Oleh Fadzil Abd Rashid
KUALA LUMPUR: Serangan dan tuduhan melulu bloggers tempatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebenarnya tidak mampu mempengaruhi keyakinan Kesatuan Eropah (EU) yang terus meningkatkan pelaburan terus (FDI) ke negara ini sejak awal Januari lalu.
Penganalisis ekonomi Eropah, Prof Sir Dr Edward Norton memberitahu UMNO-Online, Jumaat, keyakinan pelabur-pelabur EU yang kebanyakannya dari firma multinasional pangkalan hadapan terhadap iklim pelaburan di Malaysia tidak pernah berubah malah semakin meningkat ekoran keupayaan Bank Negara (BNM) membuat pengukuhan aliran kewangan domestik yang efektif.
Beliau berkata, firma multinasional terkemuka dari Jerman seperti Siemens-Nixdorf, Maersk Sealand (Denmark) dan beberapa firma elektronik dan pembuatan utama dari Belgium, Perancis, Switzerland, Norway, Sweden, Sepanyol dan Britain terus berlumba-lumba meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia.
“Memang benar, berita mengenai kritikan politik tempatan terhadap kepimpinan Malaysia kami ketahui melalui internet namun bagi firma-firma terbabit ia tidak lebih sekadar percaturan politik luaran dalam agenda domestik politik Malaysia semata-mata.
“Ini bukan perkara baru kerana sebagai contoh kepimpinan kerajaan Jerman, Britain, Sepanyol malah Switzerland juga pernah dikritik malah ia terus berlaku oleh mereka yang ada kepentingan tertentu namun bagi firma multinasional seperti yang saya sebut tadi, ia tidak berupaya menjejas persepsi positif berasaskan kepentingan strategik perdagangan antarabangsa.
“Bukan Perdana Menteri anda sahaja dikritik malah Presiden Perancis, Jacques Chirac juga kerap dikritik melalui internet namun ia tidak pernah menjejas ekonomi dan kestabilan politik Perancis,” katanya melalui jaringan internet dari ibu pejabat beliau di Brussels, Belgium.
Beliau seterusnya mengesahkan bahawa EU kini sedang berusaha menjadi pelabur utama di Malaysia selepas sekian lama berada di anak tangga kedua selepas Amerika Syarikat (AS) dalam aktiviti pelaburan sektor perindustrian utama.
“EU kini sedang berusaha menjadi pelabur utama menyaingi AS yang kini masih menjadi rakan dagang utama Malaysia, kestabilan politik Malaysia dan insentif pelaburan yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri nyata sangat menarik usahawan EU,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Rafidah Aziz mengesahkan bahawa EU menunjukkan kecenderungan meningkatkan FDI mereka di negara ini atas beberapa faktor.
Katanya, antaranya adalah disebabkan oleh kestabilan politik tempatan yang ditunjangi UMNO dan pakatan parti politik dalam Barisan Nasional (BN) selain faktor ketenteraman awam yang terus menjadi aset pelaburan di negara ini.
“Tuduhan melulu dan serangan bermotif politik tidak menjejas persepsi pelabur asing ke negara ini dan kita mestilah berusaha keras mempertahankankan pencapaian ini,” tambah beliau.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengakui ekonomi Malaysia menunjukkan tanda-tanda positif untuk lebih kukuh dengan nilai dagangan melebihi paras RM1 trilion dan kenaikan nilai ringgit mencecah RM3.50 bagi setiap AS$1 dan beberapa hari sebelumnya, BSKL ditutup tinggi mencecah 1,200 mata adalah petanda sangat positif.
Jumlah dagangan sebanyak RM1.069 trilion pada tahun 2006, meliputi eksport negara bernilai RM588.949 bilion dan nilai import bernilai RM480.493 bilion dengan lebihan dagangan sebanyak RM108.456 (18.5 peratus).
Selain itu, negara juga mencatatkan lebihan dagangan selama 110 bulan berturut-turut. Yang lebih penting bagi kerajaan sekarang ialah cuba untuk mengekal dan meningkatkan lagi lebihan dalam imbangan dagangan.
Ini kerana, jika berlaku defisit dalam imbangan pembayaran, lebihan dagangan sudah tentulah secara langsung akan dapat mengecilkan defisit tersebut. Imbangan pembayaran meliputi akaun semasa (eksport dan import), akaun modal dan akaun rizab rasmi. UMNO-Online difahamkan oleh sumber-sumber kewangan domestik, dalam keadaan nilai ringgit Malaysia yang meningkat, ia dijangka memberi kesan positif kepada lebihan dalam akaun modal.
Sehubungan itu, dalam keadaan akaun semasa mencatatkan lebihan, tumpuan pembuat dasar juga harus diberi untuk meningkatkan lagi aliran masuk modal ke dalam negara yang matlamat akhirnya ke arah lebihan (surplus) imbangan pembayaran Malaysia.
Peningkatan nilai ringgit Malaysia akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara melalui peningkatan lebihan dalam akaun semasa dan akaun modal. Bagaimanapun, dengan peningkatan nilai ringgit, jika akaun nilai rizab rasmi yang diukur dalam dolar Amerika, nilainya dijangka berkurangan yang seterusnya akan memberi kesan langsung kepada jumlah imbangan pembayaran.
Peningkatan nilai ringgit Malaysia juga bermaksud, harga barang-barang eksport meningkat manakala harga barang-barang import menjadi murah secara relatifnya.
Dalam keadaan ini, firma harus bersedia menghadapi persaingan global terutamanya dalam produk-produk yang dikeluarkan dari negara-negara ASEAN, terutamanya produk China dan Vietnam, yang harganya lebih murah.
Dalam keadaan sekarang, peningkatan nilai ringgit Malaysia dijangka memberi kelebihan kepada firma-firma besar dan multinasional yang telah beroperasi lebih cekap (skil-optimum) berbanding firma-firma kecil, termasuk industri kecil dan sederhana (IKS). Tumpuan harus diberi kepada peningkatan kecekapan, produktiviti, teknologi dan melalui ekonomi supaya kos seunit keluaran (produk) dapat dikurangkan.
Kerajaan dalam masa yang sama, harus meningkat lagi aspek-aspek penyelidikan dan pembangunan termasuk sumber manusia dan cuba mengurang kos-kos pentadbiran, pengurusan dan kos masa untuk firma memulakan atau mengembangkan perniagaan. Selain itu, era kini dan akan datang tumpuan persaingan bukanlah dari segi harga tetapi kualiti dan skil-ekonomi.
Pendekatan ini harus digunakan sepenuhnya dalam memenuhi komitmen Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), termasuk Skim Tarif Keutamaan Seragam Berkesan ASEAN (Common Preferential Effective Tarriff) mulai tahun 2005 dan hanya boleh ditangguh (kelonggaran) sehingga 2010.
Tarif perdagangan intra-ASEAN akan dikurangkan dari kosong hingga lima peratus sahaja. Selain itu semua sekatan bukan tarif (non-tariff barriers) seperti kuota, subsidi, lesen import dan sebagainya juga akan dihapuskan. Persaingan, bukanlah dari segi harga lagi.
Firma terutamanya dalam industri makanan, harus menggunakan kesempatan dalam keadaan harga barang import yang murah dengan meningkatkan lagi input-input pengeluaran yang diimport. Ia bertujuan meningkatkan lagi pengeluaran.
Pengalaman pahit krisis ekonomi pada tahun 1997 harus dibayar semula. Contoh, kejatuhan nilai ringgit ketika itu ialah betapa meningkatnya kos pengeluaran ayam antara 80 hingga 85 peratus. Ia membabitkan kenaikan harga anak ayam daripada 60 sen hingga 70 sen kepada RM1.10 seekor. Harga bahan makanan utama seperti jagung dan kacang soya yang kebanyakannya diimport dari Amerika Syarikat, China dan Argentina dan harga bahan-bahan ubatan seperti vitamin mineral dan antibiotik.
Keadaan masa itu telah meningkatkan kos pengeluaran yang akhirnya akan mendesak harga makanan untuk terus meningkat. Dalam keadaan sekarang, apabila nilai ringgit Malaysia telah kembali pulih, firma dan penggunanya harus mendapat manfaat daripada perkembangan positif tersebut dan bukan sebaliknya. (Petikan dari www.UMNO-Online.com)
16 February 2007
Serangan Dan Tuduhan Melulu Bloggers Tempatan Terhadap Pak Lah Tidak Mampu Pengaruhi Keyakinan Pelabur Kesatuan Eropah (EU)
at 3:16 PM Posted by cicakmankampung
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment