09 May 2008

Jangan ambil mudah ancaman Anwar: Dr M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak mengambil mudah ancaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai ura-ura Pakatan Rakyat akan membentuk Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat.

“Saya fikir ia berkemungkinan dan perkara ini tidak boleh dipandang mudah. Sekarang ini, ahli politik yang terlibat lebih berminat dengan berapa banyak yang mereka peroleh. Sebenarnya mereka (ahli politik) tidak berminat untuk berkhidmat kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama mengenai Kedaulatan Negara di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini semalam.

Menurut Dr Mahathir, ahli politik yang merasa terpinggir atau apa yang mereka kehendaki tidak diperolehi, tidak mustahil timbul keinginan untuk mereka lompat parti terutama apabila kurang kesetiaan pada parti.

“Naluri saya kuat mengatakan begitu, ia benar-benar boleh berlaku. Saya pada mulanya menolak dakwaan kemungkinan ini, tetapi setelah saya kaji keadaan ini semula saya rasa wujud satu ancaman besar.

“Sudah tentu jika kerajaan sekarang hilang kuasanya, ia tidak mempunyai kedudukan untuk mengagihkan pelbagai faedah kerana pada ketika itu mereka (kerajaan) sudah tidak mempunyai sebarang pengaruh lagi,” katanya.

Selain itu, Tun Dr Mahathir turut ditanya mengenai sama ada pihak pembangkang akan berjaya mendapatkan 30 Ahli Parlimen tersebut, beliau memberi contoh negeri Sabah dan Sarawak.

“Kita ambil contoh UMNO, MCA dan MIC, pusatnya terletak di Semenanjung bukan di Sabah dan Sarawak. Walaupun di Sabah terdapat UMNO, ia dipindahkan ke sini ke sana dan mereka sebelum ini adalah sebuah parti kecil.

“Jadi dapatkah kita semua pasti yang mereka ini akan kekal setia kepada UMNO? Saya tidak berasa begitu,” jelasnya.

Tambahnya, di Semenanjung terdapat juga sebarang kemungkinan Ahli Parlimen yang akan melakukan perkara ini (lompat parti) kerana mereka tahu mereka akan berada dalam pucuk pimpinan kerajaan baru iaitu kerajaan pembangkang.

“Tindakan mereka melompat parti tidak akan timbul jika BN menang dengan memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen dan jika terdapat Ahli Parlimen lompat parti, mereka ini tidak akan mendapat sebarang faedah kerana berada dalam kumpulan pembangkang.

“Tetapi jika mereka lompat parti dan menyertai kelompok kerajaan pembangkang, mereka tidak akan rugi apa-apa malah mereka boleh buat duit,” katanya.

Beliau merasakan Pakatan Rakyat merupakan satu kuasa yang perlu di ambil berat, bukan kerana ia sebuah pakatan yang kuat atau rakyat menyukai pembangkang tetapi kerana perasaan kecewa rakyat.

“Lihat pada pilihan raya umum lepas, pengundi dan penyokong BN mengundi pembangkang kerana mereka mahu memberi mesej kepada BN, tetapi nampaknya mesej ini tidak diterima dengan baik.

“Jika kerajaan pembangkang dapat menunjukkan sebuah pentadbiran yang baik, prihatin kepada rakyat, tidak tamak, tidak rasuah tidak mustahil pada pilihan raya umum akan datang, rakyat akan terus mengundi pembangkang,” katanya yang kini berusia 83 tahun.

Tun Mahathir turut menyatakan perkara yang paling dibimbanginya ialah apabila perkara lompat parti ini berlaku, negara akan mengalami konflik.

“Lihat sahaja tindak balas daripada kaum Melayu contohnya, mereka menyenaraikan pelbagai desakan sebagaimana maklum balas daripada desakan yang dibuat pihak lain. Mereka berasakan dengan mengabaikan demokrasi, mereka patut kembali kepada corak kerajaan feudal.

“Ada cakap-cakap di kalangan mereka ini, saya juga tidak mengetahui seserius mana perkara ini tetapi daripada apa yang mereka katakan, ia amat merisaukan,” ujarnya.

Tun Mahathir turut ditanya adakah kemungkinan wujudnya sistem pemerintahan anarki di negara ini, beliau menjawab, “Mungkin akan wujud tetapi bukan sebuah anarki yang unggul dan kemudian akan wujud pula ketidakstabilan kerana kerajaan yang memerintah tidak memberi tumpuan dalam kemajuan negara.”

Daripada jumlah 222 Ahli Parlimen sekarang, 140 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat terdiri daripada wakil BN, manakala 82 orang terdiri daripada parti Pakatan Rakyat.

Dipetik dari Sinar Harian Online

2 comments:

ashraf haikal affendi said...

Tun M bagi amaran dah, dan tentunya kita nak perbaiki segala kelemahan serta hapuskan semua keburukan kita dalam PRU 12 lalu bukan hanya kerana Anwar Ibrahim tetapi ia adalah keinginan dari kita sendiri yang mahukan kekuhan dan kebaikan berterusan. Kita mahu UMNO lebih kukuh dan teguh dan majoriti rakyat sendiri menyokong BN, bukan hanya kerana Anwar Ibrahim atau PKR waima PAS sekalipun

cicakmankampung said...

Keputusan PRU 12 lalu perlu dijadikan sebagai teladan agar tak berulang dalam PRU13 akan datang dan yang paling penting perpaduan serta kepercayaan dikembalikan.
Bukan hanya sekadar cakap kosong atau saling menunding jari sebaliknya perbaiki kesilapan dengan pemimpin dan rakyat bersikap terbuka saling memberi dan menerima. Pandangan dan suara semua pihak perlu diambil kira. Bukan hanya untuk kepentingan diri atau peribadi sendiri sebaliknya untuk masa hadapan bangsa, agama dan negara.

Apa yang perlu kita perbaiki sewajarnya segera dilakukan kerana kelemahan kita akan menyumbang kepada kekuatan lawan. Ingatlah bahawa kemenangan Parti Pakatan Rakyat dalam PRU12 lalu bukan kerana mereka benar-benar kuat atau benar-benar mampu berkuasa tetapi mereka menggunakan peluang atas kelalaian UMNO/BN/Kerajaan yang seolah-olah seronok dengan nikmat dan kuasa yang ada tanpa mengambil kira pandangan semua pihak.