Dipetik daripada Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 27 Mac – Antara projek landasan kereta api berkembar dari Rawang di Selangor ke Ipoh, Perak atau projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura, mana yang lebih penting?
Itu yang dipersoalkan anggota Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad yang mengambil contoh kedua projek itu ketika membahaskan mengenai keutamaan kerajaan dalam melaksanakan sesuatu projek pembangunan.
‘‘Saya tak faham kalau laluan dari Kuala Lumpur-Singapura itu dianggap terpenting sehingga sanggup menimbangkan cadangan untuk membina kereta api laju, kenapa pula program landasan berkembar dimulakan di utara. Saya tak nampak di mana logiknya,’’ soalnya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Turut dipersoalkan Shahrir ialah mengenai kewajaran penglibatan Singapura dalam projek kereta api laju itu yang sepatutnya dipertimbangkan kerajaan.
“Kalau projek itu mahu diteruskan, maka perlu dibina jambatan, sebab takkanlah kereta api ini terlalu pantas hingga tak perlu jambatan untuk seberang Selat Johor.
“Singapura pernah menolak cadangan pembinaan jambatan baru ke sana tetapi kini (apabila merasa projek kereta api laju itu menguntungkan mereka), maka mereka mahu projek kereta api laju ini berhenti di republik itu,’’ katanya yang berpendapat kerajaan perlu berjaga-jaga dalam memikirkan program pembangunan jangan sehingga menjadi bahan jenaka.
Kerajaan setakat ini belum memutuskan sama ada projek yang diinisiatifkan YTL Group itu akan berakhir di Johor atau Singapura.
Perbahasan Shahrir kemudian dicelah Datuk Mohamad Said Yusof (BN-Jasin) yang bertanya mengenai untung ruginya pelaksanaan projek berkenaan dan kesan yang akan dihadapi Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) berikutan pelaksanaan projek kereta api laju itu.
Shahrir bagaimanapun menegaskan bukan isu untung rugi yang dipersoalkan sebaliknya kerajaan perlu memikirkan mengenai kepentingan dan logiknya projek kereta api laju itu dilaksanakan.
– Bernama
No comments:
Post a Comment