantu ini dibawa masuk ke Kelantan dan Terengganu.
"Petugas Pas telah diarah dan cukup bersedia untuk memastikan mereka tidak berjaya mengundi sebagai pengundi hantu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas Pusat di sini.
Ditanya kemungkinan tindakan Pas itu boleh mencetuskan pergaduhan, Roslan Shahir berkata:
"Sebab itu, awal-awal kita memberitahu benda ini supaya insiden itu tidak berlaku. Tetapi kalau dah berlaku juga, khususnya di Kelantan dalam pada kita terdesak untuk mempertahankan kerajaan negeri kita, maka ada usaha tidak demokratik dan pincang ini, takkan kita nak berdiam diri.
"Kita pun tak boleh kawal ahli kita daripada bertindak. Tak tahulah apa kemungkinan akan berlaku, tetapi kalau terdesak maka kita tak ada pilihan lain. Bukan sebab kita nak bertindak ganas, tetapi sebab kita nak menjunjung demokrasi," katanya.
Dalam kenyataan yang dibacakan Roslan Shahir pada sidang media itu, Pas mendakwa Barisan Nasional (BN) merancang operasi rahsia untuk menawan Kelantan dengan menggunakan pengundi hantu.
Parti itu juga mendakwa mempunyai bukti dan bersedia mendedahkannya termasuk ke peringkat antarabangsa.
Dipetik dari Berita Harian Online
04 March 2008
Pas sedia guna kekerasan
at 2:46 PM Posted by localhost
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment