“Dulu lain, sekarang lain, dahulu bujang sekarang dah kahwin,” tentu mereka pencinta lagu ‘evergreen’ Tan Sri S. M. Salim masih segar di minda dengan lirik lagu itu. Dan pastinya ia kini sesuai digandingkan dengan sikap parti yang kononnya mengaku lebih Islam daripada yang lain. Tiada yang Islam melainkan perjuangan mereka sahaja.
Jika dahulu, haram berpakat dan bekerjasama dengan orang bukan Islam di Negara ini dalam urusan politik dan pemerintahan hingga tahap mengkafirkan, mengharamkan memakan ternakan hasil penyembelihan saudara seagama, memulau kematian teman sekampung dan juga enggan berimam bersama.
Adakah mereka yang membuat ‘fatwa’ sendiri itu kini telah taubat dan memperbetulkan kembali penyelewengan itu?
Hingga kini masih ada lagi penyokong-penyokong mereka berpegang kesan daripada amanat Haji Hadi dan juga sebagaimana Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Haji Awang Abu Bakar, ketika berceramah di Gong Duek, Besut, Terengganu, 1 April 1981 dengan mengatakan;
“Dan lagu ni Allah Taala beritahu orang ini sebenarnya orang munafiq.
“Orang munafiq ni lagu mana perangai? Allazina yattakhizuunal kaafiriina auliyaa min duunil mukminiin. Iaitu orang-orang munafiq ini mereka yang mengambil orang-orang kafir buat kawan baik.
“Sehidup semati, sesirih sepinang, sebantal, setelaga setimba, semampus sehidup, semerintah negeri, sedewan. Sama-sama jadi wakil rakyat, sama-sama jadi menteri, sama-sama jadi exco, sama-sama jadi timbalan menteri, sama-sama jadi setiausaha parlimen, sama-sama jadi pegawai kerajaan.
“Siapa adik kakak, ambil orang kafir buat kawan baik, siapa? (orang ramai jawab.. UMNO). Tengok tu. Sekali lagi saya ulang tayang. Siapa saudara-saudara yang mengambil orang kafir buat kawan baik? (penonton jawab.. UMNO). Haa.. UMNO.
“Kalau pandai begitu senanglah dan tahu tanda gak! Buboh tanda ‘molek atas dahi gak ha yalah tu. Apa hukum orang ini? (sama-sama jawab dengan orang ramai) MUNAFIQ.”
Tetapi, kini, bukan sahaja berpakat dan bersekongkol, malah hingga tahap ‘bersatu’ dengan penubuhan kelab penyokong dan terdesak ingin dijadikan sebagai sayap pula.
Mudahnya dahulu mengkafirkan UMNO kerana bekerjasama dengan parti MCA, MIC, Gerakan dan juga parti bumiputera di Sabah dan Sarawak. Akhirnya mengakui ‘menjilat ludah sendiri’ apabila bersekongkol dengan Dap, parti yang terang-terang memusuhi Islam sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Pengerusinya ‘langkah mayatnya dahulu jika mahu dirikan Negara Islam’.
Kelu lidah pemimpin Pas ketika itu, hinggalah kini, langsung tiada kedengaran tentang Negara Islamnya!
Ke mana agaknya hilang slogan ‘Membangun Bersama Islam dan hududnya?
Diganti pula dengan ‘Pas untuk semua’! Itu semua demi menjaga hati rakan sekongkolnya sahaja serta sanggup mencabuli prinsip dan dasar parti sendiri demi kepentingan rakan-rakan politiknya, satu bersifat liberal dan satu lagi sosialis.
Akhirnya, mereka mengakui formula yang selama ini dipakai oleh UMNO selama 52 ini adalah formula yang terbaik. Sebagai Negara majmuk, Negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan kaum, perlu ada perkongsian kuasa yang diwakili oleh kaum yang khusus kerana hanya sesuatu kaum sahaja yang tahu kehendak kaumnya.
Ianya kemudian bergabung menjadi satu gabungan yang kukuh, seperti yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN), bukan seperti pembangkang yang berpakat semata-mata untuk menjatuhkan BN, bukan satu gabungan memberi khidmat yang terbaik kepada Negara dan rakyat ini.
Tambahan pula, pakatan mereka jelas satu pakatan yang longgar, terdapat satu sikap saling mencurigai, jika tidak, sudah lama mereka bergabung sebagai satu entiti.
Berbeza dengan UMNO kerana sejak penubuhannya tetap dengan agenda dan usaha untuk memartabatkan agama, bangsa dan Negara serta mempunyai satu gabungan dengan rakan-rakan komponennya dengan amat baik.
04 June 2009
PAS Dulu Lain, PAS Sekarang Lain
at 12:35 AM Posted by localhost
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment