Pelawaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menyatakan bahawa UMNO sedia bekerjasama dengan Pas dan parti-parti pembangkang lain dalam usaha mewujudkan kestabilan politik di negeri Perak disalah tafsir lantas diletakkan syarat untuk mempersetujuinya.
Dalam hal ini, Dr. Zambry menyatakan bahawa keinginan untuk bekerjasama itu perlu datang daripada kedua-dua belah pihak dan bukannya UMNO sahaja dan tujuan juga bagi mengekalkan kestabilan politik di negeri tersebut.
Bagaimanapun, dilaporkan bahawa pelawaan tersebut ditolak oleh Pas yang berkeras mahu Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
Difahamkan bahawa Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri yang juga mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mahukan, pembubaran DUN dibuat sebagai jalan penyelesaian terbaik ke arah mencapai kestabilan politik di negeri ini.
Dalam hal yang sama, Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang juga dilaporkan berkata, parti itu sedia bekerjasama sekiranya UMNO menyokong pembubaran DUN.
Beliau berkata, mengikut amalan demokrasi raja berperlembagaan, Sultan perlu mengembalikan hak kepada rakyat untuk membuat penentuan menerusi pembubaran DUN dan pilihan raya negeri.
Lantaran itu, ia dilihat bertentangan dengan saranan dalam titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang mahukan para pemimpin yang mewakili kumpulan parti politik berbeza mencari titik pertemuan dan kaedah kerjasama antara mereka demi kepentingan negara dan rakyat.
Apatah lagi syarat yang diletakkan adalah sesuatu yang tidak wajar untuk dituntut dalam keadaan politik semasa yang mengelirukan rakyat. Tambahan pula ia dilihat sebagai langkah yanh tidakdak bijak ialah pembubaran DUN akan menuntut pilihan raya diadakan.
Lantas, pastinya yang menjadi mangsa adalah rakyat negeri terbabit kerana pilihan raya tentunya akan mengambil masa, memakan biaya dan menganggu pentadbiran negari selain tugas harian masyarakat turut terganggu.
Atau mungkin, sememangnya menjadi agenda kepada Pas dan pakatan campuran agar pelawaan tersebut ditolak lantas dijadikan sebab pula untuk disensasikan di kalangan rakyat tempatan.
Dalam menilai pelawaan dan syarat yang diutarakan, sememangnya ini bertentangan dengan titah Sultan, dan ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana sebelum ini juga telah beberapa kali titah Baginda disanggah malah kenyataan untuk menyaman Baginda juga turut menjadi percakapan politik di kalangan ahli-ahli pakatan campuran.
Sesungguhnya, jika dilihat dalam hal peralihan kuasa pentadbiran Negeri, pakatan campuran yang selama ini lantang melaungkan demokrasi enggan mengikut saluran undang-undang walaupun telah jelas kuasa majoriti yang dibentuk mereka berdasarkan perkongsian kuasa telah musnah.
Bekas Menteri Besarnya, Nizar pula sanggup terus jadi kambing hitam dalam permainan politik mereka dan rela menggadaikan maruah sendiri untuk memperjuangkan agenda tanpa masa depan pakatan campuran.
Lihat sahaja sebelum ini, bagaimana tindakan parti campuran yang masih terus bersandiwara, enggan mengaku kalah lantas penyokongnya dijadikan sebagai alat manipulasi hingga sanggup mengadakan demostrasi jalanan dan menyanggah titah Sultan.
Apakah kerana terlalu marah, penyokong sandiwara pakatan rakyat ini hilang pertimbangan sehingga sanggup berbaring di jalan raya dan bertempur dengan pihak berkuasa yang bertanggungjawab menjaga keamanan?
Lebih menyerlah lagi apabila mereka bersikap seolah-olah telah memenangi Kerajaan Pusat sedang realitinya, majoriti yang diperoleh mereka tidaklah sebanyak mana malah jika tidak bergabung antara tiga buah parti iaitu PAS, DAP dan PKR maka jangan mimpilah nak mentadbir negeri.
Bukan setakat itu sahaja, malah Pengerusi DAP, Karpal Singh sendiri mengeluarkan kenyataan untuk menyaman Sultan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh Baginda.
Sesungguhnya dari segi perundangan, apa yang dilakukan oleh Baginda Sultan Perak tidak salah apatah lagi Sultan Azlan adalah seorang yang arif berkaitan perundangan Negara dan tentunya Baginda ingin melihat kesejahteraan rakyat pulih tanpa sebarang perpecahan.
23 April 2009
UMNO Sedia Kerjasama, Pas Letak Syarat
at 5:04 PM Posted by localhost
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment