Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan berlangsung hari ini mengikut tarikh yang telah diputuskan sejak sebulan lalu dan inilah kali pertama DUN Perak bersidang selepas peralihan tampuk pentadbiran negeri dan kemelut politik termasuklah persidangan ‘bawah pokok’ oleh pakatan campuran.
Namun demikian, apa yang dikesalkan berkaitan dengan persidangan yang akan berlangsung tersebut, nampaknya ada pihak yang tidak senang terutamanya sekutu dalam pakatan campuran.
Tentu ada sebabnya, dan yang pasti pakatan campuran memang merancang untuk menggagalkan Sidang DUN Perak di bawah pentadbiran BN.
Untuk tujuan ini, mereka sanggup berbuat apa sahaja, bukan setakat mengutus surat kepada Baginda Sultan, naik turun mahkamah dan terbaru pula, mereka juga merancang mengadakan tunjuk perasaan.
Perlu difahami bahawa apa yang berlaku di DUN Perak sengaja dirumitkan dengan manipulasi pakatan campuran untuk menggagalkan perancangan yang telah dibuat sedangkan telah nyata bahawa Baginda Sultan dan kerajaan BN sendiri enggan melayan sebarang tuntutan tidak berfaedah kerana yang penting adalah tumpuan kepada pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Sebelum ini juga, Datuk Hafarizam Harun selaku Ketua Undang-undang/Penasihat Undang-undang UMNO telah memaklumkan bahawa Menteri Besar Datuk Dr. Zambry bersama Exconya layak untuk hadir dalam Sidang DUN malah apa jua alasan atau pendapat bertentangan dengan hasrat dan tujuan perintah tersebut adalah suatu bentuk penghinaan terhadap mahkamah.
Walau bagaimanapun, pakatan campuran sememangnya tidak berpuas hati lantas mereka cuba pula memperalatkan rakyat dengan menghasut untuk mengadakan satu himpunan yang diberi nama ‘One Black Malaysia’.
Kononnya sebagai tanda sokongan terhadap kerajaan pakatan campuran yang dipimpin oleh Nizar sekaligus menyatakan bantahan terhadap BN.
Jelas di sini bahawa pakatan campuran tidak berlaku adil, tidak matang dan bersikap seperti anak kecil dengan cuba menunjuk-nunjuk di khalayak ramai sedangkan secara perundangan sendiri telah jelas bahawa jawatan Nizar terlucut dengan sendirinya.
Dalam hal ini, kedudukan kerusi DUN adalah serupa semasa Pakatan PAS-DAP-PKR memerintah dengan jumlah 31 kerusi tetapi pada kali ini jumlah majoriti berkenaan dimiliki BN ekoran tambahan tiga kerusi dari wakil bebas.
Berikutan polemik politik Negeri Perak yang masih berlarutan hingga hari ini sejak Februari lalu, tidak dinafikan bahawa semua lapisan rakyat berhak untuk menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing tetapi janganlah sampai yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu.
Lantas, mengapa perhimpunan jalanan (demonstrasi) dijadikan pilihan sedangkan, tidak kira apa sahaja bentuknya sekalipun, ia akan tetap membawa kepada kesan negatif.
Walaupun demonstrasi secara relatifnya dari segi demokrasi adalah tidak salah tetapi perlu dilihat impaknya ke atas masyarakat yang mencakupi pelbagai aspek bukan sahaja dari segi sosial tetapi ia secara tidak langsung membantutkan ekonomi.
Jika dilihat, demonstrasi kecil yang berlangsung tersebut adalah suara segelintir individu untuk bercakap terus kepada pemimpin iaitu mengambil peluang atas kehadiran mereka yang ada, namun apakah kesudahannya?
Jika difikirkan, adakah mereka ini bergerak bersendirian atau ada pihak yang sengaja menimbulkan isu dan mewujudkan kelompok sedemikian lantas menangguk di air keruh demi untuk kepentingan peribadi?
Sewajarnya, mengapa tidak difikirkan kelangsungan kesan terhadap individu dan masyarakat sekeliling.
Ambil sahaja negara-negara jiran lain sebagai contoh kepada kesan demonstrasi jalanan yang selalu dilakukan. Alasan mereka ialah demokrasi dan kebebasan bersuara yang tidak disertai dengan pemikiran rasional dan jati diri rakyatnya yang hanya menyumbangkan kepada keruntuhan sesebuah negara.
Rakyat sesebuah negara yang masih lagi belum begitu matang dari segi pemikiran dan emosinya hanya akan menggunakan sentimen apabila membicarakan mengenai demokrasi, kebebasan bersuara dan menuntut hak asasi yang merupakan antara cara Barat untuk menundukkan negara Islam.
Tetapi, ia tetap memberikan kesan negatif terhadap pelaburan, pelancongan dan pandangan negatif oleh dunia luar kepada negara tersebut.
Demonstrasi jalanan ini hanya menyumbang kepada gejala negatif dan keruntuhan sahaja kerana ia secara tidak langsung boleh bertukar menjadi ganas seperti mana di negara-negara yang sedia maklum apabila penduduk bertindak menghalang laluan di jalan-jalan utama dan merosakkan kenderaan yang enggan menyertai protes yang diadakan.
Dalam menghadapi situasi ini, sememangnya ada pihak yang telah membuat perancangan dengan mengajak rakyat mengadakan demonstrasi sebagai bantahan kepada tindakan BN untuk mentadbir dengan aman di Perak.
Lantas fikirlah sendiri kenapa demonstrasi dilakukan sedangkan rakyat punya pilihan lebih baik!
07 May 2009
Sidang DUN Perak
at 11:59 AM Posted by localhost
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment