Saya terpanggil untuk menulis surat terbuka ini kepada Datuk Seri berdasarkan isu-isu terkini yang PKR hadapi sejak akhir-akhir ini. Sebelum itu masih belum terlambat saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri kerana berjaya memenangi kerusi Parlimen Permatang pada Ogos 2008. Bukan mudah untuk membuat "comeback" dalam politik lebih-lebih lagi setelah Datuk Seri pernah dipenjarakan buat seketika waktu dahulu. Saya juga berharap Datuk Seri berjaya mengharungi perbicaraan kes liwat yang bakal didengar tak lama lagi. Datuk Seri juga tidak perlu risau dan takut dengan azab api neraka yang dihukumkan kepada mereka yang melakukan hubungan kelamin di luar tabii jika Datuk Seri tidak bersalah.
Berdasarkan senario kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang secara rasminya pada hari ini, saya amat berharap Datuk Seri dapat menerima hakikat yang PKR adalah satu parti yang paling lemah berbanding dengan PAS & DAP, bukan sahaja di Perak malah kesemua negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat secara khususnya. Kini disebabkan PKR, kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah pula dalam situasi berjaga-jaga dengan usaha mengadakan sidang tergempar yang dihadiri oleh kesemua ADUN dan Ahli Parlimen Kedah semalam. Datuk Seri perlu mengakui yang PKR sekarang ini adalah satu liabiliti kepada PAS dan DAP.
Ramai yang semakin sedar bahawa PRK adalah parti "one man show". Lebih-lebih lagi jika tanpa Datuk Seri, PKR akan menjadi sebuah parti yang hidup segan mati tak mahu. Rata-rata penyokong PKR adalah penyokong kepada sentimen peribadi Datuk Seri sendiri sebagai "symbolic leader". Saya lihat kecenderungan Datuk Seri untuk menjadi Perdana Menteri menjadi objektif utama walhal usaha yang sepatutnya Datuk Seri usahakan iaitu menumpukan kepada kemantapkan kekuatan PKR. PKR sekarang terlampau bergantung kepada kekuatan PAS dan DAP.
Bayangkan jika sokongan dari PAS dan DAP tiada, PKR mungkin tinggal nama. Saya tidak pasti sama ada Datuk Seri sedar atau tidak bahawa, sokongan PAS dan DAP selama ini adalah semata-mata memanipulasi keupayaan Datuk Seri sebagai seorang pemimpin yang bijak bermain politik dan kata-kata. Mungkin ini adalah satu perjanjian "you scratch my back and i`ll scratch yours" diantara Datuk Seri dengan PAS dan PKR tetapi sampai bila? Apakah kesinambungan perjanjian ini dapat diteruskan jika suatu hari nanti Datuk Seri mengundur diri dari bidang Politik?
Faktor kejatuhan kerajaan Negeri Perak sememangnya adalah disebabkan parti PKR sendiri dan keupayaan Datuk Seri untuk mengawal ADUN-ADUN PKR. Ini menguatkan lagi kenyataan awal saya yang mengatakan PKR sudah menjadi satu liabiliti kepada Pakatan Rakyat. Kesilapan terbesar Datuk Seri adalah sikap yang terlampau yakin dengan pengambilalihan kuasa Kerajaan Persekutuan yang pada awalnya dijadualkan pada 16 Sept 2008. Kemudiannya ditunda kepada suatu tarikh sebelum Hari Raya Aidiladha 2008. Kesemuanya gagal dikotakan. Kesemua "dateline" Datuk Seri ini, bukan sahaja menipu rakyat dan penyokong PKR tetapi tidak membantu sama sekali cabaran ekonomi yang Malaysia hadapi pada tahun ini? Ketidak tentuan yang Datuk Seri timbulkan ini bukan sahaja tidak tidak membantu malah menidakkan usaha-usaha semua pihak untuk memantapkan persediaan menghadapi situasi kemerosotan ekonomi global.
Saya rasa Datuk Seri jauh lebih arif dengan terma "balance of power" dalam institusi Kerajaan. Sepatutnya Datuk Seri sebagai pemimpin pembangkang Pakatan Rakyat di Parlimen dapat mengepalai usaha ini, tetapi niat untuk menjadi PM adalah jauh menjadi agenda utama Datuk Seri. Ini tidak membantu sama sekali usaha menguatkan Malaysia secara amnya. Mungkin ADUN Changkat Jering dan ADUN Behrang adalah diantara pemimpin PKR yang sudah muak dengan objektif dan halatuju PKR dan mungkin dengan Datuk Seri sendiri. Tambahan pula usaha Datuk Seri yang terlebih dahulu menghalalkan usaha pembelian MP BN terutama selepas PRU12 Mac 2008. Bersabarlah Datuk Seri, usaha pengambilalihan kuasa Kerajaan Persekutuan sepatutnya dibuat pada PRU13 , dapatkan dahulu mandat dari rakyat, bukannya dengan cara-cara ( antaranya satu, dua, tiga dan empat ) yang Datuk Seri cuba lakukan di Sarawak dan Sabah.
Sebelum saya akhiri surat terbuka saya ini, ingin saya tekankan bahawa kemampuan Pakatan Rakyat sekarang ini banyak bergantung kepada usaha dan sokongan yang tidak putus-putus datang dari PAS dan DAP. Pakatan Rakyat menerima Datuk Seri dan PKR dengan hati yang terbuka, tetapi tidak mustahil kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan menjadi titik tolak kesedaran PAS dan DAP bahawa PKR dan Datuk Seri adalah satu liability yang teramat besar.
Sekian
Seorang Rakyat Marhaen
06 February 2009
Surat Terbuka Untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim
at 11:09 AM Posted by localhost
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment