04 October 2007

Naib Canselor UKM tawar kenalan jadi Prof bergaji RM168,000 sebulan

Berdasarkan lamanweb harakahdaily pada Khamis 4 Oktober 2007.
Berita Penuh


BANGI, 4 Okt (Hrkh) - Belum reda kontroversi pelantikan Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dr Saran Kaur a/p Delio Singh, dari Pusat Bahasa dan Linguistik, mulai 1 September lalu, yang tidak dibuat secara telus dan terbuka mengikut tatacara dan prosedur Kementerian Pengajian Tinggi, kini Universiti Kebangsaan Malaysia gempar lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Naib Canselor UKM, Prof Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, telah menawarkan jawatan Distinguished Profesor kepada Prof Dr Tan Hock Lim, seorang rakyat Malaysia, Profesor Paediatric Surgery, Universiti Adelaide, Australia dengan bayaran perkhidmatan RM8,064,000 selama 48 bulan, iaitu sebanyak RM168,000 sebulan.

Dr Tan juga akan diberikan dua permit import (AP) kereta bagi kegunaan peribadinya nanti. Ramai bertanya, "mengapa perlu sehingga dua AP?" Dr Tan kini menjadi profesor pelawat UKM dengan elaun RM4,000 sebulan, manakala kontraknya dengan Universiti Adelaide telahpun berakhir.

2 permit AP tersebut boleh digunakan untuk 2 kenderaan; 1 kenderaan rasmi dan satu lagi untuk kegunaan keluarga. Tambahan pula Profesor Pelawat & Distinguished Professor mempunyai perbezaan yang amat ketara terutama dari aspek tanggungjawab.

Difahamkan kebanyakan warga UKM, khususnya para pensyarah kanan, terutama di Fakulti Perubatan meragui kemampuan Dr Tan untuk memenuhi tanggungjawab menubuhkan Advanced Surgical Skills Center di Hospital UKM sehingga beliau diberi ganjaran yang begitu besar.

Mereka beranggapan, risiko kegagalan untuk mencapai target melalui kemasukan Dr Tan ke UKM cukup tinggi sedangkan RM8 wang rakyat telah dibelanjakan.

Peliknya, Dr Tan tidak pernah memohon jawatan berkenaan, sebaliknya Dr Sharifah Hapsah sendiri yang menawarkan kepada beliau, dan ini bercanggah dengan prosedur. Ia juga tidak dibawa ke dalam mesyuarat pengurusan universiti, badan yang mesti dirujuk sebelum keputusan-keputusan penting seperti berkaitan perlantikan jawatan strategik dan dasar universiti diputuskan.

Distinguished Professor bukan lah calang-calang jawatan. Kebanyakan Universiti di dunia hanya menganugerahkan (bukan melalui permohonan jawatan ) jawatan ini kepada mereka yang telah terbukti sumbanganya dan diiktiraf di dalam bidang masing-masing

"Kami bukan mahu memperkecilkan Dr Tan tetapi selama ini tidak pula kita dengar kehebatannya yang luar biasa sehingga perlu dibayar sebanyak itu," ujar seorang kakitangan senior UKM. "Dengan RM8 juta kita boleh lahirkan sehingga sembilan orang pakar bedah. Lagi pun beliau kini sedia berkhidmat dengan gaji RM4,000 sebulan, jadi apa perlu ditawar sesuatu yang tidak berbaloi dengan wang yang akan dibelanjakan?"

Buat pengetahuan saudara jumlah gaji yang diterima seorang doktor biasa kerajaan adalah sebanyak RM 4118.00. Prof Dr Tan Hock Lim pula diberi tanggungjawab untuk menubuhkan Advanced Surgical Skills Center yang bakal menjana pendapatan yang berlipat kali ganda sebagai promosi Health Tourism.

Sila ambil contoh seperti laporan oleh Birmingham College with Gujarat Samachar & Asian Voice ketika menganjurkan Medical Tourism Expo 2007 di Olympia Exhibition Centre, Hammersmith Road, West Kensington, London. Dianggarkan 100,000 rakyat Malaysia telah menjadi pelancong perubatan ke India dan dianggarkan nilai industri ini adalah USD140 Juta.

Medical Tourism Report

Malah Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dato' Dr. Lokman Saim hanya dimaklumkan mengenai kes Dr Tan ini oleh Naib Canselor melalui SMS sahaja. Justeru, dalam satu mesyuarat fakulti berkenaan, ahli-ahli mesyuarat merakamkan rasa tidak puas hati mereka dengan tindakan Dr Sharifah Hapsah yang mengetepikan segala ketetapan asas yang wajib dipatuhi. Pakar-pakar bedah tempatan turut terasa demoralise.

Kini Dr Tan sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan sebelum berkhidmat walaupun mengikut perjanjian beliau sepatutnya bertugas bermula dari 1 September 2007 sehingga 31 Ogos 2011. Khabarnya pihak Perbendaharaan sendiri mencurigai keupayaan Dr Tan untuk merealisasikan objektif UKM itu.

Rungutan terhadap stail pentadbiran Dr Sharifah Hapsah, yang dilihat hanya ghairah dengan perkara remeh-temeh dan bersifat luaran khususnya aspek keceriaan universiti, selain kecenderungannya untuk melantik staf wanita ke jawatan kanan walaupun tanpa memenuhi kriteria, hangat dibincangkan kakitangan UKM.

Apakah wanita tidak layak untuk jawatan kanan di Universiti atau dimana sahaja? Kenapa tidak pula dijadikan isu jika majikan lebih suka melantik lelaki untuk memenuhi jawatan kanan di organisasi tertentu.

Menurut sumber, kes Dr Tan hanya satu daripada banyak kes lain. Dr Sharifah Hapsah dikatakan begitu teruja untuk meningkatkan ranking UKM sehingga sanggup membelanjakan ratusan ringgit membeli iklan dalam sebuah akhbar di London, 31 Ogos lalu. Kini tumpuannya ialah meletakkan UKM di tangga lebih tinggi dalam Times Higher Education Supplement, walaupun melalui publisiti murahan.

UKM menduduki tangga 175 dalam THES World University Ranking tahun 2006 dan tangga 56 dalam THES Ranking 2006 dalam bidang Perubatan dan Kesihatan, di samping menduduki tangga 62 dalam THES Ranking 2006 dalam bidang Sains.

"Saya perhatikan satu bentuk pentadbiran cara feudal sedang berlaku di UKM. Apa yang Naib Canselor mahukan mesti dapat walaupun ia bercanggah dengan prosedur," luahan hati seorang bekas pensyarah. "Jika ini berterusan, hasrat UKM untuk menjadi sebuah universiti penyelidikan tersohor dan universiti Apex bukan saja tidak kesampaian, malah tinggal mimpi."

Menurut satu laporan, ASSC yang akan ditubuhkan oleh Dr Tan nanti merupakan satu strategi untuk meningkatkan Hospital UKM sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan perubatan, latihan dan perkhidmatan pembedahan bertaraf dunia yang akan menerima pelatih dan pesakit dari luar negara. ASSC diharap bukan sahaja meningkatkan nama baik UKM bahkan membawa faedah ekonomi kepada negara melalui health tourisme.

Didalam satu laporan bertajuk “Sector Overview, The Health Industry, In Thailand” oleh Kedutaan Diraja Denmark di Bangkok jelas menunjukkan bahawa health tourism adalah suatu industri yang amat besar untuk menjana pendapatan negara. Kerajaan Thailand telah mengunjurkan pertambahan dari angaran RM 1.9 bilion pendapatan dari perkhidmatan kesihatan sahaja pada tahun 2003 kepada RM 8.6 bilion pendapatan pada tahun 2010. Laporan ini ada juga menyebut mengenai peluang-peluang perniagaan yang amat cerah untuk pelabur-pelabur Denmark untuk melabur dalam sektor ini.

Sector Overview, The Health Industry, In Thailand

Bayangkan, bukan sahaja aliran tunai keluar dapat dikurangkan malah Negara akan mendapat pulangan yang berlipat kali ganda hasil daril penjanaan pendapatan yang lumayan dalam sektor ini.

No comments: