12 February 2009

'Campur tangan Tuhan' di Perak

Pada minggu ketiga Jun 2008, penulis dijemput menghadiri majlis jamuan makan mesra anjuran sebuah kelab Melayu di Perak. Jamuan tersebut diadakan di sebuah kelab golf, kira-kira setengah jam perjalanan dari Ipoh. Padang golf di atas tapak bekas lombong bijih timah itu menawarkan suasana yang cukup memukau.

Tetamu khas yang dijemput menyampaikan ucaptama pada malam itu ialah Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, jurutera yang ketika itu baru tiga bulan setengah menduduki kerusi Menteri Besar Perak.

Itulah kali pertama penulis mendengar Nizar berucap di khalayak ramai. Beliau kelihatan bersungguh-sungguh untuk cuba mendapatkan keyakinan ahli-ahli kelab. Ia bukan sebarang kelab.

Ahli-ahlinya terdiri daripada golongan atasan dan menengah Melayu Perak. Walaupun ahlinya tidak ramai, kelab itu cukup berpengaruh dan sudah menabur bakti sejak awal 1970-an.

Nizar cuba menarik perhatian audiens dengan memulakan ucapan dalam bahasa Mandarin sebelum beralih ke Tamil. Penulis nampak ada semacam kejanggalan dengan sikapnya itu.

Semua hadirin adalah orang Melayu. Beliau seperti tidak arif menggunakan pengetahuan dan kefasihannya mengikut situasi dan konteks.

Seterusnya beliau merungut, kerana menurutnya kebanyakan orang Melayu Perak tidak meraikan kemenangannya dan tidak mengalu-alukan penubuhan kerajaan campuran DAP-PKR-Pas. Beliau menyatakan kekecewaan dengan situasi itu.

Rakan di sebelah penulis bagaimanapun berbisik: "Menteri Besar ini asyik gunakan modal dan retorik yang sama sejak beliau naik. Bagaimana saya boleh meraikannya jika yang menang bukan Melayu dan beliau pula dibayangi oleh orang lain?" Penulis hanya mampu berdiam diri kerana tidak boleh memberi komen terlalu awal.

Menteri Besar itu seterusnya mengucapkan beberapa potong ayat al-Quran dan memberikan tafsirannya. Penulis ketika itu mula berasa seperti berada di kuliah subuh dan terfikir adakah Nizar sedang mempromosi imej 3 dalam 1: "politikus, intelektual dan agamawan"?

Beliau turut menghujahkan dengan panjang lebar bahawa kerajaan campuran di Perak adalah hasil Divine Intervention (campur tangan Tuhan). Ia hasil kegagalan kerajaan terdahulu.

Istilah itu disentuh dan ditekankan beberapa kali. Agaknya beliau mahu mewajarkan pelantikannya dan pada masa yang sama mahu memberikan nilai dan sentuhan keagamaan.

Namun agak menghairankan kenapa beliau tidak mengaitkan semua itu dengan takdir. Istilah itu lebih mudah difahami memandangkan semua audiens yang hadir adalah Melayu dan beragama Islam.

Islam menuntut penganutnya beriman dengan takdir, seperti firman-Nya dalam surah al-Qamar, ayat 49. "Sesungguhnya Kami telah menjadikan setiap sesuatu dengan ukuran."

Penulis akhirnya membuat andaian, Nizar mungkin memilih istilah itu kerana ia lebih mudah difahami oleh rakan-rakan kongsinya dalam kerajaan campuran. Kepercayaan dan ideologi parti-parti di dalam pakatan itu bukankah sangat berbeza?

Sewaktu sesi soal jawab, seorang ahli perniagaan yang juga bekas pegawai kanan kerajaan membangkitkan isu tanah. Katanya, beliau mendengar ada desas-desus bahawa hak milik kekal akan diberikan kepada penduduk di kampung-kampung baru Cina.

Menurut bekas Pegawai Daerah itu, isu tersebut amat sensitif. Ia akan merubah landskap pemilikan hartanah di Perak secara drastik. Usahawan itu melengkapkan soalan mengenai isu tersebut dengan fakta-fakta yang meyakinkan.

"Semua masih di peringkat kajian. Kita akan mendapatkan pandangan perundangan daripada pihak-pihak tertentu," jawab Nizar kepada soalan itu.

Ketika itu, audiens telah tahu bahawa pihak perundangan Perak telah menasihatkan kerajaan negeri mengenai isu tanah tersebut.

Jadi, siapakah "pihak-pihak tertentu" yang dimaksudkan oleh Nizar? Semua yang hadir kebingungan.

Malam itu, ketika memandu pulang selama tiga jam ke Kuala Lumpur, ada puisi menjelma di benak penulis. Semuanya berkisar tentang kedatangan seorang pemimpin yang bijak tetapi angkuh, dan akhirnya dia tidak dipedulikan.

Apakah ia adalah firasat bahawa pemimpin yang baru saya temui tidak akan bertahan lama?

Kesan magis retorik hanya mampu bertahan buat seketika. Politik memerlukan lebih daripada itu. Penulis namakan sajak itu Merah Derita Senja Ketika Tiba Wira. Sajak itu tersiar dalam Dewan Sastera, Ogos 2008.

Merah Derita Senja Ketika Tiba Wira

(Buat mnj)

Merah derita senja disapa kelam begitulah.

Rimbun mempadang pun lestarikan

Sandiwara pawana yang panjang.

Sebentar akan datang malam

membawakan wira berbakat besar.

Berlakonlah sang mandala putera

pentas ini terbuka selamanya

sayang seri panggung sudah lama beradu.

Menyanyilah bertandaklah selagi mampu

lampu limpah mengerlipkan lantari hijaumu.

Tanpa serunai biola kecapi tifa dan tambur rucah

langkah dan lenggang siapa pun mati terkunci.

Merah derita senja terbenam di perut malam ketika tiba wira di pentas terbuka milik kita.

Clearwater Sanctuary BATU Gajah, Perak

Ahli politik memang sukar membebaskan diri sepenuhnya daripada kepungan paradoks 'pemimpin politik' dan 'pengamal politik' seperti juga kesulitan sasterawan membezakan antara 'membaca' dan 'menulis'.

Namun penyelesaian yang seratus peratus non-paradoks juga sukar ditemui. Lalu iman, rasional dan akal budi yang sering menjadi benteng penyelamat.

Genap tujuh bulan setengah selepas makan malam itu 'campur tangan Tuhan' yang disebut-sebut oleh Nizar berlaku lagi di Perak. Cuma bezanya ia tidak menyebelahi kerajaan campuran.

Namun Nizar ingkar dengan takdir itu. Beliau juga enggan menerima apa yang menimpa dirinya dan kerajaan campuran sebagai "qada dan qadar".

Kini, berdasarkan perkembangan semasa di Perak, penulis ini menyoal bekas Menteri Besar itu adakah insiden yang menimpa kerajaan campuran di Perak pada 4 Februari lalu merupakan 'campur tangan Tuhan'? Perkataan itu sebenarnya tidak dikhususkan untuk menyebelahi kerajaan campuran pembangkang sahaja.

Ia juga boleh mengangkat martabat Barisan Nasional. Bukankah Allah telah mengukur setiap kejadian-Nya?

Bijak mengumpul pengikut di jalanan tidak semestinya bijak mentadbir. Yang jelas, budaya demonstrasi jalanan sudah menular ke pentadbiran negeri.

Nizar juga rupanya sudah lupa sopan santun dan seni berbahasa. Beliau mengatakan Sultan Azlan Shah "memohon supaya saya meletakkan jawatan".

Adakah beliau tidak faham yang Sultan sebenarnya telah menitahkan beliau meletak jawatan atau dalam kata lain, "letak jawatan sekarang".

Sementara itu, sentimen ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap institusi kesultanan Melayu juga jelas. Beliau mengarahkan Nizar meneruskan tugas sebagai "Menteri Besar".

Beliau menegaskan "mahkamah rakyat" adalah gelanggang sebenar untuk menguji sokongan dan mencari kepastian. Penulis setuju. Namun kita perlu menunggu.

Mahkamah rakyat akan bersidang empat tahun dari sekarang. Penulis setuju dengan pandangan Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap Anwar.

Malim Ghozali PK ialah penulis karya kreatif dan esei akademik serta isu-isu semasa

Oleh MALIM GHOZALI PK, Dipetik dari Utusan Malaysia

1 comment:

afrohead said...

aku pun baca jugak dalam utusan tadi..
nizar ni cakap je pandai.
tapi kemudian dia yang lupa kuasa Tuhan.
lupa qada' dan qadar...