26 May 2009

Akibat membiarkan LTTE berleluasa



Jika di Asia Tenggara kita boleh berbangga dengan kemajuan Singapura sebagai sebuah negara pulau yang berjaya memartabatkan kedudukannya sebagai antara negara maju di dunia. Negara pulau lain seperti Hong Kong yang kini dikembalikan kepada China dan Taiwan yang masih tidak diiktiraf kewujudannya sebagai sebuah negara bebas oleh kebanyakan negara di dunia, tetapi mampu muncul sebagai antara negara yang sangat berpengaruh dari segi ekonominya.

Namun ini tidak berlaku bagi sebuah negara pulau yang bebas dan merdeka serta berpuluh kali ganda lebih besar iaitu Sri Lanka. Negara itu baru-baru ini berjaya membebaskan diri dari belenggu penguasaan Pemberontak Harimau Tamil Eelam (LTTE) setelah pemimpin tertingginya, Vellupillai Prabhakaran terbunuh dalam satu serangan pada Isnin lalu.

Bebanan inilah yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan Sri Lanka selama lebih 25 tahun yang membantutkan pembangunan dan menyukarkan kehidupan penduduknya. Akibat keganasan LTTE kebanyakan rakyat negara itu terpaksa hidup di dalam kemiskinan walaupun pada awal kemerdekaannya negara ini dilihat kehadapan dari segi perancangan pembangunan dan ekonominya.

Semua ini adalah akibat membiarkan keganasan LTTE berlarutan padahal kegiatan mereka ini boleh dihentikan lebih awal jika kerajaan lebih bersungguh-sungguh menangani hal ini. Ada yang menyatakan kegiatan rasuah yang berleluasa antara pegawai tinggi kerajaan dan tentera menjadi punca LTTE tidak boleh diperangi sebelum ini. Ada yang menyalahkan penyokong LTTE di seluruh dunia yang menyalurkan dana kewangan sebagai punca kegiatan mereka ini masih utuh dan berkembang.

Namun yang pasti masalah yang dicetuskan oleh pemberontak LTTE ini telah memaksa kerajaan mengeluarkan belanja sangat besar untuk memerangi kumpulan ini. Seharusnya peruntukkan yang besar kepada ketenteraan di Sri Lanka dibelanjakan untuk membangunkan negara dan memberi kesenangan hidup kepada rakyat.

Terdapat laporan bahawa satu dana telah disalurkan dari Kanada berjumlah sekurang-kurangnya AS$730,000 (RM2.55 juta) dan dari United Kingdom AS$390,000 (RM1.37 juta) setiap bulan pada tahun 1990-an.Itu hanya dana dari dua buah negara namun hakikatnya banyak lagi dana yang disalurkan dari negara-negara lain di seluruh dunia.

Memang ada asas yang jelas untuk kenyataan di atas. Jika seluruh ketumbukan tentera digunakan sepenuhnya untuk memerangi LTTE sejak 20 tahun lepas, pasti kegiatan mereka tidak akan berkembang hingga berjaya menguasai dan menubuhkan kerajaan di beberapa wilayah kawasan utara dan timur laut.

Malah tanpa bantuan dan sokongan yang diberikan oleh mereka yang bersimpati dengan perjuangan ini dari seluruh dunia, pastinya segala peralatan ketenteraan dan pembiayaan sara hidup ahli-ahlinya tidak akan dapat dipenuhi.

Sejarah LTTE sebagai sebuah pertubuhan pengganas paling kejam yang turut menarik perhatian antarabangsa sememangnya tidak boleh disangkal lagi. LTTE diasaskan oleh Prabhakaran pada 5 Mei 1976 dan serangan pertama dilakukannya sendiri apabila dia membunuh Datuk Bandar Jaffna, Alfred Duraiyappah.

Keturunan Tamil adalah minoriti di negara ini dan untuk mendapat kuasa memerintah kumpulan pemisah seperti LTTE sangat diperlukan.

Perjuangan LTTE berjaya menarik keyakinan etnik Tamil Sri Lanka dan selatan India berdasarkan perjuangan Prabhakaran menuntut keadilan daripada kerajaan Sinhala.

Perjuangan LTTE terus subur di kalangan etnik Tamil kerana dianggap sebagai “pembela masyarakat Tamil” di Sri Lanka. LTTE mendapat keyakinan besar memandangkan mereka berjaya mendesak kerajaan tunduk kepada kuasa dan kewujudan LTTE sehingga berjaya membentuk “dua kerajaan bagi wilayah tertentu”.

Kawasan utara dan timur laut ditadbir oleh LTTE sementara kawasan tengah, barat dan selatan dikawal oleh kerajaan.

Sri Lanka hanya mengambil pendekatan membendung pergerakan LTTE selepas Prabhakaran mempromosikan perjuangan bersenjata terhadap kerajaan dengan serangan ke atas Jafna, di utara pada 23 Julai 1983 dalam peristiwa yang digelar sebagai “Black July”.

India mula campur tangan pada 1987 atas desakan sebahagian rakyatnya yang keturunan Tamil, ditambah dengan kedudukan Sri Lanka yang hanya terletak 31 kilometer dari negara itu. Penghantaran bekalan makanan ke Jaffna oleh New Delhi dan pasukan pengamannya untuk membantu Sri Lanka dalam proses penyerahan senjata pemberontak, bagaimanapun gagal memujuk LTTE walaupun kebanyakan kumpulan pemberontak lain bersetuju berbuat demikian. Akhirnya pasukan pengaman India meninggalkan Sri Lanka atas permintaan Colombo pada 1990.

Nama LTTE semakin digeruni apabila serangan berani matinya berjaya membunuh Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 21 Mei 1991 di Madras. Kemudian diikuti dengan pembunuhan Presiden Sri Lanka, Ranahingse Premadasa dalam satu perarakan pada 1 Mei 1993.

Bibit perdamaian mulai muncul pada tahun 2001 ketika Ranil Wickramasinghe dilantik menjadi Perdana Menteri Sri Lanka. Tindakan pertamanya ialah mengadakan perjanjian gencatan senjata dengan LTTE yang membawa kepada keamanan sementara selama kira-kira 20 bulan.

Usaha Sri Lanka untuk berkompromi dengan LTTE bukanlah sesuatu yang baru. Malah pada awal penubuhan LTTE pada 1970-an, Colombo membenarkan pertubuhan itu bergerak bebas berdasarkan kaedah perjuangan yang tidak mengancam keselamatan negara.

Dasar berlembut kerajaan Sinhala terus dikekalkan dalam menghadapi LTTE apabila kerajaan mengadakan perjanjian damai dengan menjadikan Norway sebagai orang tengah bagi penyelesaian konflik pada Februari 2002.

Serangan

Namun tindakan LTTE yang masih melakukan serangan terhadap kerajaan termasuk ke atas pemimpin elit kerajaan seperti pembunuhan Menteri Luar, Lakshman Kadirgamar pada 12 Ogos 2005 dan serangan bom ke atas pemimpin dari luar negara seperti menyerang duta Itali, Jerman dan AS pada 27 Februari 2007 menyebabkan kerajaan mengambil pendekatan untuk menghapuskan LTTE secara menyeluruh.

Selain itu, pergolakan politik antara parti di Sri Lanka turut memusnahkan impian damai ini. Presiden Chandrika Kumaratunga, menggantung Parlimen Sri Lanka pada 4 November 2003 ketika Wickramasinghe dalam lawatan rasminya ke Amerika Syarikat (AS) dan mengerahkan tentera mengambil alih kerajaan serta meletakkannya di bawah perintah darurat.

Pendekatan yang lebih keras mula diambil terhadap LTTE apabila sekutu Kumaratunga, Mahinda Rajapakse menggantikan beliau sebagai Presiden dengan kemenangan tipis ke atas Wickramasinghe pada 2005.

Sejak dari itu, Presiden Rajapakse tidak lagi memandang ke belakang lagi dan pertempuran berat sebelah berlarutan sejak dari itu. Bermula 2 Januari lalu, Mahinda mengumumkan kejayaan tentera kerajaan menawan Kilinochchi iaitu “ibu negeri” pentadbiran LTTE selama kira-kira sedekad. Seminggu kemudian kumpulan pemberontak itu meninggalkan Jaffna untuk berlindung di hutan Mullaitivu, timur laut Colombo.

Dengan tamatnya pengaruh dan penguasaan LTTE di Sri Lanka, banyak pihak menyatakan bahawa kerajaan negara itu telah menggunakan pendekatan ketenteraan semata-mata serta menimbulkan kebimbangan antarabangsa terhadap keselamatan penduduk awam.

Hakikatnya Sri Lanka pernah menawarkan saluran diplomasi tanpa pertumpahan darah bagi menghadapi LTTE. Sri Lanka pernah menawarkan pengampunan termasuk kepada Prabhakaran pada 20 April lalu.

Namun tawaran itu ditolak oleh LTTE. Prabhakaran masih mengekalkan hasrat meneruskan perjuangan dengan anggota LTTE disemai dengan kesanggupan membunuh diri demi perjuangan.

Satu perkara menarik tentang LTTE ialah pertubuhan ini pengasas kepada serangan berani mati dengan menggantung atau melekatkan bom pada badan anggota mereka. Dilaporkan sebanyak 168 serangan telah dilancarkan sejak dari 1980-an hingga 2000 oleh kumpulan “Black Tiger”.

Selain itu LTTE pernah dikaitkan melatih anggota kumpulan pejuang Palestin di selatan Lebanon. Malah kerajaan India menemui bukti LTTE mempunyai pertalian rapat dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebelum pembunuhan Rajiv Gandhi.

Beberapa pertubuhan perisikan turut menemui bukti bahawa LTTE terlibat dalam memberi latihan kepada kumpulan Abu Sayyaf dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang mempunyai kaitan rapat dengan Al-Qaeda pada tahun 1990-an.

LTTE turut mempunyai sejarah panjang penglibatan anggota kanak-kanak sebagai anggota barisan hadapan malah dilaporkan kebanyakan anggota terbaru mereka merupakan kanak-kanak yang kehilangan keluarga akibat dari kejadian tsunami pada 2004.

Namun sejarah kekejaman LTTE yang tidak boleh dilupakan ialah peristiwa pembersihan etnik membabitkan penduduk beragama Islam dan keturunan Sinhala di kawasan yang dikuasai mereka. Dilaporkan anggota LTTE bertindak kejam terhadap mereka yang enggan meninggalkan wilayah yang dikuasai mereka. Antara kekejaman yang dilakukan LTTE ialah menguasai dengan paksa 35,000 ekar tanah milik penduduk Tamil Islam di utara Sri Lanka dan kemudian menghalau mereka pada 1985.

Penduduk Islam di daerah Chavakacheri turut menerima nasib yang sama apabila anggota LTTE memasuki sebuah masjid dan mengarahkan mereka meninggalkan rumah pada Oktober 1989. Tidak lama kemudian rumah mereka telah dirompak dan dimusnahkan. Pada 3 Ogos 1990, sebuah masjid di Kattankady telah diarah tutup ketika sedang menunaikan solat Jumaat sebelum 147 dari 300 jemaah ditembak mati. Ketegangan semakin meningkat apabila LTTE menghalau kesemua penduduk Islam di Jaffna. Mereka telah diarahkan berkumpul di Stadium Osmania dan pada petangnya mereka telah dihalau dengan hanya membawa 500 rupee dan harta benda mereka telah dirampas. Secara keseluruhannya dianggarkan 75,000 penduduk Islam telah dihalau keluar dari wilayah utara yang dikuasai mereka. Malah menurut jumlah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa lebih 70,000 rakyat negara itu terkorban akibat keganasan LTTE dan kebanyakan mereka adalah penduduk keturunan Sinhala.

Pengajaran yang boleh diambil daripada apa yang berlaku di Sri Lanka ialah inilah padahnya akibat dari membiarkan satu pertubuhan haram seperti LTTE memberontak dan bertindak membelakangkan undang-undang negara untuk merampas kuasa secara ganas.

Oleh kerana kerajaan gagal membendung pergerakan ini dari awal serta terlalu berdiplomasi telah mengakibatkan LTTE bertindak sesuka hati selama 25 tahun terutama dalam melakukan kezaliman ke atas rakyat. Padah dari terlalu berdiplomasi akhirnya memakan diri sendiri.

Ini adalah satu contoh yang boleh diambil iktibar bahawa jangan sama sekali memberi ruang kepada pertubuhan haram yang melakukan tindakan seperti pihak pemberontak yang bertindak ganas dalam mencari penyelesaian.

Sri Lanka kini mungkin sudah boleh memikirkan langkah seterusnya yang perlu dilakukan dalam membawa kemakmuran dan kekayaan kepada penduduknya. Walaupun dilihat agak terlewat namun usaha memulihkan kedudukan negara dan masyarakat diSri Lanka perlu dilakukan.

Namun apa yang pasti mereka telah banyak belajar akibat dari terlalu memberi muka kepada pemberontak haram dan keperluan bertindak sebegini mungkin dilihat kejam bagi sesetengah pihak. Namun apabila mereka ini sudah mencapai tahap memijak kepala mungkin tiada sebarang jalan lain yang dilihat sesuai selain menyerang balas. Keselamatan rakyat dan kedaulatan sesebuah negara pastinya bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan dan tidak boleh dikompromi kepentingannya.

Dari Utusan Online

2 comments:

Muhammad said...

Majlis Ceramah di Masjid Al-Hidayah bersama Sheikh Muhamad Fuad Kamaluddin(Ahli Majlis Fatwa N.Sembilan),

Tarikh : 28 MEI 2009 (KHAMIS-MALAM INI)
Masa : Lepas Solat Maghrib &
Masjid Al Hidayah Taman Melawati
Muslimat semua dijemput hadir,


http://pondokhabib.wordpress.com

Unknown said...

amacam?
lu komunis ke, komunis campur ke?
liberal, doemokarsi, kapitalis, imperialis atau tak pakai tu sume?

PKR & Dap sokong komunis & chin peng sebab dah maafkan chin peng... tu suara orang cina...

aku ingat nak ajak keluarga rashid maidin pulak minta maap.....

tapi, fikir2 pulak... rakyat sume bukan peduli pasal chin peng datang...

ni aku tak paham master mind anwar aku ni... bila pulak rakyat n ahli pkr setuju bawa chin peng ke malaysia ni...?

salim i