02 January 2008

Yuran sekolah: Mansuh RM4.50, kena bayar pula lebih RM100

Berdasarkan sebuah artikel dari harakahdaily.net oleh Maslan Yusoh pada Dis 31, 07


PENGKALAN CHEPA, 31 Dis (Hrkh)

Apa dah nak jadi. Kegembiraan ibu bapa yuran sekolah rendah dan menengah dimansuhkan tidak bertahan lama, sebaliknya ketika menghantar anak-anak ke sekolah hari ini yuran lebih RM100 dikenakan. Malah ramai terkejut apabila diberitahu pihak sekolah mengenai kadar yuran tersebut. Paling murah yuran dikenakan terhadap pelajar sekolah rendah sebanyak RM80. Ada juga sekolah mengenakan yuran sehingga RM200.

Apa maknanya semua ini. Sedangkan kerajaan mengumumkan yuran rasmi sekolah dimansuhkan pada tahun 2008, sebaliknya ketika ramai ibu bapa menghantar anak ke darjah satu dan tingkatan satu, yuran dikenakan lebih RM100.

Anggota parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, pengumuman kerajaan memansuhkan yuran sekolah tidak memberi sebarang makna. Sebaliknya ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah minggu lepas dan hari ini berdepan dengan kadar yuran antara RM80 hingga RM200, katanya pada majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar-pelajar miskin di Pejabat PAS Kota Bharu, di sini, hari ini. Seramai 70 ibu bapa hadir pada program itu. Setiap mereka menerima RM100 yang disampaikan Abdul Halim. Sumbangan bantuan tersebut termasuk ditaja Tabung Kemiskinan Harakah dan Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK).

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa, Haji Yusof Ludin dan penghulu kawasan parlimen terbabit. Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran menegaskan yuran rasmi sekolah tetap dimansuhkan mulai penggal persekolahan tahun depan, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Bajet 2008.

Bayaran tersebut iaitu RM4.50 bagi pelajar sekolah rendah dan RM9 (sekolah menengah). Abdul Halim berkata, pengumuman pemansuhan yuran tersebut tidak memberi sebarang makna apabila ramai ibu bapa yang berpendapatan rendah berdepan dengan masalah kewangan sekarang.

Itu pun belum lagi diambil kira perbelanjaan membeli kelengkapan persekolahan anak-anak, di mana harganya sudah meningkat berbanding sebelum ini. Bagi ibu bapa yang mempunyai bilangan anak yang ramai, tentunya berdepan dengan banyak kesukaran, ujarnya.
Sementara itu, ibu bapa yang menerima sumbangan tersebut melahirkan rasa lega, setidak-tidaknya dapat menjelaskan sebahagian yuran persekolahan anak-anak. Hampir 200 lagi pelajar di kawasan parlimen Pengkalan Chepa akan diberi bantuan serupa dalam masa terdekat ini.

Komen Warong Kopi

Rasa tak puas hati memang akan timbul lebih lebih lagi jika melibatkan kenaikan harga barang di pasaran contoh minyak petrol dan diesel, minyak masak, tepung gandum, ayam, cili merah dan pelbagai lagi. Semua pihak akan cepat melenting bila khabar berita sesuatu produk itu akan dinaikan harga. Teringat zaman minyak petrol naik pada tahun 2007, saya yang baru sampai di sebuah stesyen minyak pada malam hari lebih kurang pukul 10 malam dan 11 malam, terkejut dengan jumlah kenderaan yang beratur untuk mengisi minyak di perkarangan sebuah stesen minyak, kebiasaanya jumlah yang sebegini banyak hanya boleh kita lihat pada terminal NGV (kadangkala boleh menjangkau berpuluh-puluh buah teksi ) malah lebih lagi pada malam ini.

Dalam kes yuran sekolah, ramai yang menyatakan rasa tidak puashati dengan tindakan kerajaan yang dilihat seolah menipu rakyat dengan mengatakan yuran skolah untuk sesi 2008 adalah percuma tetapi perkara sebaliknye berlaku. Tetapi apakah mereka benar-benar faham apa yang percuma dan apa yang masih perlu dibayar?

KERAJAAN MALAYSIA MELALUI RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2008 DIBENTANGKAN DI DEWAN RAKYAT PADA 7 SEPTEMBER 2007 telah bersetuju bahawa YURAN KHAS di semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan dimansuhkan berkuatkuasa mulai tahun persekolahan 2008. Mulai 1 Januari 2008, ibu bapa tidak perlu lagi membayar Yuran Khas sebanyak RM4.50 (sekolah rendah) dan RM10.00 (sekolah menengah) yang berjumlah RM32 Juta setahun untuk seluruh negara.

SISTEM PAKEJ BAYARAN TAMBAHAN - Sistem pakej Bayaran Tambahan dilaksanakan untuk memudahkan pengurusan sekolah, PPD dan JPN melulus dan memantau semua jenis pembayaran di sekolah. 3 jenis pakej mengikut jenis sekolah, lokasi sekolah, bilangan murid dan status ekonomi masyarakat setempat. Sekolah memilih 1 sahaja pakej pembayaran dengan mengambilkira persekitaran sekolah, pandangan guru dan pandangan PIBG.







Pakej A membabitkan sekolah yang berada dalam kawasan sosioekonomi tinggi dengan majoriti ibu bapanya kumpulan peniaga besar atau kakitangan awam kumpulan profesional.
Bagi sekolah rendah dalam kategori ini, paras siling bayaran tambahan yang ditetapkan oleh kementerian ialah sebanyak RM38.50, manakala bagi sekolah menengah pula sebanyak RM55.50.

Pakej B iaitu sekolah yang berada dalam kawasan sosioekonomi sederhana dengan majoriti ibu bapa terdiri daripada kumpulan peniaga sederhana atau kakitangan awam kumpulan sokongan pula menetapkan paras siling pada RM30.50 bagi sekolah rendah dan RM44.50 bagi sekolah menengah.

Sekolah yang dikategorikan Pakej C pula ialah yang berada dalam kawasan sosioekonomi rendah dengan majoriti ibu bapa terdiri daripada kumpulan peniaga kecil, bekerja sendiri, pekerja ladang atau kakitangan awam kumpulan sokongan II, sekolah kawasan pedalaman dan sekolah kurang murid (SKM).

Untuk pakej berkenaan, paras siling bayaran yang ditetapkan ialah RM23.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah. Pihak sekolah diminta memilih salah satu pakej pembayaran tersebut dengan mengambil kira persekitaran sekolah, pandangan guru-guru serta PIBG.

Berdasarkan pekeliling garis panduan tersebut, setiap sekolah perlu menubuhkan Jawatankuasa Khas Penentuan Bayaran Tambahan yang dianggotai oleh wakil guru-guru, ibu bapa dan dipengerusikan oleh pengetua atau guru besar untuk memilih pakej yang sesuai.

Melihat pada penjelasan di atas tiada satu pun pakej yang disediakan kerajaan mencecah angka minima RM 80 seperti yang dilaporkan harakahdaily.net, apatah lagi nilai maksima RM 200. Saya syorkan penulis memeriksa butiran pada resit pembayaran yang telah dibuat supaya aduan saudara saudari lebih konkrit dan boleh diambil iktibar oleh pembaca online yang lain.

Katakanlah saudara dari kawasan sekolah yang memenuhi kriteria pakej C, itu pun setelah mendapat persetujuan dari ibu bapa melalui PIBG sekolah tersebut ( jadi tolong lah participate atau hadirkan diri semasa mesyuarat PIBG, jangan hanya tau komplen sahaja), saudara hanya perlu membayar RM33.50 setahun (RM2.79 sebulan) untuk seorang murid sekolah menengah dan RM 23.50 setahun (RM1.95 sebulan) untuk seorang murid sekolah rendah. Cara bayaran mengikut bayaran bulanan juga boleh diambil kira jika saudara dapat berbincang dengan pihak sekolah. Banyak lagi yang boleh diusahakan bersama jika timbul masalah kewangan bagi pihak saudara untuk menjelaskan bayaran pendidikan ini.

Apakah saudara tau yang yuran peperiksaan yang besar seperti upsr,pmr, spm dan seluruh buku-buku teks adalah percuma? Tak bersyukur langsung. Kalau ikut logik, kalau semuanye free, aktiviti sekolah tak boleh jalan, kemudahan sekolah yang rosak pun perlukan penyelenggaraan dan pelbagai lagi.

Apakah kita sebagai ibubapa tidak sanggup meluangkan sedikit wang ringgit untuk pendidikan anak-anak kita? Sanggupkah kita berkira dengan nilai RM33.50 (RM2.79 sebulan) atau RM 23.50 (RM1.95 sebulan) untuk kemudahan sekolah anak-anak kita? Saya percaya, ada ibubapa yang berfikiran jauh, tidak akan menganggap nilai ini sebagai satu masalah yang besar bagi anak-anak mereka maju dalam pelajaran. Ikan kembung pun sekitar RM6.00 sekilo pada ketika ini.

Seperkara lagi, kalau kita perasan isu yuran ini tidak pula dibangkitkan oleh bangsa Cina, kenapa? SRJK C sudah biasa dengan keadaan yang kurang menerima subsidi dari Kerajaan berbanding sekolah bantuan Kerajaan. Mereka sudah boleh berdikari, tidak mengharapkan bantuan dan hasilnya murid-murid dari sekolah SRJK C adalah antara yang berdaya saing di Malaysia kini. Ada sahaja bantuan yang datang bila mereka bersatu untuk sesuatu usaha, lihat sahaja UNITAR di Kampar Perak, semua ini kerana bangsa Cina berpendapat hanya dengan pendidikan mampu membawa mereka maju ke hadapan.

Di dalam dunia yang semakin canggih dan berkembang pesat, pendidikan merupakan satu elemen penting untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga, masyarakat dan negara. Kita akan terus ketinggalan dari bangsa lain di dunia ini jika kita masih lagi mempertikaikan hal-hal yang remeh temeh seperti ini. Saya percaya sudah ramai ibubapa diluar sana yang sedar akan kepentingan pendidikan dan tidak melihat wang ringgit sebagai satu halangan. Kasihan & simpati saya pada mereka yang betul-betul susah tapi masih lagi sanggup berkorban khususnya untuk pendidikan anak-anak. Dan saya percaya masih ada cara untuk membantu mereka ini Insyallah.

Paling mendukacitakan ada pihak yang mempolitikan isu-isu begini dan mengambil kesempatan di atas kesusahan yang dialami sesetengah keluarga walhal mereka sendiri adalah dari golongan yang mampu.

2 comments:

myownschooloftought said...

tersentuh tgk coverage tv3 semalam ada family berbangsa india ni sanggup berhutang kerana semata mata untuk menyekolahkan 3 anak kembar depa. pada aku ler, secara tak langsung anak anak depa ni sedar pengorbanan mak bapak depa dan mau berusaha mengubah nasib keluarga depa.

Suriani said...

kalu bayar yuran berkira sangat semasa dapat duit KWAPM datang sekolah mak dia gelang sampai siku ada kereta besar pada cikgu...tapi bila bayar yuran berkira..duit itu bukan untuk sapa-sapa untuk anak dia jugak..