15 May 2008

Siti Fatimah dibenar meninggalkan Islam!

Baru siang tadi ahli Parlimen Baling yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Taib Azamuddin di dalam ucapan menjunjung kasihnya terhadap titah SPB Yang Dipertuan Agong di Parlimen, telah mencadangkan agar kedudukan Islam dalam kerajaan diperkukuhkan. Islam bukan lagi perlu diurus oleh jabatan tetapi perlu ada sebuah kementerian untuk mengurus hal ehwal Islam ini.

Belum pun cadangan itu dijawab atau dipertimbangkan, siang tadi juga, Mahkamah Syariah Pulau Pinang telah mengizinkan permohonan murtad seorang pemohon bernama Siti Fatimah Tan Abdullah untuk kembali ke agama asalnya, Buddha. Siti Fatimah ini telah memeluk Islam pada tahun 1998. Pada tahun 1999 beliau telah berkahwin dengan seorang lelaki Iran, Ferdoun Ashanian. Lelaki yang tidak bertanggungjawab ini dilaporkan telah meninggalkan Siti mengakibatkan beliau memohon untuk kembali ke agama asalnya. Walaupun telah memeluk Islam sejak 1998 Siti mendakwa tujuannya memeluk Islam semata-mata kerana mahu berkahwin dengan Ferdoun.

Oleh kerana ketiadaan undang-undang, maka terbuktilah sesiapa sahaja boleh masuk dan keluar Islam sesuka hatinya di Malaysia! Atas dasar nafsu (saya tidak setuju konon adanya kasih sayang) Islam dipergunakan, diperalatkan, dan apabila telah hilang nafsu, Islam dicampak ketepi begitu sahaja.

Mana silap kita?

Umat Islam perlu ambil serius perkara ini. Desakkan perlu dibuat terhadap kerajaan agar menggubal suatu undang-undang murtad. Siapa sahaja yang memeluk Islam atas tujuan perkahwinan perlu ditapis, diberi kaunseling sebelum diluluskan. Tiada gunanya apabila telah berlaku masalah baru mahu di kaunseling kan. Mana-mana lelaki atau wanita yang akibatnya seseorang lelaki atau wanita lain itu memeluk Islam dan kemudiannya atas sebab hubungan mereka memilih untuk meninggalkan Islam, maka yang si lelaki atau wanita yang Islam (asal) itu perlu memikul beban pertanggungjawaban.

Lihatlah dalam kes ini, betapa seorang warga Iran yang entah apa mazhabnya itu boleh menjatuhkan maruah Islam dalam negara kita, lalu dengan senang hati berlepas diri bebas tanpa tanggungjawab!

Dalam hal ini simurtad tidak boleh disalahkan, si hakim pun begitu, yang silap adalah kita yang memberi kuasa dan kerajaan yang mentadbir urusan agama. Tidak kiralah siapa kita atau apa fahaman politik kita, asal sahaja Islam, pandanglah serius isu ini. Cukuplah satu murtad sebegini, peliharalah maruah agama kita dari dipermain dan dipandang hina oleh puak lain angkara kelemahan kita.

Dipetik dari Blog Roslan SMS

Komen;

Isu murtad ini perlukan commitment dari semua pihak, tak boleh hanya salahkan kerajaan. Contoh dalam kes Siti Fatimah, selain follow up yang berterusan dari pihak yang berwajib terhadap hal ehwal agama saudara baru kita, masyarakat setempat juga perlu lebih proaktif, terutama jiran tetangga, para qariah surau atau masjid, jangan lah masih dengan sikap kebanyakan kita di bandar yang hanya "jaga tepi kain sendiri".

Dalam hal yang membabitkan aqidah seperti ini, batasan politik seharusnya tiada kerana kita harus sedar permasalahan ummah adalah tanggungjawab kita bersama sebagai muslim.

1 comment:

gilerpolitik said...

Tanggungjawab terhadap agama Islam ini bukanlah terletak pada tangan orang politik semata-mata... cubalah jangan politikkan hal sebegini... Semua orang tahu hal berkaitan agama tidak boleh dijadikan sebagai bahan cerita. Sememangnya hal berkaitan Siti Fatimah memang amat menyedihkan dan perkara ini perlu dijadikan sebagai satu pengajaran kepada seluruh umat Islam. Kenyataan dia memeluk islam hanya kerana mahu berkahwin juga amat memalukan apatah lagi kegagalan untuk menyelami indahnya Islam. Nauzubillah