Tumbangnya kerajaan campuran parti pembangkang PAS, PKR dan DAP di Perak pada awal Februari 2009 lalu benar-benar memberi tamparan yang hebat kepada mereka terutamanya DAP yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak.
Pelbagai cara, komplot dan tindakan yang telah mereka lakukan untuk menafikan kesahihan kerajaan negeri yang baru di bawah BN, sama ada melalui tindakan undang-undang, demonstrasi sehinggalah ke tahap menderhaka kepada Sultan Perak.
Terbaru, mereka menerima pukulan yang hebat apabila Persatuan Kerabat Di Raja Kedah (PKDK) mencadangkan agar pemimpin pusat Pengerusi DAP, Karpal Singh diharamkan daripada menjejak kaki ke Perak kerana kebiadabannya buat sekian kalinya terhadap Sultan Azlan Shah.
Tambahan pula, tindakan DAP Perak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zamby Abd Kadir menuduh MB menyalahguna kuasa dilihat sebagai usaha daripada pihak yang telah kehabisan idea untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap kelemahan dan pergolakan yang berlaku di pakatan pakatan pembangkang.
Laporan tersebut menuduh MB menyalahguna kuasanya dengan melantik tiga orang penasihat yang bertaraf exco.
Mereka terdiri daripada Datuk Mohd Najumuddin Elias yang dilantik sebagai penasihat Hal Ehwal Agama Islam; Datuk Chang Ko Youn (penasihat Hal Ehwal Kaum Cina), dan Datuk S Veerasingam (penasihat Hal Ehwal Kaum India) manakala Datuk Hamdi Abu Bakar dilantik Ketua Penerangan Kerajaan Negeri.
Chang merupakan Naib Presiden Gerakan pusat dan juga Pengerusi Gerakan Perak manakala Veerasingam adalah Naib Presiden MIC.
Menurut Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam, setiap penasihat tersebut akan menerima gaji sebanyak RM250,000 setahun.
Apakah terdapat di dalam mana-mana peruntukan undang-undang yang menafikan hak MB untuk melantik penasihat?
Bukankah jumlah yang diungkitnya itu menyamai dengan perbelanjaan bagi setiap exco yang lepas?
‘Kedegilan’ bekas MB untuk terus tinggal di kediaman rasmi, tetapi akhirnya akur akan meninggalkannya, berkemungkinan juga berpunca daripada ‘hasutan’ dan ‘dipengaruhi’ oleh parti DAP sebagaimana pengakuan Nga Kor Ming;
“Kami sedar kediaman ini adalah harta awam dan kami tidak berniat untuk terus tinggal di sini.
“Bagaimanapun, berdasarkan nasihat peguam, kami percaya kediaman ini melambangkan kerajaan pakatan rakyat adalah kerajaan negeri yang sah.”
Kenyataan Nga itu mungkin disebabkan beliau berasa malu terhadap tindakan mereka yang berkeras mahu ‘menghakmilikkan’ harta awam itu serta membuat mesyuarat exco ‘haram’ tetapi apakan daya sudah terlajak mendayung.
‘Keakuran’ untuk keluar daripada kediaman tersebut, mungkin juga atas nasihat peguam mereka di mana mereka boleh didakwa kerana menyalahguna harta awam.
Begitu juga, di sebalik tiada isu yang menampakkan kelemahan kerajaan BN Perak, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, tidak semena-mena membuat tuduhan yang paling tidak berasas apabila mendakwa empat kekosongan jawatan exco sebelum ini adalah sebagai habuan kepada mana-mana Adun pembangkang menyertai BN.
“Mungkin kalau masuk (BN), boleh ditawarkan jawatan itu, kalau tidak kenapa tidak dipenuhi semua jawatan itu, saya rasa itu tidak bertanggungjawab,” katanya.
Dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak lebih hanyalah memalukan diri sendiri kerana sering berprasangka buruk.
Kekosongan empat tempat itu hanyalah sementara bagi memilih individu yang benar-benar berkelayakan memandangkan daripada 31 kerusi, hanya satu sahaja wakil daripada MCA dan ketiadaan wakil MIC.
Maka, tindakan MB melantik penasihat bertaraf exco daripada parti Gerakan dan MIC dilihat sebagai tindakan yang adil kerana menampakkan semangat perpaduan yang tinggi di dalam BN dan semua komponen BN diberi peluang dan mewakili pelbagai kaum.
Ini secara jelas BN amat menitikberatkan dan memberi perhatian kepada kepentingan semua kaum.
Kata-kata Guan Eng umpama mengenai batang hidung sendiri, seperti amalan pakatan pembangkang, kalau lompat parti jadi exco contohnya; V.Arumugam yang dari Bebas ke PKR langsung dilantik sebagai exco tetapi kini meletakkan jawatan sebagai Adun Bukit Selambam, menghilangkan diri, tidak lain dan tidak bukan hanya untuk melakukan pembaziran wang rakyat!
16 February 2009
Setelah Kehilangan Kuasa, DAP Semakin Tak Keruan!
at 7:47 AM Posted by localhost
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment