Perkembangan dewasa ini menyaksikan bagaimana dua buah parti terbesar orang Melayu yang sebelum ini banyak menghabiskan masa dan tenaga bertarung dalam soal-soal politik dan ideologi kini sudah boleh duduk semeja. Langkah berkenaan sudah tentulah mewujudkan satu kelegaan luar biasa bagi orang Melayu dan umat Islam apatah lagi sebelum ini perpecahan di kalangan orang Melayu sering dikaitkan akibat politik antara UMNO dan Pas. Apa yang lebih penting sekarang, semua orang Melayu perlu melihat usaha yang dilakukan oleh kedua-dua parti berkenaan sebagai satu rahmat.
Bangsa adalah asas kepada pembinaan negara. Tanpa bangsa yang unggul, negara akan dirantai dengan pelbagai kemelut perpecahan dan pertelingkahan. Justeru, bangsa yang kuat akan terus menguasai negara, sebaliknya bangsa yang lemah akan menghadapi pelbagai ancaman, termasuk dijajah.
Melayu adalah antara bangsa yang paling bernasib baik kerana ia bukan saja dapat mengekalkan kedudukannya sebagai bangsa yang berkuasa di negara sendiri, bahkan memastikan kuasa itu terus kekal di tangan anak bangsa melalui Perlembagaan Persekutuan.
Sejarah membuktikan perpecahan sesama bangsa adalah antara punca kelemahan Melayu sehingga dijajah oleh pendatang asing. Selepas Portugis menjajah Melaka, disusuli Belanda, penguasaan Barat ke atas Tanah Melayu pula menyaksikan bangsa Melayu benar-benar diperlekeh dan dibuat seperti `menumpang' di bumi sendiri. Jika kita bersatu, Melayu akan menjadi lebih kuat, gagah, bersemangat waja dan menjadikan kita bangsa yang dihormati serta tidak mudah diperlekehkan oleh bangsa lain
Walau apapun perubahan politik, perbezaan pendapat politik, bangsa Melayu perlu memastikan supaya mereka tidak kehilangan semua kuasa yang ada. Kerana itu, kita perlu tahu had setakat mana kita boleh berbeza pendapat. Jangan sampai tidak boleh bercantum balik. Seperti kata pepatah `carik- carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga'. Peribahasa kita ini memang amat tinggi pemikiran.
Masa depan Malaysia yang berbilang kaum juga adalah sangat bergantung kepada perpaduan Melayu. Dalam erti kata lain, perpaduan Melayu adalah teras perpaduan negara dan kekuatan sebenar orang Melayu. Lebih-lebih lagi ketika pada masa ini kekuatan orang Melayu daripada segi politik, ekonomi, ketuanan dan kedaulatan semakin terhakis.
30 July 2008
Bersatulah Melayu
at 9:38 AM Posted by localhost
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment