05 June 2009

Agenda yang terlindung

Pakatan pembangkang sejak akhir-akhir ini bertindak seakan merekalah yang berkuasa dan menjadi penentu kepada hala tuju perjuangan dalam negara sedangkan realiti yang berlaku adalah sebaliknya.

Memang tidak dinafikan, sejak pilihan raya pertama 1955 dan kemerdekaan dicapai pada tahun 1957 lagi, sikap parti-parti pembangkang tidak pernah berubah iaitu lebih sudu dari kuah, mengkritik untuk menjatuhkan lebih banyak dibuat daripada membantu untuk membina apa yang kurang.

Semakin lama, sikap tersebut semakin terserlah apatah lagi sekarang ini ada perancang yang menjadi duri dalam daging dan api dalam sekam kepada bangsa dan negara iaitu sanggup untuk mengadaikan agama yang dijunjung, bangsa yang dikendong dan bumi yang dipijak.

Apa yang pasti, nilai dan jati diri dipergadai sedemikian rupa hanya lantaran kuasa dan pangkat mengaburi mata.

Tidak kiralah apa yang mereka lakukan, sama ada PKR, PAS atau DAP sendiri, saban hari pasti mereka akan menimbulkan permasalahan yang bukan sedikit malahan hingga menimbulkan kegusaran dan kegelisahan di hati rakyat ekoran tindakan mereka.

Sikap tidak bertanggungjawab, biarpun sebagai pemimpin dan mentadbir negeri-negeri yang berjaya dimenanginya dalam pilihan raya lalu malangnya gagal berbuat apa-apa biarpun bukan baru semalam mendapat kuasa.

Percaturan dalam melaksanakan tugas masih berlangsung dan kerja-kerja yang diharapkan untuk ditunaikan oleh para pemimpin mereka kepada masyarakat tidak dilakukan.

Sememangnya, keputusan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu dijadikan kayu pengukur kepada pakatan campuran kononnya mereka diterima oleh semua lapisan masyarakat sedangkan sebenarnya kelemahan dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO disimbolikkan sebagai kekuatan mereka.

Lantaran itu, sikap parti-parti pembangkang semakin ketara dengan memanipulasi setiap isu dan paling teruk mengatakan setiap agenda dan langkah yang diambil oleh Kerajaan serba-serbi tidak elok.

Dalam masa yang sama juga, janji demi janji ditaburkan… kononnya jika pakatan campuran mendapat kuasa mentadbir negara maka rakyat akan senang lenang sedangkan baru sahaja menguasi lima negeri sudah kucar-kacir jadinya.

Keangkuhan dan keegoan yang digunapakai dalam pentadbiran menampakkan hasil apabila kesepakatan gagal direalitikan seperti semudah berkata-kata dan akhirnya kuasa yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat terlucut dengan sendirinya.

Namun demikian, tidak cukup setakat itu sahaja sebaliknya, rakyat terus-terusan diperalat dengan pelbagai provokasi. Pakatan campuran, terus menguatkan perancangan dengan helah buruk mereka iaitu menimbulkan propaganda negatif terhadap BN/UMNO biarpun terbukti mereka juga mendapat hasil yang sama sebagai rakyat Malaysia.

Fikirkanlah, untuk apa semua itu sedangkan bukankah lebih baik sekiranya masa yang ada diisi dengan merealisasikan janji-janji yang diluahkan sepanjang kempen pilihan raya umum yang lalu daripada terus memfitnah dan mengeji kepimpinan BN/UMNO.

Fikirkanlah juga apa yang akan berlaku sekiranya benar pakatan pembangkang menguasai kerajaan, tentunya DAP akan berusaha mewujudkan sebuah negara republik; negara tanpa Raja!

Fahamilah bahawa lazimnya gerakan parti yang beridealogi sosialis akan bertindak menahan golongan intelektual dan menawan media (seperti mana yang pernah PKR lakukan apabila menghalau media RTM di Selangor), merampas harta-harta dan memiliknegarakan firma-firma seperti mana yang pernah berlaku kepada beberapa negara lain di medan antarabangsa.

Lantaran itu, fikirkanlah semula hala tuju masa hadapan untuk diwariskan sebagai kesinambungan dan pusaka kepada generasi akan datang lantas fikirlah adakah hanya dengan berbekalkan populariti sahaja mampu menjamin agama, bangsa dan tanah air?

No comments: