16 February 2007

Pas membazirkan peluang keemasan

Oleh True Muslim

Pas masih keliru mengenai asal usul banyak perkara yang mereka anggap sebahagian daripada budaya Arab tetapi sebenarnya berasal daripada budaya yahudi dan Kitab Bible. Contohnya Nasharudin Mat Isa selalu memakai kopiah putihnya. Kopiah putih adalah ciptaan budaya dan agama Yahudi yang disebut ‘kippah’ dalam bahasa Ibrani (Hebrew). Perkataan kopiah (atau kepiah di negeri Kedah) diambil daripada perkataan Yahudi ‘kippah’ ini.

Rujukan : http://library.thinkquest.org/C004351F/skull_cap.htm Ustaz Hadi pula dengan gaya jubah dan serban kelihatan seperti Arab ciplak yang telah sesat di hutan belantara tanah Melayu. Jubah dan serban sebagai pakaian orang alim (paderi atau imam) diambil daripada ajaran Kitab Bible juga, seperti berikut :

Kitab Bible, Exodus (Keluaran) Bab 28 : 3 – 4 :28 : 3–4 -

“Haruslah engkau mengatakan kepada semua orang yang ahli, yang telah Kupenuhi dengan roh keahlian, membuat pakaian Harun, untuk menguduskan dia, supaya dipegangnya jabatan imam (paderi) bagi-Ku. Inilah pakaian yang harus dibuat mereka: tutup dada, baju efod, jubah (gamis), kemeja yang ada raginya, serban dan ikat pinggang. Demikianlah mereka harus membuat pakaian kudus bagi Harun, abangmu, dan bagi anak-anaknya, supaya ia memegang jabatan imam (paderi) bagi-Ku.”

Rujuk : http://bibledbdata.org/onlinebibles/indonesian_tb/02_028.htm
Maka amalan memakai jubah (baju gamis) dan serban oleh Ustaz Hadi untuk menonjolkan beliau seorang ‘ulamak’ adalah mengikut ajaran Kitab Bible juga.

Jelas bahawa Pas perbesarkan perkara remeh yang sebenarnya termaktub dalam Kitab Bible dan tidak menjadi ajaran Al Quran, kitab agung bagi orang Islam. Begitu juga sekarang Pas perbesarkan isu remeh Valentine’s Day sebagai boleh menjejaskan akidah. Oleh kerana barisan pimpinan Pas dihuni kaum totok dan bukan daripada kaum terpelajar maka Pas tidak mempunyai pilihan melainkan memperjuangkan perkara remeh yang sebenarnya datang daripada Kitab Bible.

Kita tidak perlu khuatir sangat mengenai Valentine’s Day – ia cuma hiburan sahaja bagi orang muda dan Perdana Menteri yang sedang bercinta. Tetapi apakah maksud akidah? Perkataan ‘al akidah’ pun tidak terjumpa dalam Al Quran. Perkataan ‘al aqadat’ di Surah Nisaa ayat 33 merujuk kepada ‘perjanjian’ atau akad. Begitu juga ‘aqadtum’ di Surah al Maidah, ayat 89 dan Surah An Nahl, ayat 91 merujuk kepada ‘sumpah janji’. Perkataan ‘uqdah’ di Surah Baqarah, ayat 235 merujuk kepada akad atau perjanjian kahwin.

Selain daripada kalimah seperti ini, langsung tidak terjumpa perkataan ‘al akidah’ dalam Al Quran yang membawa pengertian ‘kepercayaan manusia’. Sekali lagi maksud perkataan akidah yang merujuk kepada ‘kepercayaan agama’ adalah konsep yahudi Ibrani (Hebrew) yang dipetik daripada Kitab Bible Ibrani (Hebrew Bible). Contohnya sila rujuk Kitab Bible, Genesis atau ‘Kejadian’ bab 22 ayat 9 yang menceritakan mengenai kisah Nabi Ibrahim hendak serahkan anaknya Ishak sebagai korban.

“Sampailah mereka ke tempat yang dikatakan Allah kepadanya. Lalu Abraham mendirikan mezbah di situ, disusunnyalah kayu, diikatnya Ishak, anaknya itu, dan diletakkannya di mezbah itu, di atas kayu api” – Kitab Bible, Genesis (Kejadian) 22:9

Rujukan : http://www.einjil.com/

Kitab Bible bahasa Ibrani (Hebrew) merujuk peristiwa ini sebagai Nabi Ibrahim ‘mengakidahkan’ atau mengikat anaknya Ishak kepada kepercayaannya. (Aqedah: the Hebrew word for ‘binding’, and the common designation for Genesis 22:1 – 19 in which God tests Abraham by commanding that he sacrifice his s on Isaac. Abraham “binds” or ‘aqedah’ Isaac in verse 9. Refer Oxford Companion to the Bible, pg 43).

Begitu juga perjuangan Pas menegakkan tudung atau hijab untuk wanita juga dipetik daripada Kitab Bible. Memakai tudung bukan ajaran Al Quran. Inilah buktinya daripada Kitab Bible :

“Tetapi tiap-tiap perempuan yang berdoa atau bernubuat dengan kepala yang tidak bertudung, menghina kepalanya, sebab ia sama dengan perempuan yang dicukur rambutnya.” - 1 Korintus 11:5

‘Sebab jika perempuan tidak mau menudungi kepalanya, maka haruslah ia juga menggunting rambutnya. Tetapi jika bagi perempuan adalah penghinaan, bahwa rambutnya digunting atau dicukur, maka haruslah ia menudungi kepalanya.’ - 1 Korintus 11:6

“Pertimbangkanlah sendiri: Patutkah perempuan berdoa kepada Allah dengan kepala yang tidak bertudung?” - 1 Korintus 11:13

Maka terlalu banyak perkara yang dipentingkan oleh Pas sebenarnya berasal daripada Kitab Bible atau daripada peradaban kristian orang Barat dan bukannya ajaran Islam.

Satu lagi contoh ialah cadangan Husam Musa Timbalan Menteri Besar Kelantan supaya kita menggunakan matawang dinar emas. Idea ini sebenarnya telah dipelopori oleh Tun Dr Mahathir dari awal lagi tetapi Dr Mahathir lebih focus kepada penggunaan emas sebagai asas untuk menetapkan nilai matawang. Pas perlu faham bahawa seperti juga jubah, kepiah, tudung dan konsep akidah, ‘dinar’ pun adalah ciptaan barat dan Rom. Perkataan dinar berasal daripada perkataan bahasa Rom ‘denarius’ yang telah digunakan selepas tahun 211 Sebelum Masihi (atau 211 BC) di empayar Rom. Perkataan Italy dan Sepanyol denaro dan perkataan Portugis ‘dinheiro’ semuanya berasal daripada perkataan Latin ‘denarius’ ini (http://en.wikipedia.org/wiki/Denarius). Jadi dinar itu bukanlah matawang Islam. Tidak ada benda yang boleh dikenali sebagai matawang Islam seperti juga tidak ada benda yang boleh dikenali sebagai kerusi Islam atau kasut Islam.

Mursyidul Am Pas Nik Aziz Nik Mat pula melambangkan kaum totok Melayu ia itu pengundi simple di kampong, pengundi yang tidak cukup bersekolah dan kaki surau yang suka dengar doa bahasa Arab tanpa memahami apa pun. Malang sekali ramai penyokong Pas termasuk dalam kategori ini.

Tetapi Pas mempunyai dua orang jaguh yang berkaliber dan berpotensi yang boleh dianggap ‘miles apart’ atau jauh berbeza daripada pemimpin Pas yang lain. Dato Husam Musa, Timbalan Menteri Besar Kelantan mempunyai intelek yang tajam dan seorang lagi adalah Dr Dzulkifli Ahmad, Pengarah, Pusat Penyelidekan Strategic PAS yang fasih berbahasa Inggeris dan mempunyai kebolehan memahami dan menganalisa isu yang rumit. Jika kedua pemimpin berwibawa ini diberi peluang menerajui pimpinan Pas, sudah tentu parti itu akan mengalami satu lonjakan besar sewaktu pilihan raya.

Seluruh dunia faham bahawa Kitab Bible tidak diterima pakai lagi oleh majority orang kristian terutama sekali orang Barat. Orang Eropah sebulat suara setuju bahawa Kitab Bible adalah sebuah kitab yang lapuk yang telah mengakibatkan kemunduran Zaman Kegelapan Eropah atau European Dark Ages. Jadi apabila Pas pula cuba memperjuangkan konsep konsep remeh seperti tudung, serban, jubah, akidah dan sebagainya yang berasal dari Kitab Bible itu, maka sudah tentu Pas juga akan menjadi mundur dan terkebelakang. Ini bukan perjuangan Islam. Sebab itu perjuangan Pas akan selalu gagal dan selalu kelihatan remeh atau ‘silly’ pada pandangan majority.

Banyak lagi keghairahan Pas yang dianggap sebagai budaya Arab sebenarnya adalah warisan Kitab Bible. Hukum hudud merejam penzina sampai mati juga adalah diambil dari Kitab Bible dan bukannya ajaran Al Quran. Sila lihat sendiri

Kitab Bible, Deuteronomy 22:22 - “Apabila seseorang kedapatan tidur dengan seorang perempuan yang bersuami, maka haruslah keduanya dibunuh mati: laki-laki yang telah tidur dengan perempuan itu dan perempuan itu juga. Demikianlah harus kauhapuskan yang jahat itu dari antara orang Israel”.

Kitab Bible, Deuteronomy 22:23 – 24 - “Apabila ada seorang gadis yang masih perawan dan yang sudah bertunangan--jika seorang laki-laki bertemu dengan dia di kota dan tidur dengan dia, maka haruslah mereka keduanya kamu bawa ke luar ke pintu gerbang kota dan kamu rejam dengan batu, sehingga mati: gadis itu, karena walaupun di kota, ia tidak berteriak-teriak, dan laki-laki itu, karena ia telah memperkosa isteri sesamanya manusia. Demikianlah harus kauhapuskan yang jahat itu dari tengah-tengahmu”.

Ajaran ini semuanya diambil daripada Kitab Bible dan bukan dari Al Quran. Orang kristian Barat pernah ditimpa dengan bala ‘Zaman Kegelapan’ atau Dark Ages of Europe kerana mereka telah pelopori kepercayaan Bible yang palsu ini. Itulah bala kemurkaan Allah. Sudah tentu Pas akan ditimpa kemurkaan Allah yang sama jika Pas juga menganut kepercayaan Kitab Bible yang aneh ini.

Pemimpin Pas akan menjawab bahawa kepercayaan Pas seperti rejam manusia dengan batu sampai mati, ‘hukum’ hudud, tudung, akidah dan sebagainya adalah ajaran daripada ‘hadith israiliyah’ yang berunsur ajaran Nabi Musa dan sebagainya. Kepercayaan ini adalah tidak benar sama sekali atas sebab yang berikut :

Surah 42:52 - “Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahyu dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al Qur'an itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan dia siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.”

Maka sebelum turunnya Al Quran, Nabi kita tidak tahu apakah itu Al Kitab pun. Maka Nabi tidak boleh tahu Kitab Bible atau ‘hadith israeliyah’ yang berasaskan Kitab Bible itu. Dan dengan lebih jelas lagi, Nabi kita telah memberi amaran kepada kita mengenai Kitab Bible dan sebagainya. Sila lihat sendiri :

Surah 3:100 - “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang yang diberi Al Kitab, niscaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman.”

Nescaya, jika kita mengikuti sebahagian dari orang yang diberi Kitab, mereka akan menyesatkan kita menjadi orang kafir. Kitab yang dimaksudkan di sini termasuk Kitab Bible yang memang sudah wujud semasa zaman Nabi. Jika kita mengikuti Kitab Bible kita akan menjadi orang kafir.

Malangnya dalam keghairahan mereka untuk menganut Kitab Bible, Pas lupa budaya dan tradisi Melayu juga. Ini juga satu sebab besar kenapa Pas kalah di peti undi. Pas menonjolkan amalan ‘kosmetik’ saja yang tidak dapat menarik minat akal yang bijak. Orang Melayu bukan benci Pas tetapi Pas cuba mengumpan mereka dengan perkara remeh yang tidak berguna. Dan perkara remeh ini tidak tersebut dalam Al Quran tetapi dipetik daripada Kitab Bible. Inilah masalah besar bukan saja bagi Pas tetapi bagi semua parti politik berteraskan agama di seluruh pelusuk dunia Islam. Pas dan orang yang sebulu dengan mereka sudah menjadi mangsa komplot yahudi yang sangat besar – mereka telah kembali menjadi penganut Kitab Bible.

Inilah buktinya

Surah Baqarah ayat 120 - “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan ini datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”

Ini adalah satu amaran besar daripada Rasul dan Nabi kita. Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan berhenti-henti untuk mengembalikan kita kepada agama mereka yang sesat. Agama mereka yang sesat itu tersirat dalam Kitab Bible. Jelas sekali bahawa setelah zaman Nabi, orang Yahudi dan Nasrani memang telah berjaya memalingkan umat Islam daripada ‘petunjuk Allah (Al Quran) kepada Kitab Bible. Inilah yang menjadi pegangan Pas pada hari ini. Inilah pegangan yang menimbulkan begitu banyak masalah bagi umat Islam sedunia.

Sekarang kita menjawab pertanyaan apakah peluang keemasan yang Pas akan membazirkan itu? Pilihan raya Umum sudah pasti akan tiba tidak lama lagi. Buat kali pertama dalam tempoh lebih 35 tahun, parti pembangkang mempunyai peluang keemasan untuk menang banyak kerusi Parlimen dan DUN. Ini adalah kerana populariti kerajaan Barisan Nasional sedang menjunam dan akan terus menjunam.

Menurut pungutan banci terbaru oleh Merdeka Centre, 32% pengundi Melayu akan sokong pembangkang pada pilihan raya akan datang. 10% lagi belum membuat keputusan. Ini bermaksud 42% pengundi Melayu berpotensi mengundi pembangkang. Bagi pengundi Cina pula 60% akan mengundi pembangkang dan 18% belum tentu lagi. 33% pengundi India akan mengundi pembangkang dan 13% belum tentu lagi. Secara keseluruhan 42% pengundi Malaysia akan mengundi pembangkang manakala 13% belum membuat keputusan. Maksudnya hampir 55% pengundi berpotensi menyokong pembangkang. Ini adalah satu peluang besar bagi pembangkang.

Penulis sendiri telah menyokong dan mengundi BN sejak kecil dan juga menjadi ahli UMNO tetapi kali ini penulis akan membuat pilihan yang waras.

Perdana Menteri yang lesu, barisan pimpinan lesu, isu rasuah dan menelan duit rakyat tanpa had dan perilaku peribadi Perdana Menteri yang memalukan rakyat Malaysia serta serangan bertubi-tubi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuatkan rakyat Malaysia sedar dan semakin ‘fed-up’ dengan kerajaan Abdullah Badawi. Jalan yang paling mudah bagi UMNO dan Barisan Nasional untuk menangkis semua masalah ini ialah meminta Perdana Menteri mengundurkan diri. Tetapi malang sekali jalan yang mudah ini (the easy solution) tidak akan berlaku. Maka parti BN akan mengalami cabaran rumit dalam pilihan raya umum yang menjelang tiba.

Tetapi siapakah di antara parti pembangkang yang akan untung besar? DAP, Keadilan atau Pas? Ramai orang yang telah berpaling daripada BN berkata mereka akan mengundi DAP atau Keadilan. Paling sikit sekali yang akan menyokong Pas. Keadilan dan DAP dilihat sebagai parti moden yang menonjolkan nilai-nilai yang boleh diterima pakai oleh pengundi termasuk orang Melayu. Pas pula masih menegakkan perjuangan kartun tudung, akidah, Valentine’s Day, serban, jubah, dinar Islam dan sebagainya yang tidak relevan bukan saja bagi rakyat Malaysia tetapi juga bagi penduduk dunia. Jika Pas tidak mengubah pendiriannya dan tidak meninggalkan falsafah totok yang diciplak daripada Kitab Bible, sudah tentu Pas akan melepaskan peluang keemasan yang bakal menjelma. Ianya akan menjadi satu ‘wasted opportunity’. DAP dan Keadilan yang akan meraih keuntungan besar.

Pas perlu singkirkan perjuangan ‘hukum’ hudud, tudung bagi wanita, isu-isu akidah, syariat dan sebagainya yang tidak terjumpa sedikit pun dalam Quran tetapi hanya dijumpai dalam Kitab Bible.

Kalau Pas tidak mahu mengubah qiblatnya untuk selama-lamanya, sekurang-kurangnya Pas boleh mengumumkan keputusan untuk menangguhkan falsafah agamanya untuk satu tempoh singkat seperti sepuluh tahun atau dua puluh tahun akan datang – atas alasan bahawa lebih penting bagi Pas meyakinkan kaum bukan Islam dan juga orang Melayu bahawa Pas akur pendapat majoriti dalam negara kita. Dengan alasan seperti ini maka Pas akan bebas menawarkan falsafah baru yang menegakkan ‘nilai-nilai baik’ yang berteraskan Islam seperti kepimpinan yang jujur, kebebasan bersuara, kebebasan beragama untuk semua orang termasuk orang Islam, kebebasan hak individu, pembangunan ekonomi yang pesat, peluang ekonomi bagi semua rakyat Malaysia, mengatasi masalah pencemaran alam, memperkukuhkan system pendidikan kebangsaan dwi bahasa (Melayu dan Inggeris), hak pengguna, hadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dua penggal dan banyak lagi perkara baik seperti ini yang berteraskan Islam.

Jika Pas boleh membuat perubahan yang mudah dan baik seperti ini sudah tentu majoriti besar rakyat Malaysia daripada semua kaum akan mengundi Pas. Jika Pas enggan membuat perubahan ini dan masih berdegil dengan menegakkan ajaran Kitab Bible saja, bukan saja Pas akan gagal di peti undi tetapi Pas akan menjemput bala kemurkaan Allah. Satu nasib yang cukup malang.

No comments: