13 April 2009

Bahaya Melayu terus berpecah

"Kebimbangan saya ialah orang yang tidak menjadi penentu sudah menjadi penentu, orang Melayu majoriti yang sepatutnya menjadi penentu, sudah tidak menjadi penentu."

Itulah keresahan yang dizahirkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam wawancara dengan penulis di kediamannya pada Sabtu lalu.

Sebenarnya Muhyiddin bukanlah orang pertama yang melahirkan kebimbangan mengenai kedudukan kuasa politik Melayu sekarang, malah sebelum ini sudah ramai pemimpin UMNO yang berbuat demikian.

Tetapi malangnya orang Melayu masih belum sedar malah orang Melayu yang berada dalam pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR), akan mentertawakan kenyataan sedemikian.

Mereka menganggap kenyataan hanya helah UMNO yang merasakan orang Melayu semakin tidak menyokong parti tersebut. Namun apa yang berlaku pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau jelas membuktikan bahawa orang Melayu sudah tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa penentu.

Sebaliknya, para pemimpin politik Melayu sama ada pembangkang mahu pun kerajaan terpaksa 'berbaik-baik' dengan pengundi minoriti bukan Melayu demi untuk mendapatkan undi mereka.

Mungkin bagi Pas dan Melayu dalam PKR, mereka gembira dan berasa bangga kerana bukan Melayu semakin menyokong mereka.

Malah ada pemimpin mereka dengan bangga mendabik dada dengan menganggap kejayaan di Bukit Gantang memberikan isyarat kononnya Pas dan pakatan pembangkang selangkah lagi akan menguasai negara.

Justeru atas kepentingan politik juga, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup mengatakan bahawa tidak salah pemimpin bukan Islam membaca ayat-ayat al-Quran.

Semua situasi ini, jelas membuktikan bahawa orang Melayu tidak boleh bergantung kepada sesetengah pemimpin Pas dan pemimpin Melayu PKR yang sanggup menghalalkan apa sahaja asalkan bukan Melayu menyokong seterusnya membantu mereka mendapat kuasa.

Akibat daripada kejumudan dan kerakusan pemimpin-pemimpin Melayu seumpama itulah yang menyebabkan kuasa politik Melayu semakin terhakis.

Kita kini berpecah kepada tiga kumpulan atau mungkin empat kumpulan. Perpecahan akibat ideologi politik itu telah memungkinkan kita langsung tidak boleh bersepakat biarpun untuk perkara yang berkaitan dengan kepentingan orang Melayu.

Tetapi ini berbeza dengan bukan Melayu terutamanya masyarakat Cina yang bersedia bersatu jika ada isu berkaitan dengan kepentingan mereka. Akibat daripada kejahilan sesetengah pemimpin Melayu pembangkang yang tidak mahu memikirkan bahaya yang menanti, ia telah membolehkan pengundi bukan Melayu 'naik tocang'.

Mereka merasakan bahawa mereka kini adalah kelompok penentu kepada nasib politik sesuatu parti termasuklah UMNO dan Pas - dua parti yang dianggotai oleh orang Melayu. Calon kedua-dua parti itu tidak akan menang hatta jika ada hanya lima peratus sahaja pengundi Cina atau India di kawasan mereka. Kalau mereka mahukan undi maka pelbagai tuntutan harus dipenuhi dahulu.

Berikutan keadaan terdesak itu, maka berlakulah situasi di mana BN dipermainkan oleh pengundi bukan Melayu apabila tuntutan mereka dipenuhi tetapi undi tetap kepada pembangkang.

Walaupun di dalam BN ada MCA, MIC dan Gerakan tetapi ternyata mereka tidak mampu berbuat apa-apa, malah mereka turut 'terpedaya' dengan lakonan pengundi bukan Melayu itu. Bagaimanapun yang pasti kaum mereka tidak rugi apa-apa, yang rugi adalah UMNO seperti mana berlaku di Bukit Gantang.

Orang Melayu kini hanya boleh melaungkan bahawa mereka masyarakat majoriti di negara ini, justeru segala-galanya harus diutamakan. Tetapi dalam masa yang sama mereka tidak fikir bahawa kuasa politik mereka semakin berkurangan. Mereka yang tidak bersetuju dengan UMNO dan kerajaan, boleh mengecam apa sahaja, bagi mereka membaca fitnah yang disebarkan dalam suara-suara rasmi parti pembangkang adalah lebih penting daripada mengetahui fakta sebenarnya kedudukan Melayu yang dipaparkan oleh akhbar-akhbar arus perdana.

Apa yang paling mengecewakan, akibat daripada semakin lemahnya kuasa politik Melayu, pelbagai pihak semakin berani mencabar kedudukan Melayu dan orang Islam.

Kononnya atas dasar kebebasan dan keterbukaan yang dirasai oleh mereka mulai Oktober 2003, mereka berkata apa sahaja dan orang Melayu tidak berdaya melawan balik.

Jika ada orang Melayu dalam UMNO bersuara mempertahankannya ia digelar macam-macam termasuk 'celaka dan gila' serta sebagainya. Biarpun penghinaan itu adalah ke atas parti induk Melayu yang sebelum ini sudah menaburkan jasa besar dalam memartabatkan orang Melayu, tetapi tidak pemimpin Melayu pembangkang akan membelanya kerana berbeza fahaman politik.

Mungkin ada orang Melayu terutamanya dalam PKR gembira dengan perkembangan sekarang tetapi mereka harus faham bahawa apa yang berlaku amat bahaya kepada masa depan generasi Melayu akan datang.

Ketika ini mereka boleh berbangga kerana berbaik-baik dengan kelompok bukan Melayu yang cauvinis demi kuasa politik tetapi percayalah suatu hari kelak, mereka akan mengetahui betapa bahayanya tindakan mereka.

Justeru seruan Muhyiddin agar orang Melayu kembali bersatu di bawah payung UMNO bukanlah suatu seruan kosong, ia mempunyai maknanya cukup besar.

Ia bukanlah semata-mata kerana kepentingan politik UMNO tetapi demi bangsa Melayu dan umat Islam. UMNO sudah berjaya membuktikan bahawa biarpun ia bekerjasama dengan parti bukan Melayu tetapi parti-parti berkenaan sentiasa patuh dan bekerjasama dengan penuh semangat persahabatan. Malah UMNO amat dihormati oleh mereka.

Tetapi apakah dalam soal ini Pas juga mendapat penghormatan yang sama daripada DAP? Apakah orang Melayu dalam PKR dibenarkan bebas bersuara mengenai soal-soal kepentingan orang Melayu dan Islam?

Bukankah pemimpin utama mereka, Anwar Ibrahim begitu rakus untuk berkuasa sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya asalkan memperolehi kuasa politik?

Oleh itu masanya belum terlambat untuk orang Melayu memikirkan sedalam-dalamnya mengenai ancaman yang sedang menanti mereka. Jangan sampai sokongan yang diberikan kepada sesuatu parti itu kononnya atas semangat kerjasama, akhirnya menyebabkan masa depan orang Melayu tergadai.

Jadikanlah apa yang berlaku di Perak dan Pulau Pinang selepas pilihan raya umum lalu sebagai pengajaran bahawa fenomena yang sama boleh berlaku di negeri-negeri lain, jika orang Melayu terus berpecah belah. Janganlah nanti apabila tiba masanya, akibat daripada permainan politik melampau sesetengah pemimpin Melayu yang tamakkan kuasa, orang Melayu menjadi pelarian di tanah air sendiri. Menang sorak tetapi kampung tergadai.

Oleh ZULKIFLEE BAKAR. PENULIS ialah Pengarang Rencana Mingguan Malaysia. Dipetik dari Utusan Online

2 comments:

sapura said...

salam bro, i think u might want to read this...

http://ziarah76.blogspot.com/2009/04/akar-politik-eropah-kepada-dunia.html

wassalam

pakatransuck said...

betul apa kau kata. aku setuju apa yang di tulus dalam thread ni. tapi tu la kan.. org melayu ni susah.. siki2 islam... org melayu lain tak islam kot?? aku sendiri bosan dgn parti pembangkang ni terutama PAS. Seri Deva Anva Avrehem.. lagi la merosakkan masyarakat.

p/s: Seri Deva Anva Avrehem = anwar ibrahim