Dipetik dari Utusan Malaysia
PULAU PINANG 16 Mac – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini bersedia untuk bertemu dengan UMNO Pulau Pinang untuk berbincang mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) di negeri ini.
Pengerusi PKR negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata, penjelasan berhubung isu DEB adalah penting bagi memastikan rakyat terutama orang Melayu tidak terkeliru mengenainya.
‘‘Duduk berbincang atau berdialog adalah lebih baik daripada mengadakan demonstrasi jalanan kerana kita tidak mahu rakyat keliru dengan isu ini.
‘‘Kita bukan hendak merampas hak orang Melayu tetapi ingin memastikan kepentingan seluruh rakyat terutama mereka yang miskin akan dipelihara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dua hari lalu, kira-kira 3,000 anggota pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan penyokong UMNO menyertai perhimpunan aman berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi membantah tindakan kerajaan negeri pimpinan DAP mahu menghapuskan pelaksanaan DEB di negeri ini.
Menurut Zahrain, pengumuman Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk membebaskan pentadbiran negeri ini daripada DEB mungkin dilihat sebagai terburu-buru, namun ia dilakukan kerana beliau mahu mentadbir Pulau Pinang dengan telus dan bersih.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru mendakwa, DEB yang diperkenalkan lebih 30 tahun dahulu telah dicacatkan dengan penyalahgunaan kuasa, kronisme dan juga rasuah.
‘‘Ini bukan lagi isu Melayu terpinggir, tetapi ini adalah mengenai kepentingan seluruh rakyat terutama yang miskin tidak kira sama ada kaum Cina, India atau lain-lain kaum.
‘‘Membantu golongan tersebut adalah perkara utama kami selaras dengan manifesto PKR yang mengandungi Agenda Ekonomi Malaysia menjaga kepentingan semua kaum di negara ini dengan adil,” ujarnya.
17 March 2008
PKR ajak UMNO P. Pinang bincang isu
at 9:32 AM Posted by localhost
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment