24 June 2009

PAS akur desakan DAP & PKR tolak kerajaan perpaduan

Idea kerajaan perpaduan serlah nilai sebenar ulama Pas

Hadi tempelak kemelut dicetusnya kepada orang lain demi kepentingan survival politik diri sendiri

SELEPAS mencetuskan idea pembentukan kerajaan perpaduan di negara ini, kelmarin Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, dalam kenyataan yang ditandatanganinya bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang menolak ideanya sendiri selain mendakwa ia adalah fitnah, tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat gabungan pembangkang.

Sebenarnya, lontaran idea mengenai kerajaan perpaduan ini bermula dengan laporan akhbar Siasah (bil 0138) terbitan 1-7 Mac, 2009, dengan tajuk besar di muka depannya: 'Negara Tanpa Pembangkang'. Laporan berita itu antara lain menyatakan:

"Selepas dua keluaran berturut-turut Siasah menyiarkan cadangan agar satu pendekatan politik diambil ekoran kegawatan politik dan ekonomi yang melanda, dalam satu wawancara khas, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, mencadangkan agar kerajaan perpaduan dibentuk di negara ini.

"Kerajaan ini adalah kerajaan tanpa pembangkang dan dibentuk dengan pembabitan semua parti politik yang ada dan bersatu demi kepentingan negara. Beliau mencadangkan kerajaan perpaduan pimpinan Habibie di Indonesia, selepas kerajaan Suharto dijatuhkan, dijadikan contoh.

"Melalui kerajaan perpaduan ini, Habibie berjaya memberi impak besar kepada sistem demokrasi, penentangan terhadap rasuah, ketelusan media dan lain-lain di Indonesia, sehingga negara jiran itu berjaya keluar daripada kemelutnya dan berada di depan sekarang. Kini, Presiden Pas melontar idea ini untuk diamalkan di Malaysia dan menunggu reaksi daripada Umno terhadap cadangan ini."

Itu adalah petikan laporan akhbar Siasah. Kemudian, pelbagai reaksi diterima, ada yang positif namun pandangan itu hilang daripada perdebatan umum sehinggalah Hadi sekali lagi melontar perkara yang sama pada Muktamar Agung Pas, baru-baru ini.

Bukan itu saja, ulama ini bahkan melangkah lebih jauh apabila berkata 'cadangan menubuh kerajaan perpaduan ini akan dapat dicapai jika mendapat maklum balas daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno'.

Bertonggakkan perjuangan untuk memperkasakan bangsa Melayu yang agak goyah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Hadi dalam ucapannya kelihatan begitu yakin gagasan pembentukan kerajaan perpaduan cadangannya itu akan diterima baik oleh rakan pakatan pembangkang lain iaitu PKR dan DAP.

"Gagasan kerajaan perpaduan ini adalah penyelesaian kemelut negara dan Pas tidak mahu menjadi pembangkang yang membuta tuli... selagi ada ruang kita akan bincang cara demokrasi.

"Terpulang kepada maklum balas parti-parti politik tetapi ia mesti diteliti dengan perbincangan yang mendalam kerana saya percaya ia dapat menyelesaikan masalah negara," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas ke-55 itu.

Hasil daripada pandangannya sebagai ulama berpendirian sederhana dan tidak membelakangkan kepentingan bangsa, majoriti pemimpin Pas yang dikatakan di bawah kemnya menjadi pilihan utama untuk menduduki barisan kepemimpinan utama Pas pada peringkat pusat, menewaskan kumpulan Erdogan yang pro- Anwar.

Apa yang berlaku selepas itu kini berada dalam lipatan sejarah. Idea murni untuk menyatukan semula bangsa Melayu pimpinan barisan baru Pas ini mendapat tentangan hebat pimpinan tertingginya, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, sehingga mencetus polemik dalaman parti yang serius.

Ironinya, bukan Hadi yang menjadi sasaran, sebaliknya timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, yang dikepung wartawan di Parlimen terpaksa memberi jawapan pantas, selepas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, menyatakan kesediaan untuk duduk berbincang sekiranya Pas serius mengenai perpaduan bangsa Melayu.

Hadi ketika itu berada di luar negara dan Nasharuddin menjadi 'kambing hitam' apabila mahu tidak mahu terpaksa menjawab soalan bertalu-talu media massa yang mencetus kemarahan Mursyidul Am Pas, sehingga meminta Ahli Parlimen Bachok itu meletak jawatan dalam Pas dan 'masuk Umno'.

Presiden Pas kembali dari luar negara dan kelihatan cuba menenangkan emosi semua pihak berikutan krisis yang tercetus antara Nik Aziz dan Nasharuddin.

Pada masa sama, Hadi yang menyedari dirinya turut tersepit dan mula berdepan krisis kepemimpinan yang serius, mengambil jalan pintas yang pantas untuk memastikan dia tidak turut menjadi 'korban' politik.

Tetapi jalan pintas yang diambil amat mengecewakan bangsa Melayu, kerana Presiden Pas itu ternyata tidak mempunyai keberanian untuk mempertahankan ideanya membentuk gagasan kerajaan perpaduan atau sekurang-kurangnya duduk berbincang dengan Umno mengenai kemelut yang sedang melanda bangsa sendiri.

Dia tunduk dan akur dengan desakan pemimpin Pakatan Rakyat lain untuk mengeluarkan bersama-sama kenyataan yang ternyata membuatkan Presiden Pas ini bagai 'meludah ke langit tapi jatuh ke muka sendiri'.

Hadi mungkin tidak dapat membayangkan betapa kecewanya bangsa Melayu yang sanggup mengenepi ideologi politik masing-masing, demi melihat bangsa Melayu dapat bersatu dan meleraikan pelbagai isu lebih penting daripada pertelagahan politik yang tidak kunjung padam sejak Pilihan Raya Umum Ke-12.

Rakyat, tanpa mengira bangsa sudah muak dengan permainan politik yang dicetuskan parti politik, apa lagi ketika negara turut berdepan krisis ekonomi yang sedang melanda dunia hari ini.

Ketika kepemimpinan kerajaan BN di bawah teraju Perdana Menteri baru, sudah banyak beralah dan mula menilai serta menyusun semula landasan perjuangan untuk rakyat, cetusan 'kerajaan perpaduan' atau lebih tepat 'perbincangan perpaduan' pada awalnya dilihat sebagai suatu nafas segar untuk memulihkan kewibawaan Malaysia sebagai sebuah negara aman, damai dan makmur di gelanggang antarabangsa. Namun, kenyataan terkini pemimpin ulama itu pasti amat mengecewakan mereka yang benar-benar mahu melihat kejayaan kerajaan perpaduan itu.

Pastinya rakyat akan terus dengan anggapan bahawa dunia politik ini penuh drama, gimik dan lakonan semata-mata. Apa lagi selepas melihat seorang ulama seperti Hadi membelakangkan idea dan pendirian sendiri, malah menempelak kemelut yang dicetusnya kepada orang lain, demi kepentingan survival politik dirinya sendiri.

1 comment:

Muhammad said...

Dapatkan Jadual Majlis Ilmu sekitar Lembah Kelang bulan Julai & Ogos 2009 : http://pondokhabib.files.wordpress.com/2009/07/jadualjo.jpg